KWSP Benarkan Pengeluaran Sebelum Persaraan, Jika Hilang Upaya, Untuk Pendidikan atau Membina Rumah
Ramai yang tak tahu yang wang KWSP boleh dikeluarkan sebelum umur persaraan. Ianya lebih kepada pengeluaran untuk persediaan sebelum bersara.
Jika selama ini ramai di antara kita hanya ingat duit caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya boleh dikeluarkan ketika mencecah usia 50 tahun, ternyata tanggapan itu salah.
Baca juga: Cara Semak Penyata KWSP Secara Online
Pengeluaran KWSP ini disebut sebagai Pengeluaran Sebelum Persaraan. Dimana pencarum KWSP dibenarkan mengeluarkan simpanan sebelum mencapai umur persaraan dengan tujuan untuk membantu pencarum membuat persediaan untuk persaraan nanti.
Baca juga: Senarai Bantuan JKM Yang Anda Boleh Mohon
Bagi yang berhasrat untuk keluarkan wang simpanan KWSP untuk tujuan tertentu, cuba semak jenis-jenis pengeluaran KWSP dan syarat untuk membuat pengeluaran tersebut di perkongsian bawah.
Isi Kandungan
JENIS-JENIS PENGELUARAN KWSP YANG ANDA PERLU TAHU
Di bawah merupakan senarai lengkap jenis-jenis pengeluaran KWSP yang ada dan perlu anda ambil tahu sekiranya anda merupakan salah seorang pencarum.
Pengetahuan anda mengenai jenis-jenis pengeluaran KWSP bakal membantu anda membuat perancangan kewangan di masa hadapan sekiranya memerlukan.
1 Pengeluaran Umur 50 Tahun KWSP
Pengeluaran kesemua ATAU sebahagian simpanan dari Akaun 2 apabila ahli mencapai umur 50 Tahun.
Kelayakan Memohon:
- Ahli bertaraf Warganegara Malaysia; ATAU bukan Warganegara Malaysia.
- Ahli berumur di antara 50 Tahun hingga umur 54 Tahun
- Ahli mempunyai simpanan dalam Akaun 55.
2 Pengeluaran KWSP Umur 55 Tahun
Pengeluaran kesemua ATAU sebahagian simpanan apabila ahli mencapai umur 55 Tahun.
Kelayakan Memohon:
- Ahli bertaraf Warganegara Malaysia; ATAU bukan Warganegara Malaysia.
- Ahli berumur di antara 55 Tahun hingga umur 59 Tahun
- Ahli mempunyai simpanan dalam Akaun 55.
3 Pengeluaran KWSP Umur 60 Tahun (Akaun Emas)
Pengeluaran ini adalah perluasan kepada pengeluaran umur 55 tahun sedia ada selaras dengan umur persaraan minimum 60 tahun.
Kelayakan Memohon:
- Warganegara Malaysia ATAU Bukan Warganegara
- Mencapai umur 60 Tahun
- Mempunyai simpanan KWSP
4 Pengeluaran Mengurangkan/ Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan
Individu: Pengeluaran simpanan Akaun 2 untuk mengurang / menyelesaikan baki pinjaman perumahan yang diambil daripada institusi pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP bagi pembelian secara individu.
ATAU
Bersama: Pembelian secara bersama dengan ahli keluarga terdekat (suami / isteri, ibu bapa, ibu bapa mertua, ibu bapa tiri, ibu bapa angkat, anak, anak tiri, anak angkat atau adik beradik / individu lain ATAU membantu suami / isteri)
Kelayakan Memohon:
- Ahli bertaraf Warganegara Malaysia; ATAU Bukan Warganegara
- Ahli belum mencapai umur 55 Tahun pada tarikh permohonan
- Ahli mempunyai simpanan dalam Akaun 2 (minimum RM 500.00)
5 Pengeluaran KWSP Hilang Upaya
Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan semua simpanan KWSP sekiranya ahli tidak berupaya dari segi fizikal atau mental atau kehilangan keupayaan fungsional kekal untuk memperolehi pekerjaan (employability).
Kelayakan Memohon:
- Ahli bertaraf Warganegara Malaysia; ATAU Bukan Warganegara;
- Ahli belum mencapai umur 60 tahun pada tarikh permohonan diterima oleh KWSP; DAN
- Ahli masih mempunyai simpanan dalam Akaun KWSP; DAN
- Ahli tidak lagi bekerja semasa permohonan pengeluaran dibuat
6 Pengeluaran Meninggalkan Negara
Pengeluaran ini boleh dipohon oleh:
- Warganegara Malaysia yang telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan untuk berhijrah ke negara lain
ATAU - Bukan warganegara Malaysia yang telah berhenti kerja dan akan meninggalkan Malaysia
Kelayakan Memohon:
- Warganegara Malaysia / Penduduk Tetap (PR) yang telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan Malaysia; ATAU
- Bukan warganegara Malaysia (Ekspatriat/ Pekerja Asing) yang telah tamat tempoh perkhidmatan dan kembali ke Negara asal; DAN
- Masih mempunyai simpanan dalam akaun KWSP
7 Pengeluaran Pendidikan KWSP
Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai yuran pengajian ahli / anak ahli (termasuk anak tiri dan anak angkat) di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di dalam atau di luar negara.
Kelayakan Memohon:
- Ahli bertaraf Warganegara Malaysia; ATAU bukan Warganegara Malaysia.
- Ahli belum mencapai umur 55 pada tarikh permohonan.
- Ahli mempunyai simpanan dalam Akaun 2.
8 Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan
Bagi ahli yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan diberi taraf pekerja berpencen:
- Pengeluaran Kesemua Simpanan Bahagian Pekerja
- Bahagian Majikan Kerajaan akan dikembalikan kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP)
Kelayakan Memohon:
- Pekerja dalam sektor awam dan mencarum sehingga diberi taraf berpencen oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); ATAU
- Pekerja dalam Pertahanan / Perkhidmatan Tentera dan mencarum serta diberi taraf berpencen oleh JPA
9 Skim Pelaburan Ahli
Skim ini membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan bagi menambah dan meningkatkan simpanan persaraan untuk menyara kehidupan semasa persaraan.
- Ahli boleh melaburkan simpanan tidak melebihi 30% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik.
- IPD yang diluluskan di bawah Skim Pelaburan Ahli adalah terdiri dari Syarikat Pengurusan Unit Amanah (termasuk Amanah Saham Nasional Bhd), Syarikat Pengurusan Kumpulan Wang dan Lembaga Tabung Haji.
- Syarikat Pengurusan Unit Amanah memberi ahli pilihan untuk pelaburan mereka dilaburkan di dalam Unit Amanah.
- Ahli juga boleh memilih untuk pelaburan mereka diuruskan oleh Syarikat Pengurusan Kumpulan Wang secara mandat persendirian.
10 Pengeluaran Membina/ Membeli Rumah
Pengeluaran KWSP membina rumah membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai pembinaan sebuah rumah. Ini membolehkan ahli memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai tempat perlindungan apabila bersara.
Pengeluaran KWSP membeli rumah membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai pembelian sebuah rumah. Ini membolehkan ahli memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai tempat perlindungan apabila bersara.
Kelayakan Memohon:
- Ahli bertaraf Warganegara Malaysia ATAU Bukan Warganegara
- Ahli belum mencapai umur 55 Tahun pada tarikh permohonan
- Ahli masih mempunyai simpanan dalam Akaun 2 (minimum RM 500.00)
11 Pengeluaran Simpanan Melebihi RM1 Juta
Pilihan kepada ahli yang mempunyai simpanan melebihi RM1.05 juta mengeluarkan lebihan simpanan berkenaan untuk diuruskan sendiri oleh ahli.
Kelayakan Memohon:
- Ahli bertaraf Warganegara Malaysia ATAU bukan Warganegara Malaysia.
- Ahli belum mencapai umur 55 Tahun pada tarikh permohonan
- Ahli mempunyai simpanan tidak kurang daripada RM1.05 juta
12 Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan
Pengeluaran KWSP simpanan akaun 2 untuk membiayai ansuran bulanan pinjaman perumahan bagi tujuan pembelian atau pembinaan rumah.
Kelayakan Memohon:
- Ahli belum mencapai umur 55 tahun pada tarikh permohonan diterima oleh KWSP. Umur maksimum yang dibenarkan ialah 54 tahun 6 bulan; DAN
- Ahli mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM600.00 di dalam Akaun 2
- Ahli yang layak memohon adalah:
i. Warganegara Malaysia; ATAU
ii. Bukan warganegara Malaysia yang: - Menjadi ahli sebelum 1 Ogos 1998; ATAU Mendapat taraf Penduduk Tetap (PR)
13 Pengeluaran Kematian
Pengeluaran penuh akaun ahli oleh penama / waris / pentadbir pusaka / waris terdekat ahli apabila berlaku kematian ke atas ahli KWSP.
Kelayakan Memohon:
- Ahli bertaraf Warganegara Malaysia; ATAU bukan Warganegara Malaysia.
14 Pengeluaran kesihatan
Pengeluaran KWSP ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai kos rawatan perubatan penyakit kritikal dan / atau pembelian peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan oleh Lembaga KWSP yang dihidapi oleh ahli atau ahli keluarga yang dibenarkan.
Kelayakan Memohon:
- Ahli bertaraf Warganegara Malaysia; ATAU Bukan Warganegara
- Ahli belum mencapai umur 55 Tahun pada tarikh permohonan
- Ahli mempunyai simpanan dalam Akaun 2
15 Pengeluaran Haji
Pengeluaran Haji bertujuan menampung perbelanjaan asas mengerjakan Haji dan bukan keseluruhan kos perbelanjaan Haji.
Rasionalnya, untuk memastikan pengeluaran yang dibuat tidak menjejaskan simpanan persaraan ahli.
16 Pengeluaran Perumahan Fleksibel
Pengeluaran Perumahan Fleksibel adalah proses menghadang atau mengenepikan sebahagian simpanan dalam Akaun 2 ahli ke Akaun Pengeluaran Perumahan Fleksibel bagi membolehkan ahli mendapatkan pinjaman perumahan yang lebih tinggi untuk membeli / membina rumah.
17 Pengeluaran Perumahan PR1MA
Membantu Ahli KWSP memiliki sebuah rumah di bawah Skim Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dengan memanfaatkan Simpanan KWSP Ahli sedia ada serta caruman bulanan di masa depan.
Untuk membuat pengeluaran simpanan, anda boleh terus ke kiosk atau cawangan KWSP berdekatan untuk panduan memohon pengeluaran. Anda juga boleh cuba membuat permohonan pengeluaran i-LEstari melalui i-Akaun.
Untuk mendaftar i-Akaun, anda boleh pergi ke mana-mana kaunter KWSP atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 untuk mendapatkan Kod Pengaktifan dengan menggunakan MyKad.
Setelah itu, layari laman web KWSP dan klik pada ‘Login Ke i-Akaun (Ahli) >> Pengaktifan i-Akaun’ untuk mengaktifkan i-Akaun anda menggunakan Kod Pengaktifan tersebut dalam tempoh 30 hari.
Semoga bermanfaat!