10 Kesalahan Paling Besar Ketika Temuduga Yang Ramai Calon Tak Sedar
Nak GAGAL temuduga senang sahaja! Tapi nak LULUS temuduga memang susah. Sebab itulah calon perlu buat persiapan dari pelbagai aspek sebelum hadir temuduga. Antara persiapan yang boleh calon lakukan adalah bersedia dengan Soalan Yang Wajib Ditanya Ketika Temuduga, persediaan dari segi Pemakaian Yang Betul, beberapa etika yang perlu dijaga ketika temuduga.
Ada beberapa perkara yang calon tak sedar dan sering dilakukan yang boleh menyebabkan mereka GAGAL temuduga. Kesalahan ini boleh dikatakan kesalahan paling besar dan utama yang akan menyebabkan anda gagal.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui 10 kesalahan paling besar ketika temuduga yang ramai calon tak sedar.
Isi Kandungan
10 KESALAHAN UTAMA KETIKA TEMUDUGA
Berikut adalah antara 10 kesalahan paling utama yang dilakukan oleh calon ketika temuduga:
Tidak Bersedia
Ramai calon tidak bersedia untuk menghadapi temuduga. Apabila diajukan soalan yang berkaitan dengan deskripsi tugas serta maklumat berkaitan syarikat pun calon tidak boleh menjawab dengan betul.
Tiada Resume, Tiada Dokumen Penting
Berjalan masuk ke bilik temuduga lenggang kangkung tanpa sebarang salinan resume dan juga dokumen sokongan yang diperlukan oleh penemuduga. Anda perlu membawa salinan resume sekurangnya 5 salinan dan bawa sijil akademik serta dokumen lain yang original.
Aksesori Berlebihan
Calon temuduga tidak mengira lelaki atau perempuan memakai aksesori yang berlebihan seolah-olah memasuki pertandingan fesyen. Calon lelaki memakai tali pinggang yang mempunyai kepala besar dan memakai cermin mata berfesyen. Manakala calon perempuan pula memakai gelang serta pin tudung jenis rambu ramba sehingga mengganggu pandangan mata penemuduga. Ini bukan masa yang sesuai untuk berfesyen ya.
Paksa Penemuduga Menerima Anda Bekerja
Anda tidak boleh memaksa penemuduga untuk menerima anda bekerja ketika temuduga dijalankan. Mungkin anda tidak menjawab atau menyatakan secara terus terang dihadapan penemuduga. Tetapi terdapat ayat-ayat tertentu yang menunjukkan anda memaksa penemuduga untuk menerima anda untuk bekerja bersama mereka.
Contoh :
“Saya sangat berpengalaman dalam bidang ini. Jadi, bila tuan boleh panggil saya bekerja? Saya bersedia untuk dipanggil bekerja bila-bila masa sahaja.”
Tidak Silent Telefon
Tiba-tiba telefon berbunyi dengan deringan yang paling kuat dan menyebabkan sesi temuduga terganggu. Kemudian tanpa minta kebenaran, anda ambil telefon dan menjawab panggilan dihadapan penemuduga. Ada calon yang menjawab mesej atau whatsapp ketika temuduga dijalankan dengan alasan untuk menghilangkan rasa gemuruh.
Kurang Eye Contact & Body Language
Kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan tanpa disedari oleh calon temuduga. Calon gugup dan rasa kurang yakin sehingga tidak mampu melihat mata penemuduga. Habis semua tempat di bilik temuduga ditenung oleh calon. Selain dari eye contact, calon juga perlu menjaga bahasa badan ketika temuduga dijalankan. Jangan berpeluk tubuh, jangan menyandar dan keterlaluan menggunakan tangan ketika menjawab soalan.
Cerita Hal Peribadi
Lain disoal, lain dijawab. Penemuduga hanya minta anda perkenalkan diri. Anda pula terus ceritakan hal peribadi anda tanpa diminta oleh penemuduga. Penemuduga tidak ingin mengetahui tentang ibu tiri, bapa tiri, adik tiri, nenek meninggal dan sebagainya. Cukup perkenalkan diri anda secara ringkas sahaja.
Tidak Menjawab Soalan
Pening pula penemuduga apabila mendapat jawapan tidak seperti yang diinginkan. Sepatutnya calon hanya perlu menjawab soalan yang diajukan dengan ringkas dan padat. Tidak perlu mukadimah atau intro yang panjang. Nanti berbelit-belit sampai anda sendiri pula yang tidak faham.
Cerita Keburukan Bekas Majikan
Kadangkala terlebih ramah menjawab soalan sehingga menceritakan keburukan bekas majikan. Ada penemuduga yang akan memprovokasi anda dengan menyelitkan pernyataan supaya anda menceritakan keburukan bekas majikan anda. Tanpa anda sedar, sudah pasti anda menceritakan serba sedikit keburukan bekas majikan atau rakan sekerja anda.
Terlalu Gugup
Terlalu gugup sehingga tiada keyakinan diri ketika temuduga. Relaks. Penemuduga hanya ingin menilai anda sahaja. Anda boleh membuat latihan temuduga setiap hari untuk menghilangkan rasa gugup dan membangkitkan keyakinan diri anda semasa temuduga nanti.
Semoga bermanfaat!