Permohonan Dana SME Technology Transformation Fund (STTF), Pembiayaan Sehingga RM3.0 Juta
Dana SME Technology Transformation Fund (STTF) merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan dan merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi Kerajaan.
Matlamat dana STTF ini diperkenalkan adalah bagi menyediakan bantuan kewangan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk penggunaan digital dan automasi di dalam operasi perniagaan bagi mencapai produktiviti yang lebih tinggi, kecekapan proses serta pengurusan kos dan meningkatkan penembusan pasaran.
Bagi individu yang berminat untuk membuat permohonan, anda boleh lihat cara memohon dan semak kelayakan di perkongsian bawah.
Isi Kandungan
SYARAT KELAYAKAN PERMOHONAN STTF
Individu yang layak memohon adalah semua PKS seperti yang didefinisikan oleh Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan yang memenuhi kriteria berikut:
- Berdaftar dengan SSM, atau pihak berkuasa/pejabat daerah (untuk Sabah dan Sarawak), atau badan berkanun untuk perkhidmatan professional;
- Pegangan saham oleh Syarikat Tersenarai Awam atau Syarikat Berkaitan Kerajaan (sekiranya ada) tidak melebihi 20%;
- Sekurang-kurangnya 51% pegangan saham dimiliki oleh warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia;
- Telah beroperasi sekurang-kurangnya selama 2 tahun;
- Kedudukan kewangan yang solven; dan
- Tiada tindakan undang-undang terhadap Syarikat atau mana-mana pengarah/ pemegang saham/ rakan kongsi/ pemilik/ penjamin di bawah mana-mana undang-undang di Malaysia.
TUJUAN PEMBIAYAAN
Tujuan pembiayaan ini adalah untuk pembelian seperti berikut:
- Peralatan atau mesin;
- Perkakasan dan perisian komputer;
- Penyelesaian dan perkhidmatan teknologi maklumat;
- Perkhidmatan sokongan teknologi; dan
- Lain-lain aset tidak ketara untuk tujuan meningkatkan kecekapan dan produktiviti.
STRUKTUR PEMBIAYAAN STTF
STTF akan ditawarkan dalam bentuk Pembiayaan Berjangka Komoditi Murahabah dengan kadar keuntungan dan tempoh pembiayaan yang telah ditentukan. Margin pembiayaan adalah sehingga 80% daripada kos pembelian.
Pemohon yang layak boleh menerima pembiayaan bermula RM100,000 sehingga RM3.0 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.
Pihak bank akan memerlukan cagaran daripada pemohon. Aset yang dibiayai menggunakan STTF akan menjadi cagaran kepada pembiayaan sebagai tambahan kepada jaminan peribadi atau jaminan bersama dan berasingan. Pihak Bank juga akan mendapatkan skim jaminan daripada Credit Guarantee Corporation (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).
DOKUMEN YANG DIPERLUKAN
PKS yang ingin membuat permohonan perlu kemukakan dokumen-dokumen berikut:
- Salinan kad pengenalan untuk semua pengarah/ pemegang saham/ rakan kongsi/ pemilik/ penjamin
- Salinan pendaftaran perniagaan yang sah.
- Dokumen kesetiausahaan yang diperakui (sebagai contoh Borang 24, Borang 49, M&A, yang mana berkenaan).
- Akaun beraudit terkini untuk tahun kewangan yang tidak melebihi atau bersamaan dengan 18 bulan dari tarikh permohonan pembiayaan.
- Penyata akaun bank untuk 6 bulan terakhir yang disahkan.
- Pelan perniagaan yang menampilkan penggunaan digital dan automasi. Ia juga merangkumi kecekapan operasi, peningkatan produktiviti dan keberkesanan kos.
- Lain-lain dokumen yang berkaitan dengan pembiayaan yang diperlukan oleh pihak Bank.
CARA MEMOHON
Untuk membuat permohonan pembiayaan STTF, pemohon perlu sediakan dokumen-dokumen yang dinyatakan di atas serta Borang Permohonan Pembiayaan SME dan Borang Penyata Diri yang boleh di dapatkan di pautan berikut:
Dokumen dan borang yang lengkap diisi perlu dihantar ke cawangan SME Bank berdekatan. Semak cawangan SME Bank di sini:
Untuk pertanyaan lanjut mengenai permohonan pembiayaan STTF, anda boleh hubungi pihak SME Bank di talian 03- 2603 7700 atau email ke customercare@smebank.com.my. Anda juga boleh dapatkan maklumat lanjut di laman rasmi SME Bank.