Permohonan Kemasukan Kolej Vokasional & Sekolah Menengah Teknik Sesi 2023/2024 Dibuka
Pelajar lepasan Tingkatan 3 yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam Bidang Vokasional, Aliran Teknikal dan Program Kemahiran kini boleh buat permohonan untuk kemasukan ke Kolej Vokasional & Sekolah Menengah Teknik tahun 2023/2024.
Pelajar yang memenuhi syarat kelayakan dan berminat dipelawa untuk memohon mana-mana program Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik yang ditawarkan bagi ambilan tahun 2023/2024 seperti yang telah dimaklumkan di Portal Rasmi KPM.
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut program pengajian ditawarkan dan panduan buat permohonan.
Isi Kandungan
TEMPOH PERMOHONAN
Permohonan kemasukan Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik sesi pengajian 2023/2024 dibuka sepanjang tempoh berikut:
- 30 September 2022 hingga 30 November 2022
KOLEJ VOKASIONAL
Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) merupakan satu pelan induk TVET negara bagi memantapkan lagi sistem pendidikan vokasional yang dimulakan sejak 2013 sehingga 2020, di mana berlakunya penstrukturan semula sekolah menengah vokasional dan sekolah menengah teknik kepada Kolej Vokasional (KV). Langkah ini di ambil bagi menyokong agenda transformasi ekonomi negara dalam menghasilkan tenaga kerja mahir yang kompeten. TPV telah mengubah persepsi masyarakat yang beranggapan pendidikan vokasional sebagai pendidikan kelas kedua dan menjadikannya setaraf dengan aliran perdana.
KV menawarkan dua (2) peringkat pengajian iaitu Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM). Murid lepasan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) daripada sekolah menengah harian yang berminat dan cenderung mengikuti aliran vokasional berpeluang menyambung pengajian di peringkat Sijil Vokasional Malaysia (SVM) sebelum melanjutkan pengajian di peringkat DVM.
KV menggunakan Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) di mana ia mengutamakan pembelajaran secara praktikal (hands-on) berbanding teori. Kini, terdapat 87 buah KV menawarkan pengajian dalam pelbagai program vokasional di peringkat SVM dan DVM.
Pengiktirafan SVM oleh Lembaga Peperiksaan (LP) adalah setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lulusan SVM juga akan dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 3. Bagi mereka yang memenuhi syarat, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat DVM. Proses akreditasi program DVM dilaksanakan oleh Malaysia Qualifications Agency (MQA) dan Malaysia Board of Technologists (MBOT). Graduan DVM akan berpeluang menjadi tenaga kerja mahir yang kompeten, menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi dan menjadi usahawan dalam bidang.
SEKOLAH MENENGAH TEKNIK
Penawaran aliran teknikal di Sekolah Menengah Teknik (SMT) adalah untuk pelajar yang cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan pelajar yang berminat terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan (Engineering) dan Matematik (STEM). Tempoh pengajian adalah selama 2 tahun iaitu tingkatan 4 dan tingkatan 5 yang menawarkan bidang seperti berikut:
- Kejuruteraan Awam
- Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
- Kejuruteraan Mekanikal
- Perdagangan
- Pertanian
Setelah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertiari sama ada di institut pendidikan tinggi awam (IPTA) atau institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) dalam pelbagai bidang khususnya kejuruteraan dan seterusnya menjadi tenaga profesional
SYARAT PERMOHONAN
Antara syarat umum permohonan kemasukan ke Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia
- Bersekolah di Sekolah Kerajaan / Sekolah Bantuan Kerajaan di bawah KPM pada tahun 2022 (Tingkatan 3)
- Menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus KPM (PKSK)
- Mengambil Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi)
- Sihat tubuh badan
- Tiada sebarang kecacatan atau kecederaan atau sejarah penyakit yang menyukarkan pelaksanaan kerja praktikal dan amali
- Tidak rabun warna/buta warna
- Berminat dengan program
CARA MEMOHON
Permohonan kemasukan ke Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik kini boleh dibuat secara online sebelum tarikh tutup iaitu 30 November 2022. Sekiranya anda berminat dan berkelayakan, isi borang permohonan online di pautan berikut:
Setelah selesai permohonan, calon dikehendaki menduduki pentaksiran berpusat bagi kemasukan ke Sekolah Khusus KPM. Semak maklumat pentaksiran dan tarikh penting kemasukan ke sekolah khusus DI SINI.
Jika anda berminat untuk memasuki GIATMARA, semak maklumat permohonan DI SINI.