Kemasukan Pelajar Ke IPT Berperingkat Mulai 15 Oktober. Ini Syarat Kemasukan & Pergerakan Pelajar

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah memaklumkan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus institusi pengajian tinggi (IPT) secara berperingkat mulai pertengahan Oktober 2021 ini.

Setelah sebahagian besar daripada keseluruhan 1.2 juta orang pelajar di IPT seluruh negara telah menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian melebihi 3 semester, akhirnya pelajar akan kembali ke kampus semula.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengumumkan SOP Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT. Ikuti perkongsian di bawah untuk semak syarat kemasukan dan pergerakan ke IPT.

TARIKH KEMASUKAN IPT

Kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus IPT secara berperingkat mulai:

  • Bermula 15 Oktober 2021

SYARAT KEMASUKAN PELAJAR KE IPT

Kemasukan pelajar ke IPT bermula 15 Oktober ini melibatkan:

  • Kemasukan pelajar yang telah lengkap divaksin
  • Melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa PPN dimana keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan
  • Hanya pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin dibenarkan masuk ke kampus
  • Perkara ini tertakluk kepada kapasiti IPT, dengan mematuhi SOP yang ditetapkan
  • Bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, ereka diminta untuk menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan

VACC2CAMPUS: PROGRAM VAKSINASI WARGA IPT

Bagi melancarkan proses kemasukan pelajar ini, KPT dengan kerjasama Badan bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang giat melaksanakan Program VACC2Campus bagi meningkatkan jumlah warga IPT yang mendapat vaksinasi lengkap sebelum kampus dibuka.

KPT mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan pelajar IPT yang boleh mendapat vaksin dan berdaftar dengan mySejahtera, akan menerima suntikan vaksin lengkap menjelang hujung Oktober 2021.

KPT menyeru semua pelajar dan kakitangan IPT yang masih belum divaksin, untuk segera berbuat demikian. Warga IPT boleh mendapatkan vaksin secara walk in di mana-mana PPV dengan membawa kad pelajar/ kad pekerja dan kad pengenalan. Bagi pelajar baharu, mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT beserta kad pengenalan.

Semak: Senarai Pusat Pemberian Vaksin Untuk Walk In Di Seluruh Negara

PERGERAKAN PELAJAR KE IPT

KPT telah menetapkan proses kemasukan pelajar ke IPT dilaksanakan secara BERPERINGKAT bermula 15 Oktober 2021, mengikut kalender akademik IPT masing-masing.

Pergerakan pelajar kembali ke kampus adalah berdasarkan kepada dua perkara berikut:

  • Bagi IPT di Semenanjung, hanya surat kebenaran kembali ke kampus daripada IPT diperlukan
  • Bagi IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan, adalah tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri masing-masing. Pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah/negeri daripada PDRM dan menjalani ujian Swab RT-PCR.
    – Cakna terhadap kos yang perlu ditanggung oleh pelajar, ujian ini akan diberikan secara percuma di klinik-klinik kesihatan kerajaan

KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Proses PdP akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP yang telah diluluskan oleh MKN. Bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP secara dalam talian di lokasiliti masing-masing.

Aktiviti-aktiviti melibatkan makmal, bengkel, studio dan penyelidikan boleh dijalankan secara berkumpulan, berpandukan SOP yang ditetapkan.

PENGURANGAN YURAN 20%

Atas dasar keprihatinan serta kecaknaan KPT terhadap bebaan keluarga dan pelajar, KPT telah mengumumkan:

  • Pengurangan yuran sebanyak 20% kepada semua pelajar warganegara di Universiti Awam (UA) bagi Semester 1 sesi 2021/2022

Bagi mendapatkan maklumat terkini, pelajar boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang beroperasi 24 jam setiap hati atau melayari laman web KPT.

Sumber

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma