Tips Persediaan Menghadapi Peperiksaan SPM Setelah Jadual Exam Ditunda
Memandangkan negara kita sekarang tengah berjuang untuk memutuskan rangkaian penularan wabak COVID-19, banyak perkara terpaksa dipinda buat masa sekarang.
Sama seperti perkara lain, peperiksaan awam termasuk SPM juga ditunda hingga ke suku pertama 2021. Bersediakah anda untuk menghadapi salah satu ujian paling genting dalam hidup iaitu peperiksaan SPM nanti?
Jangan sesekali memandang remeh peperiksaan SPM ini, kerana tanpa keputusan yang baik sukar untuk mencapai cita-cita yang dihajati. Memang kelihatan pindaan tarikh membuatkan calon SPM mempunyai lebih banyak masa untuk belajar, tetapi persediaan tetap perlu dilakukan seawal sekarang.
Waktu PKP bukanlah masa untuk pelajar bercuti atau bersuka ria. Inilah masanya untuk pelajar mempersiapkan diri untuk menghadapi SPM.
Ikuti perkongsian di bawah untuk tips persediaan menghadapi SPM.
Isi Kandungan
TIPS PERSEDIAAN MENGHADAPI SPM
1 Buat Nota Ringkas
Nota ringkas bukan nota panjang. Nota ringkas ini penting supaya anda tidak terlupa point penting. Maklumlah, apabila banyak menggunakan otak selalunya benda yang mudah pun akan lupa. Sepanjang tempoh PKP ini, ambil peluang untuk ulangkaji apa yang anda belajar di sekolah.
Buat nota ringkas selepas ulangkaji subjek tersebut supaya anda lebih mudah faham dan mudah cari apabila anda memerlukan point tersebut.
2 Pembelajaran Melalui Video
Pembelajaran melalui video akan memudahkan anda mengingati apa yang berlaku terutamanya subjek yang mempunyai fakta seperti sejarah. Info grafik yang dipertontonkan akan memudahkan anda memahami jalan cerita berbanding jika hanya membaca dan menghafal.
Ibarat seperti menonton drama di kaca televisyen. Kita mengingati setiap scene cerita. Siap boleh hafal dialog lagi. Makanya, kenapa anda tidak mahu gunakan teknologi untuk memudahkan anda ketika membuat ulang kaji.
3 Ulangkaji Secara SMART Bukan HARD
Otak yang letih takkan boleh menyerap ilmu dengan baik. Jika anda mengulang kaji seorang diri secara HARDCORE atau memaksa, semestinya tubuh badan anda akan keletihan kerana seakan memaksa otak berfungsi sedangkan otak kita sendiri mempunyai had tertentu. Ibarat perut yang disumbat dengan pelbagai macam makanan tanpa terkawal kemudian memuntahkan segalanya semula.
Bagaimana hendak belajar secara SMART?. Contohnya sehari hanya ulangkaji 2 subjek sahaja dan 1 subjek 2 bab. Buat ulang kaji bersama seorang rakan. Selepas memahaminya dengan jelas, rehat 15 minit dan teruskan ulang kaji dengan ceritakan semula dengan rakan mengenai topik berkenaan dan sebaliknya. Akhirnya untuk 2 jam pada hari berkenaan anda sudah boleh kuasai 2 topik. Bijak kan?
4 Bercakap Seorang Diri
Mengulang kaji dengan bercakap seorang diri bukan gila namanya, itu namanya fokus. Kajian memang membuktikan bahawa lebih banyak pancaindera yang kita gunakan, lebih banyak aktiviti di otak kita akan berfungsi dan lebih mudah untuk kita menerima pembelajaran yang sedang kita lakukan itu.
Jadi keluarkanlah bunyi untuk memastikan otak anda menjadi aktif. Untuk memahami pula, cuba diam sebentar dan bercakap dalam hati.
5 Hubungi Guru Jika Tidak Faham Sesuatu
Walaupun anda belajar di rumah sepanjang tempoh PKP, ini tak bermakna anda tidak perlu berhubung langsung dengan guru anda. Sekarang ada aplikasi WhatsApp yang membolehkan kita berhubung dengan seseorang secara mudah. Gunakan aplikasi tersebut untuk mesej guru anda dan tanya soalan ulangkaji yang anda tidak tahu jawapannya.
Jangan risau, guru yang bertanggungjawab tidak akan lupa tanggungjawabnya sebagai guru walau di mana pun mereka berada.
Akhir kata, sebenarnya banyak lagi tip yang boleh anda praktikkan, tetapi 5 tip ini wajib anda terapkan semasa mengulang kaji di rumah sebagai persediaan menghadapi peperiksaan kelak. Semoga berjaya!