Etika Masuk Ke Bilik Temuduga & Mengundur Diri Selepas Temuduga Kerajaan

Setiap calon pasti berhasrat untuk lulus setiap temuduga yang dihadiri. Untuk lulus, pelbagai persiapan akan dilakukan dari segi pemakaian, susunan dokumen, masa dan sebagainya. Namun, ramai yang tidak buat persiapan etika masuk ke bilik temuduga dan mengundur diri selepas temuduga.

Mungkin calon tidak tahu sebenarnya saat melangkah masuk ke bilik temuduga pun sudah ada markah dinilai! Silap langkah masuk ke bilik temuduga, markah mungkin boleh ditolak.

Walaupun nampak mudah, calon perlu tahu etika yang betul untuk masuk ke bilik temuduga dan mengundur diri selepas temuduga.

ETIKA MASUK KE BILIK TEMUDUGA

Berikut adalah langkah demi langkah masuk ke bilik temuduga:

1) Nama Akan Dipanggil

Apabila sudah tiba giliran anda, nama anda akan dipanggil. Saat itu, bangun dengan tenang dan jangan sesekali gelabah. Perasaan gopoh itu memang biasa akan hadir dalam diri setiap calon. tetapi cuba kawal diri untuk bertenang. Anggap sahaja anda akan berjumpa dengan guru besar.

Baca juga: Gemuruh? Ini 9 Tips Untuk Lebih Tenang & Yakin Menghadiri Sesi Temuduga

2) Ketuk Pintu Bilik Temuduga

Setelah bangun dengan tenang dari tempat menunggu, ketuk bilik temuduga sebanyak 3 KALI dengan sederhana. Jangan terlalu kuat, jangan terlalu perlahan. Pastikan didengari dari dalam. Tunggu ada arahan MASUK terlebih dahulu baru anda boleh masuk. Jangan main masuk sahaja tanpa disuruh.

3) Pegang Dokumen Dengan Betul

Apabila dah dapat arahan masuk, langkah masuk ke bilik temuduga dengan tenang sambil senyum. Pastikan anda berjalan sambil pegang dokumen di belah kiri dan rapatkan ke peha. Jangan pula anda peluk dokumen itu.

4) Serahkan Dokumen Kepada Penemuduga

Biasanya akan ada 3 orang penemuduga di hadapan anda. Berdiri di tengah-tengah antara mereka. Serahkan dokumen-dokumen anda kepada mereka. Pastikan anda pusingkan dokumen ke arah mereka untuk senang mereka semak.

5) Tunggu Arahan Duduk

Langkah ke belakang berdekatan dengan kerusi anda. Tunggu sampai salah seorang daripada penemuduga bagi arahan DUDUK baru anda duduk. Jangan sesekali membelakangkan penemuduga.

Sesi temuduga akan bermula. Tunggu penemuduga bagi soalan bagi anda mulakan bicara.

ETIKA MENGUNDUR DIRI SELEPAS TEMUDUGA

1. Bangun & Berjalan Ke Depan

Setelah selesai sahaja sesi temuduga, bangun dengan cermat dan jalan ke hadapan penemuduga untuk mengambil fail anda dengan senyuman.

2. Ucapkan Terima Kasih

Saat anda mengambil fail dari penemuduga, pastikan anda senyum dan ucapkan terima kasih atas peluang temuduga dan masa mereka. Salam penemuduga tersebut (pastikan yang sesama jantina sahaja).

3. Langkah Ke Belakang Dan Keluar

Kemudian, langkah semula ke belakang dan jangan membelakangkan penemuduga tersebut. Jalan keluar daripada bilik temuduga tersebut dengan sopan. Macam mana anda masuk tadi, fail perlu dipegang di sebelah kiri peha. Jangan jalan sambil peluk fail.

Calon perlu ingat, penilaian tetap berjalan sehingga calon melangkah keluar daripada bilik temuduga. Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dalam menghadiri temuduga.

Selamat maju jaya!

Baca juga: Nak Lulus Temuduga Kerajaan, Jangan Sesekali Lupa Lakukan 6 Persediaan Wajib Ini

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma