Kelebihan Sertai PALAPES Semasa Di Universiti Yang Pelajar Biasa Tak Dapat

PALAPES merupakan singkatan kepada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan iaitu merupakan satu badan kokurikulum di Universiti. Sertai PALAPES bermakna secara tidak langsung anda telah sertai Angkatan Tentera Malaysia di Rejimen Askar Wataniah (Darat).

Kemasukan ke universiti akan bermula tidak lama lagi. Mungkin ada universiti yang masih belum membuka permohonan penyertaan PALAPES ini. Pelajar TIDAK WAJIB pun sertai PALAPES, tetapi jika anda sertai, banyak kelebihan yang bakal anda nikmati.

Kelebihan Sertai PALAPES Semasa Di Universiti Yang Pelajar Biasa Tak Dapat

Ikuti perkongsian di bawah jika nak tahu kelebihan-kelebihan menyertai PALAPES di universiti.

KELEBIHAN SERTAI PALAPES

1 Mendapat Jaminan Kolej Kediaman

Sekiranya anda baru memasuki alam universiti, anda perlu tahu bahawa tidak setiap tahun anda akan mendapat tawaran penginapan kolej kediaman di universiti. Setiap universiti berbeza-beza syarat untuk mendapatkan kolej kediaman setiap semester. Ada universiti yang meletakkan syarat agar pelajar aktif kokurikulum untuk mendapatkan kolej kediaman.

Namun dengan sertai PALAPES, ianya akan menjadi kolej kediaman anda untuk sepanjang pengajian. Jadi anda hanya perlu tumpu pada PALAPES sahaja. Tidak perlu kejar markah merit kolej kediaman dengan sertai pelbagai event atau acara bagi menjamin penempatan kolej kediaman.

2 Dapat Elaun

Bila anda sertai PALAPES, setiap kali latihan yang dijalankan anda akan terima bayaran. Paling lumayan adalah latihan tempatan iaitu RM60 sehari. Belum pula termasuk latihan berterusan dan annual camp. Setiap latihan atau aktiviti yang dijalankan bersama PALAPES anda akan terima bayaran elaun. Seronok kan?

3 Makanan Percuma

Setiap kali latihan anda tidak perlu risau memikirkan berkaitan duit makan. Setiap kali latihan, makanan akan disediakan dari pagi sampai malam. Namun anda jangan risau, latihan tidak dilakukan setiap hari. Ada hari-hari tertentu sahaja pelajar perlu ikuti latihan.

4 Belajar Ilmu Perang

Walaupun masih Inter di dalam PALAPES, ketika Junior ini anda akan belajar pelbagai ilmu seperti membaca peta sehinggalah bahasa isyarat medan atau dipanggil IMP. Selain itu anda berpeluang memegang senjata M16, GPMG, dan senjata-senjata lain.

Menarik kan? Pengalaman ini tidak mungkin akan dirasai oleh pelajar universiti biasa. Ruginya zaman universiti anda jika anda tidak merasakan pengalaman-pengalaman sebegini!

5 Belajar Disiplin Masa

Dalam PALAPES, peserta akan dilatih untuk berdisiplin dari segi masa terutamanya dalam perbarisan. Perkara ini jika diaplikasikan kepada kehidupan seharian ianya sangat bagus. Bila anda sudah terbiasa dengan disiplin masa, urusan anda selepas ini akan menjadi lebih mudah.

Jika dibawa hingga ke alam pekerjaan pun, pasti anda mudah diambil kerja jika mempunyai disiplin diri terutama dari segi masa.

6 Melatih Leadership

Setiap kali latihan akan sentiasa diselitkan dengan perkara Leadership sebagai seorang pegawai. Sebenarnya leadership tentera bukan hanya tegas yang macam kita lihat di kaca TV. Tetapi kita akan diajar macam mana nak kawal anak buah dan buat orang jadi loyal dengan cara tersendiri.

7 Melatih Untuk Menjadi lebih Kuat

Pelajar bukan sahaja akan dilatih untuk menjadi kuat dari segi fizikal, malah juga lebih kepada mental. Pelajar akan merasa macam mana rasanya bila jalan berpuluh kilometer tapi tak sampai-sampai, tidak mandi 3 hingga 4 hari dan pelbagai ujian.

Melalui setiap latihan yang dijalankan, anda akan diuji dan berlatih untuk tahan dengan setiap latihan. Lama kelamaan, anda akan merasakan setiap ujian adalah perkara biasa dan anda mampu atasi setiap rintangan.

Kelebihan Sertai PALAPES Semasa Di Universiti Yang Pelajar Biasa Tak Dapat

Kelebihan-kelebihan menjadi PALAPES semasa di universiti ini tidak mungkin akan dinikmati oleh pelajar lain. Mungkin ada ura-ura menyatakan bahawa menyertai PALAPES ini agak teruk dan mungkin menganggu pelajaran nanti. Sebenarnya jika anda bijak mengurus masa dan kuat dari segi mental, penyertaan PALAPES tidak akan menganggu pelajaran anda.

Semoga bermanfaat!

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma