Cara Mohon Pinjaman Bank Bagi Yang Bekerja Sendiri & Tiada Slip Gaji Atau Kerja Kontrak
Nak buat permohonan pinjaman bank bagi pembiayaan peribadi, beli rumah, kereta ataupun nak dapatkan pembiayaan untuk perniagaan? Bagi yang ada slip gaji dan rekod keluar masuk kewangan di bank yang stabil mungkin mudah untuk lulus.
Namun yang menjadi masalah peniaga atau individu yang bekerja sendiri adalah rekod keluar masuk wang adalah tidak menentu dan tiada slip gaji. Ini tidak bermaksud orang yang bekerja sendiri ini tiada simpanan, tetapi kebanyakannya hanya buat simpanan sendiri sahaja tanpa memasukkan wang dalam bank.
Itu akan menyebabkan proses membuat pinjaman bank agak sukar diluluskan kerana pihak bank akan melihat rekod kewangan untuk dapatkan kepercayaan dan lihat kemampuan peminjam. Bagi yang bekerja sendiri atau tiada slip gaji nak buat pinjaman bank, boleh ikut tips di bawah.
Isi Kandungan
CARA BUAT PINJAMAN BANK TANPA SLIP GAJI
1. Simpan Rekod Kewangan
Seperti yang dikatakan tadi, orang yang tiada slip gaji ini berbeza dengan pekerja yang ada slip gaji bulanan dan ada sumber pendapatan yang tetap setiap bulan. Macam mana nak yakinkan pihak bank bahawa anda mampu membuat bayaran balik dah berhak lulus?
Salah satu caranya adalah dengan simpan rekod kewangan syarikat.
- Daftarkan syarikat/ perniagaan dengan SSM (Kini boleh dibuka secara PERCUMA)
Daftar SSM Percuma - Buka akaun semasa atas nama syarikat dan masukkan pendapatan atau untung serta perbelanjaan melalui akaun semasa (Pastikan rekod kewangan aktif) – Kekalkan selama 6 hingga 12 bulan
- Pastikan ada rekod aktiviti keluar masuk duit dalam akaun bank. Pihak bank akan lihat penyata kewangan dan nampak aliran tunai yang baik.
2. Buat Simpanan KWSP/ ASB/ Tabung Haji
Jika anda nak pihak bank percaya dengan sumber pendapatan anda, anda juga boleh buat simpanan setiap bulan di KWSP, ASB atau Tabung Haji sekurang-kurangnya dalam tempoh 2 tahun. Simpanan bulanan yang konsisten boleh membuatkan pihak bank percaya bahawa anda ada pendapatan yang kukuh.
Dengan adanya simpanan juga, pihak bank percaya bahawa simpanan tersebut boleh dijadikan wang kecemasan jika anda ditimpa musibah.
3. Declare Cukai Pendapatan
Biasanya orang berusaha nak lari daripada dikenakan cukai pendapatan tahunan. Tetapi ramai tak tahu sebenarnya kenyataan cukai pendapatan dapat membantu untuk mendapat kelulusan dari pihak bank.
Pembayaran cukai ini adalah satu bukti yang diisytiharkan kepada kerajaan justeru bank akan lagi yakin nak bagi pinjam jika anda adalah seorang pembayar cukai. Bawa bersama kenyataan cukai pendapatan selama tiga tahun semasa buat permohonan pinjaman.
4. Sediakan Penjamin
Anda juga boleh cari penjamin yang boleh dipercayai dan sanggup untuk menyokong pinjaman anda. Anda kriteria penjamin yang boleh digunakan adalah:
- Mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh
- Mempunyai kerja tetap
Pihak bank akan mengambil tahu berkenaan kewangan penjamin.
5. Buat Kerja Sambilan
Antara sebab yang biasa bank gunakan untuk tolak permohonan orang yang bekerja sendiri adalah kerana tiada pendapatan yang stabil. Jika anda nak elakkan perkara tersebut berlaku, anda boleh cuba bekerja secara sambilan dan simpan slip gaji kerja sambilan itu. Slip tersebut boleh dijadikan bukti bahawa anda ada pendapatan minimum setiap bulan.
DOKUMEN YANG DIPERLUKAN TANPA SLIP GAJI
Jika tiada slip gaji, anda boleh sediakan dokumen berikut untuk mohon pinjaman bank:
- Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
- Penyata akaun bank syarikat (akaun semasa)
- Slip pengesahan penerimaan e-B (bukti pembayaran cukai_
- Laporan CCRIS dari Bank Negara boleh dapatkan secara online DI SINI.
- Jika ada simpanan, sediakan penyata akaun simpanan anda .
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda yang bekerja sendiri dan tiada slip gaji untuk buat permohonan pinjaman bank.