Senarai Jawatan Kerajaan Yang Sesuai Dipohon Dalam SPA Bagi Graduan Bidang Sains Sosial

Pasti semua orang terutama graduan lepasan IPT sudah terbiasa dengan istilah Sains Sosial. Menurut A New Dictionary of Sociology (Michell, 1979) secara umumnya istilah Sains Sosial digunakan untuk sebarang pengajian yang berkaitan manusia dan masyarakat.

Bidang Sains Sosial ini merangkumi banyak cabang seperti antropologi, ekonomi, linguistik, sosiologi, komunikasi, pembangunan dan lain-lain. Bidang ini agak popular dalam kalangan graduan yang baru sahaja tamat pengajian.

Berminat nak kerja kerajaan tetapi tak tahu jawatan apa yang sesuai dengan bidang sains sosial?

Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui prospek kerjaya bagi graduan dalam bidang Sains Sosial.

Jawatan Yang Sesuai Dipohon Dalam SPA Bagi Bidang Sains Sosial

KERJAYA DALAM BIDANG SAINS SOSIAL

Antara bidang kerjaya yang ditawarkan dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang boleh dipohon oleh graduan lepasan bidang Sains Sosial adalah:

Pegawai Penyelidik Sosial

Bagi anda yang minat dengan bidang penyelidikan, kerjaya sebagai pegawai penyelidikan sangat sesuai dengan anda. Anda akan bekerja di bawah Kementerian Penerangan sekiranya terpilih bekerja sebagai pegawai ini.

Tugas utama ialah merancang program penyelidikan termasuk mereka bentuk kajian, pengutipan dan penganalisaan maklumat serta penilaiannya ke atas dasar-dasar dan program-program pembangunan negara.

Pegawai Antidadah

Sekiranya anda seorang yang tinggi semangat dan keazaman untuk membanteras dadah dalam kalangan masyarakat, kerja ini mungkin sesuai untuk anda.

Anda akan bekerja di Agensi Antidadah Kebangsaan dan bertanggungjawab untuk membantu memastikan pelaksanaan dasar-dasar dan pencapaian matlamat bagi semua program pemulihan di institusi dan komuniti, program pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan dadah, kaedah-kaedah pentadbiran pusat dan tugas-tugas lain yang diarahkan oleh pegawai atasan.

Pegawai Arkib

Antara tugas seorang pegawai arkib adalah  mengesan institusi-institusi/orang perseorangan di mana-mana negara yang difikirkan perlu untuk mendapatkan segala jenis bahan arkib yang berkaitan dengan Malaysia serta menguruskan perolehan pemprosesan, pengkelasan, klasifikasi, penterjemahan, penerbitan dan penyediaan deskripsi rujukan bahan-bahan tersebut.

Apa yang menarik ialah anda boleh bekerja di Arkib Negara yang mana merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia. Kerjaya ini sesuai untuk bidang Sains Sosial bagi kursus Sejarah.

Kurator

Antara tugas seorang kurator ialah bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, merancang, menyelaras dan melaksanakan aktiviti-aktiviti permuziuman seperti pameran, pemuliharaan dan konservasi benda-benda purba, penyelidikan arkeologi, flora dan fauna, kebudayaan negara, memberi khidmat nasihat permuziuman serta menyediakan laporan hasil kajian penyelidikan.

Pegawai Pembangunan Masyarakat

Pegawai pembangunan masyarakat pula tugasnya adalah melaksanakan dasar, urusan pentadbiran di peringkat Jabatan dan naziran pelaksanaan program-program latihan yang telah dirancang oleh Kementerian.

Contohnya, berkhidmat di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan melaksanakan urusan pentadbiran di tempat tersebut. Sekiranya anda berminat dengan program-program yang boleh membangunkan masyarakat, inilah kerjaya yang patut anda pilih.

Pegawai Komunikasi Strategik

Ini adalah jawatan yang sangat penting kerana anda sebagai seorang pegawai komunikasi perlulah bertanggungjawab merancang, menganalisis isu-isu berkaitan dasar negara dan isu semasa, mempromosi dasar dan program kerajaan dan memantau isu berkenaan di media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube, blog portal dan sebagainya.

Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD)

Pegawai Tadbir Diplomatik pula tugasnya merancang, menggubal dan melaksanakan dasar-dasar awam mengenai pengurusan sumber tenaga manusia dan organisasi, sumber kewangan, ekonomi, pentadbiran dan pembangunan wilayah, daerah, tempatan atau tanah, perancangan dan pentadbiran sosial, hubungan antarabangsa, hal ehwal luar negeri serta pengurusan teknologi maklumat.

Baca juga: Contoh Soalan Temuduga Pegawai Tadbir Diplomatik

Perancang Bahasa

Anda pernah dengar Dewan Bahasa dan Pustaka? Sebenarnya Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan sebuah jabatan kerajaan Malaysia yang menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Sekiranya anda punya passion yang mendalam dengan bahasa Melayu, boleh pohon jawatan sebagai perancang bahasa dan anda akan bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara tugas perancang bahasa:

  • Bertanggungjawab mendapatkan pengetahuan dan kemahiran tentang perancangan projek khususnya projek penerbitan yang merangkumi aspek penulisan, penterjemahan, penyuntingan, penyediaan manuskrip bersih, proses kerja pra penerbitan, pracetak dan pemasaran buku.
  • Bertanggungjawab menilai dan membuat laporan penilaian manuskrip untuk Jawatankuasa Penerbitan.
  • Bertanggungjawab terhadap segala pengurusan, pengawalan, pemantauan dan pelaksanaan projek yang dikendalikan.

JAWATAN UMUM

Selain daripada jawatan-jawatan berkaitan sains sosial di atas, graduan dalam bidang sains sosial juga boleh mohon pelbagai jawatan umum lain yang tidak meletakkan pengkhususan bidang seperti:

  • Pegawai Pendaftaran
  • Pegawai Penerangan
  • Pegawai Penguatkuasa
  • Penolong Pegawai Tadbir
  • Pegawai Tadbir
  • Pengurus Asrama
  • Pegawai Antidadah

Bagi calon yang sudah lama mohon jawatan dalam sistem SPA dan masih tidak menerima sebarang tawaran dari SPA, anda boleh semak sebab-sebab calon masih tidak mendapat panggilan. Calon juga patut ambil perhatian dengan sebab utama calon gagal temu duga SPA kerana nak lulus bukan senang!

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat graduan lepasan Sains Sosial yang buntu tidak tahu bidang kerjaya yang boleh dimohon dalam SPA.

Sebenarnya banyak lagi kerjaya yang boleh dimohon berdasarkan kursus yang anda pelajari. Namun anda dinasihatkan untuk semak syarat kelayakan dengan teliti supaya permohonan anda tidak ditolak nanti.

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma