Cara Semak Program Pengajian Yang Diiktiraf Oleh MQA
Kenapa pengiktirafan MQA penting? Kelayakan yang diiktiraf atau kelayakan yang diiktiraf setaraf adalah menjadi salah satu syarat utama untuk pelantikan dalam Perkhidmatan Awam sebagaimana yang dinyatakan dalam skim-skim perkhidmatan.
Pengiktirafan kelayakan dari Institusi Pendidikan Tinggi dalam dan luar negara adalah melibatkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Pertama sahaja.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui cara membuat semakan status pengiktirafan kelayakan Program Pengajian anda.
Isi Kandungan
PENGIKTIRAFAN AGENSI KELAYAKAN MALAYSIA
Untuk pengetahuan anda, kelayakan yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia yang tersenarai dalam eSisraf adalah sehingga Disember 2016 SAHAJA. Di bawah pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), program-program baharu yang mendapat pengiktirafan Kerajaan Malaysia tidak lagi dimuat naik dalam sistem ini.
Sebaliknya mulai Januari 2017, semua program baharu boleh dirujuk melalui Daftar Kelayakan Malaysia (MQR). Bagi tujuan pengesahan kelayakan individu bagi program dalam dan luar negara tidak akan dilaksanakan oleh MQA. Maklumat mengenai sesuatu kelayakan boleh diperolehi dengan menyemak dan mencetak dari eSisraf atau MQR.
CARA SEMAK STATUS PENGIKTIRAFAN MQR
Untuk membuat semakan status pengiktirafan Program Pengajian oleh MQR, ikuti langkah berikut:
- Layari laman web Malaysian Qualifications Register (MQR)
- Pilih jenis institusi anda di bahagian ‘Search For Qualification‘
- Nama-nama institusi akan dipaparkan, klik pada institusi pengajian anda
- Klik Reference Number (nombor berwarna biru) di Program Pengajian anda
- Maklumat Program Pengajian akan dipaparkan
- Klik ‘Printer friendly version‘ untuk cetak Sijil Pengiktirafan Kelayakan MQR
Siap! Cetakan Pengiktirafan Kelayakan yang dicetak tersebut sangat penting untuk diberikan kepada pihak penemuduga semasa sesi temuduga anda nanti.
Untuk maklumat lanjut mengenai kelayakan pengiktirafan MQA, anda boleh hubungi talian 03 86881900 atau ajukan pertanyaan ke saluran Sistem Pengurusan Pertanyaan & Aduan.