7 Kategori OKU Yang Boleh Dipertimbangkan Bagi Pendaftaran OKU Di Bawah JKM
Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, “OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat
Individu OKU boleh membuat pendaftaran di Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU dan membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan berdasarkan tahap kefungsian/ketidakupayaan mereka.
Terdapat 7 kategori OKU yang boleh dipertimbangkan bagi pendaftaran OKU di bawah JKM.
Isi Kandungan
7 KATEGORI OKU
Berikut adalah tujuh kategori Orang Kurang Upaya (OKU) Yang boleh dipertimbangkan bagi pendaftaran OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat:
Kategori 1: OKU Fizikal
OKU fizikal yang bermaksud keadaan di mana berlaku kehilangan separa atau sepenuhnya mana-mana bahagian anggota badan termasuklah kehilangan tangan, kaki, jari tangan atau jari kiri.
Kategori 2: OKU Penglihatan
OKU penglihatan di mana seseorang individu tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad pada kedua-dua belah mata.
Kategori 3: OKU Pendengaran
OKU pendengaran di mana seseorang individu tidak dapat mendengar dengan jelas dengan kedua-dua belah telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantuan pendengaran.
Kategori 4: OKU Pertuturan
OKU pertuturan di mana seseorang individu tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan dalam berkomunikasi dengan sempurna serta tidak boleh difahami orang yang berinteraksi dengannya.
Kategori 5: OKU Mental
OKU mental yang melibatkan individu berpenyakit mental teruk yang telah diberi rawatan atau telah diberi diagnosis selama sekurang-kurangnya dua tahun oleh pakar psikiatri. Individu yang mengalami ketidakupayaan jenis ini tidak berupaya untuk berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan diri atau perhubungannya dalam masyarakat.
Kategori 6: OKU Pelbagai
OKU pelbagai iaitu melibatkan individu yang mengalami lebih daripada satu jenis ketidakupayaan.
Kategori 7: OKU Pembelajaran
OKU pembelajaran di mana seseorang individu mempunyai masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usianya. Contoh OKU pembelajaran adalah seperti Autisme, Sindrom Down, ADHD dan sebagainya.
Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada ahli masyarakat di mana mereka juga mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain.
Bersama-sama kita menghormati hak dan keistimewaan Orang Kurang Upaya (OKU). Sekiranya anda mempunyai ahli keluarga yang tergolongan dalam kategori OKU di atas, anda boleh buat pendaftaran OKU dengan JKM sekarang dengan klik butang di bawah untuk panduan: