Panduan Sebelum, Semasa & Cara Tamatkan Sesi Temuduga Online TSOI Dengan Betul
Perhatian buat calon yang bakal menghadiri temuduga bagi jawatan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)! Untuk makluman anda, pihak SPA telah memaklumkan pelaksanaan temuduga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah secara online In Situ (TSOI).
SPA akan melaksanakan temuduga secara online In Situ (TSOI) mulai 15 Jun 2021 di tempat masing-masing. Calon yang terlibat dikehendaki membuat persediaan awal kelengkapan peralatan dan talian internet bagi pelaksanaan temuduga secara online.
Kebanyakan syarikat swasta juga menjalankan temuduga secara online sepanjang tempoh pandemik. Jadi panduan yang dikongsikan ini juga terpakai kepada calon temuduga kerja swasta, bukan sahaja kerajaan.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui panduan semasa menghadiri temuduga online dan cara tamatkan sesi temuduga dengan betul.
Isi Kandungan
PANDUAN SEBELUM TEMUDUGA
Berikut adalah panduan penting sebelum temuduga online TSOI:
1) Semak Butiran Panggilan Temuduga
Calon perlu membuat semakan dan peka dengan tarikh dan masa sesi temuduga sepertimana yang tercatat dalam dokumen panggilan temuduga.
2) Lokasi Temuduga
Calon dikehendaki untuk menduduki temu duga secara maya di kediaman
masing-masing. Calon tidak perlu hadir ke mana-mana Pusat Temu Duga SPA.
3) Persiapan Teknikal
Calon perlu memastikan kelengkapan teknikal untuk menduduki temu duga maya tersedia termasuklah:
- Peranti (smartphone/laptop/desktop).
- Aplikasi temu duga maya yang ditetapkan dalam dokumen panggilan temu duga telah dimuat turun.
- Talian internet yang stabil dan kuota mobile data yang mencukupi bagi memastikan kelancaran sesi temu duga.
- Kamera pada peranti berfungsi dengan baik bagi membolehkan panel penemu duga dapat melihat imej calon dengan jelas.
- Penggunaan peranti sokongan untuk sistem audio (earphone/headphone/external microphone) adalah disarankan bagi membolehkan suara calon dan panel penemu duga dapat didengari dengan jelas.
- Calon perlu membuat semakan terhadap tetapan audio dan kamera pada peranti yang digunakan agar ditetapkan dalam mod ‘on’.
4) Pemilihan Ruang & Persekitaran Temuduga Yang Kondusif
Bagi membolehkan temu duga maya dilaksanakan dengan lancar, calon disyorkan untuk mengenal pasti dan menyediakan ruang persekitaran yang kondusif dan bersesuaian iaitu:
- Bebas dari bunyi bising yang dapat mengganggu sesi temu duga.
- Pencahayaan yang cukup. Elakkan kedudukan yang membelakangkan sumber cahaya bagi mengelakkan kesan backlight.
- Penggunaan ruang yang bersih dan kemas bagi mengelakkan konsentrasi panel penemu duga terganggu.
- Hanya calon sahaja dibenarkan untuk berada di ruang temu duga. Individu lain yang tidak berkaitan tidak dibenarkan untuk hadir temu duga bersamasama calon.
5) Melengkapkan dan Memuat Naik Dokumen Temu Duga di dalam Sistem MyResume
Calon perlu melengkapkan dan memuat naik dokumen-dokumen yang diperlukan di dalam Sistem MyResume.
6) Menghadiri Sesi Simulasi
Calon diwajibkan untuk menghadiri sesi simulasi bagi memastikan kesesuaian peranti dan rangkaian serta kelancaran sesi temu duga
PANDUAN SEMASA TEMUDUGA
Berikut adalah panduan penting semasa temuduga yang calon perlu ambil tahu:
1) Pemilihan Pakaian
Calon mestilah memakai pakaian yang sesuai mengikut Kod Etika Pakaian Temu Duga yang telah ditetapkan.
Rujuk: Tips Pakaian Yang Sesuai Untuk Temuduga Online [Calon Lelaki & Wanita]
2) Pemakaian Pelitup Muka
Calon TIDAK PERLU memakai pelitup muka/ face shield sepanjang sesi temuduga diadakan.
3) Persediaan Awal
Calon dinasihatkan untuk bersedia sekurang-kurangnya 10 minit lebih awal sebelum masa temuduga yang dijadualkan.
4) Rakaman Sesi Temuduga
Calon atau pihak ketiga DILARANG untuk membuat sebarang rakaman sesi temuduga.
5) Posisi Tempat Duduk Ideal
Calon harus memastikan:
- Jarak antara tempat duduk dan kamera yang sesuai bagi membolehkan panel penemu duga melihat imej calon secara menyeluruh.
- Kedudukan kamera yang ideal adalah pada ketinggian paras mata calon.
- Fokus pandangan mata pada kamera (bukannya pada skrin) bagi mewujudkan eye contact yang lebih tepat dengan panel penemu duga.
6) Tetapan Tambahan Pada Peranti
Nyahaktifkan fungsi notifikasi pada peranti bagi mengelakkan gangguan notifikasi sepanjang sesi temuduga.
7) Tetapan Tambahan Pada Peranti Lain (Jika ada)
Pastikan peranti lain yang ada di sekitar anda ditetapkan dalam mod senyap.
8) Permulaan Sesi Temuduga
Sesi temuduga dikira bermula sejurus sahaja panel penemu duga memulakan perbualan dan mengalu-alukan kehadiran calon. Bila dah buka sahaja camera, pastikan calon duduk dalam keadaan bersedia.
9) Pemakluman Kepada Panel Penemuduga Sekiranya Ada Gangguan Teknikal
Calon perlu memaklumkan kepada panel penemu duga sekiranya terdapat gangguan teknikal semasa sesi temu duga. Contohnya, suara panel penemu duga tidak dapat didengari calon.
CARA TAMATKAN SESI TEMUDUGA
Biasanya temuduga akan ditamatkan dengan soalan famous daripada panel penemuduga iaitu:
- Adakah anda ada sebarang pertanyaan?
Untuk jawab soalan ini anda boleh rujuk SENARAI SOALAN BERNAS yang boleh ditanya.
Dah tamat sesi temuduga dan panel telah memaklumkan temuduga tamat disitu, calon disarankan untuk:
- Pastikan talian pada aplikasi yang digunakan diputuskan sejurus sesi temuduga selesai
- Sebaiknya biarkan temuduga ditamatkan/ ditutup oleh panel penemuduga.
- Sekiranya panel meminta anda menutup atau menamatkan sesi temuduga, anda boleh bangun dengan sopan, kekalkan senyuman dan tunduk sedikit lalu tamatkan sesi temuduga.
Untuk makluman anda, temuduga secara online oleh SPA adalah melalui Cisco Webex. Calon yang sedang tunggu tarikh temuduga dah boleh DAFTAR CISCO WEBEX dari sekarang dan explore cara penggunannya agar tidak kelam kabut nanti.
Semoga bermanfaat!