Penting Untuk Anda Cuci Telefon Bimbit Anda Bagi Mengelakkan Jangkitan Wabak COVID-19. Ini Caranya
Kemana sahaja kita berada, telefon bimbit pasti menjadi perkara utama untuk dibawa bersama. Selain topeng muka dan sentiasa mencuci tangan, tahukah anda bahawa mencuci telefon bimbit sekerap mungkin juga adalah salah satu cara untuk mengelakkan terkenanya jangkitan COVID-19 yang kini menular di merata tempat.
Mungkin ada yang sedar dan mungkin juga masih ramai yang tidak sedar perkara ini. Kebanyakan orang menganggap perkara ini remeh kerana tidak dapat melihat betapa banyaknya sebenarnya kuman berada di telefon bimbit kita.
Ikuti perkongsian di bawah untuk mengetahui sebab telefon bimbit perlu dicuci dan cara yang betul untuk nyah kuman telefon bimbit anda.
Isi Kandungan
KENAPA TELEFON PERLU DICUCI?
Menurut laporan dari Daily Mail, pegawai perubatan menerusi satu siaran rancangan Good Morning America edisi Khamis menyarankan orang ramai berbuat demikian. Menurut pakar tersebut, telefon pintar boleh membawa ribuan kuman pada satu-satu masa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Oleh itu adalah sangat wajar ia perlu dibersihkan sekerap mungkin sama seperti mencuci tangan.
“Sekerap mana anda mencuci tangan, begitu juga yang perlu dilakukan kepada telefon pintar.
“Jadi, orang ramai dinasihatkan mengelap telefon pintar mereka dengan tisu beralkohol bagi membunuh sekurang-kurangnya 99 peratus bakteria yang ada,” katanya.
CARA MUDAH CUCI TELEFON BIMBIT
Jangan sembur cecair pembersih secara langsung ke telefon atau mencelupnya dalam larutan pembersih. Tindakan tersebut sudah pastinya mampu merosakkan telefon pintar anda
Berikut adalah langkah-langkah mudah yang betul untuk anda pastikan telefon bimbit sentiasa bersih.
- Matikan telefon terlebih dulu dan jangan sambungkan kepada alat pengecas.
- Tisu basah dengan kandungan 70 peratus alkohol sangat sesuai digunakan untuk membersihkan telefon atau gajet yang lain.
- Perah tisu basah terlebih dahulu bagi membuang cecair lebihan sebelum digunakan pada telefon anda.
- Bersihkan dengan lembut dan jangan tekan tisu basah pada telefon. Anda juga boleh menggunakan tuala kecil sebagai pengganti tisu.
Mudah kan? Langkah ini tidak mengambil masa yang lama pun. Apa yang penting sekarang adalah kebersihan harus sentiasa dijaga. Kita sendiri tahu pelbagai benda dan kuman yang kita sentuh setiap masa. Selepas itu pindahkan pula kuman itu pada telefon bimbit.
Mungkin sesetengah orang menganggap perkara ini remeh tetapi jangan sesekali ambil mudah memandangkan wabak COVID-19 kini menular di merata tempat dan mudah terlekat di permukaan benda.
Ingat, mencegah adalah lebih baik daripada mengubat. Selamat beramal!