Itali Kini Lancar Operasi Tahan Mereka Yang Ingkar Arahan ‘Lockdown’

 

ROM, 18 Mac (Bernama) — Berikutan peningkatan jumlah kes pelanggaran “lockdown” memaksa pihak berkuasa Itali mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasakan undang-undang demi untuk membendung wabak COVID-19 yang semakin menular di negara Eropah itu, lapor agensi berita Anadolu.

Data Kementerian Dalam Negeri, dalam tempoh 11 hingga 15 Mac, lebih 665,000 orang diwajibkan menjalani pemeriksaan.

Dalam tempoh itu juga lebih 27,600 penduduk dan kira-kira 1,100 pemilik perniagaan dilaporkan melanggar arahan “lockdown”.

Itali negara Eropah paling teruk terjejas akibat COVID-19 yang kini meragut 2,000 nyawa, mendesak kerajaan untuk mengenakan perintah ‘lockdown”.

Mereka yang keluar rumah perlu mendapatkan kebenaran dan hanya  tertakhluk untuk empat kes sahaja iaitu bekerja, kesihatan, keperluan asas dan pulang ke rumah sendiri.

Beberapa perniagaan termasuk pasar raya, rangkaian pasar raya besar dan kedai runcit masih beroperasi dengan menyediakan khidmat penghantaran.

Semua sekolah dan universiti ditutup sehingga 3 April, tetapi guru dan profesor boleh menggunakan pembelajaran secara dalam talian.

Gymnasium dan taman permainan ditutup, sementara pengangkutan awam masih beroperasi tetapi terhad.

Menurut data terbaru Yayasan Perunding Pekerjaan Itali, kira-kira tiga juta pekerja – lebih 13 peratus tenaga kerja – dipaksa dikuarantin di rumah.

Kerajaan turut meluluskan pakej rangsangan ekonomi bernilai €25 bilion, termasuk baucar pengasuh untuk keluarga dan bonus untuk beberapa kategori pekerja.

COVID-19 yang pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember, merebak ke sekurang-kurangnya 163 negara dan wilayah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik.

Daripada lebih 197,000 kes disahkan, angka korban kini melebihi 7,900, sementara lebih 81,000 pesakit pulih, menurut Worldometer.

Jumlah kes aktif melebihi 107,000 – tujuh peratus pesakit dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

WHO juga mengisytiharkan Eropah sebagai pusat penularan baharu pandemik COVID-19.

— BERNAMA

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma