Senarai Dokumen Yang Perlu Dan Tidak Perlu Bawa Ketika Temu Duga

Pernah dengar tak calon GAGAL temuduga hanya disebabkan dokumen yang dibawa tidak lengkap? Jika tidak, sebenarnya ianya memang kesilapan yang sering calon lakukan. Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) juga ada kongsikan antara sebab utama calon gagal temuduga SPA adalah kerana dokumen yang dibawa tidak lengkap.

Kadang kala memang kita nampak macam dokumen yang kita sediakan sudah lengkap, tetapi sebenarnya tidak lengkap di mata penemuduga. Oleh itu, sangat penting untuk calon tahu senarai dokumen yang perlu dibawa untuk penuhi kehendak penemuduga.

Ikuti perkongsian di bawah untuk tahu senarai dokumen yang perlu dan tidak perlu bawa ketika temu duga tidak kira sektor kerajaan atau swasta.

DOKUMEN YANG PERLU DI BAWA

Berikut adalah senarai dokumen yang WAJIB di bawa untuk ke temu duga bagi memenuhi kehendak penemuduga:

  • Kad Pengenalan
    – Kad pengenalan ini pasti semua dah tahu penting untuk kita bawa ke mana-mana sahaja. Kad pengenalan penting untuk menunjukkan identiti anda dan menjadi bukti bahawa anda merupakan warganegara Malaysia.
    – Salinan kad pengenalan juga wajib untuk anda bawa semasa temu duga sekurang-kurangnya 3 salinan.
  • Resume
    – Resume adalah satu dokumen yang lengkap memberikan maklumat diri calon dari segi identiti, pengajian, pengalaman kerja, penguasaan bahasa dan lain-lain.
    – Pastikan resume anda kemas dan tersusun untuk elakkan penemuduga hilang mood bila lihat resume anda nanti.
  • Sijil Pencapaian & Penglibatan
    – Tidak semua sijil sesuai dibawa sebenarnya. Kadang-kadang terlalu banyak sijil yang tidak penting dibawa akan menyebabkan penemuduga tidak nampak sijil yang penting.
    – Bawa sijil pencapaian yang berkaitan kerja, pencapaian taraf tinggi dan yang berkaitan sahaja sebagai bukti penglibatan dan pencapaian anda.
    – Sijil ini penting kerana penemuduga akan nilai kelayakan diri calon untuk jawatan yang dimohon.
    – Contohnya jika anda menghadiri kursus khas Sumber Manusia, ianya akan berguna jika anda minta jawatan berkaitan Sumber Manusia/ HR.
    – Dokumen ini penting untuk meningkatkan keyakinan penemuduga terhadap diri calon
    – Calon juga perlu bawa transkrip keputusan peperiksaan pengajian.
    – Bawa juga salinan sijil-sijil tersebut kerana sesetengah penemuduga akan minta untuk mereka simpan.
  • Dokumen Sokongan
    – Bawa dokumen sokongan lain juga sebagai sokongan atau bukti penglibatan anda.
    – Bawa dokumen yang berkaitan dengan pekerjaan anda.
    – Contoh dokumen sokongan adalah seperti surat kebenaran majikan, surat panggilan temuduga dan lain-lain
  • Dokumen Peribadi
    – Dokumen peribadi ini penting untuk mengesahkan status identiti calon
    – Dokumen ini termasuklah surat beranak, surat kahwin dan lain-lain
    – Jangan lupa untuk bawa salinan dokumen juga.

DOKUMEN YANG TIDAK PERLU DIBAWA

Berikut adalah senarai dokumen yang anda tidak perlu bawah semasa menghadiri temuduga:

  • Slip Keputusan Setiap Semester
    – Tidak perlu bawa transkrip setiap semester, cukup hanya bawah transkrip keseluruhan sahaja.
  • Sijil Penglibatan Zaman Persekolahan
    – Tidak kira anda terlibat sebagai Ketua Tingkatan, Olahragawan atau lain-lain, sijil tersebut tidak perlu dibawa.
    – Sijil ini memang penting untuk masuk IPT dulu, tetapi tidak saat anda mohon kerja
    – Hanya bawa sijil SPM beserta Sijil Ujian Lisan sahaja
  • Sijil UPSR & PMR
  • Sijil AJK Kelab Kampung
  • Sijil Penghargaan 
    – Sijil penghargaan tidak penting sama sekali untuk dibawa kerana sesetengah penemuduga akan menganggap anda hanya ingin menunjuk-nunjuk penghargaan yang anda peroleh.

Semoga perkongsian mengenai keperluan dalam membawa dokumen berkaitan untuk menghadiri temu duga ini dapat membantu calon sebagai rujukan. Peringatan buat calon, pastikan dokumen yang dibawa disusun dengan betul dan bawa yang penting sahaja berkaitan dengan jawatan yang dimohon.

Selamat maju jaya!

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma