Mohon Biasiswa Pendidikan Universiti UMK. Tajaan Yuran Pengajian & Elaun RM500 Sebulan

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan Biasiswa Pendidikan Universiti (BPU) bagi memberi sokongan kewangan kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran bagi pelajar tempatan dan Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran sahaja bagi pelajar antarabangsa.

Penajaan biasiswa diberikan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Biasiswa Pendidikan Universiti (JKBPU).

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut permohonan Biasiswa Pendidikan Universiti.

PENAJAAN BIASISWA PELAJAR

Biasiswa ini ditawarkan kepada 20 orang pelajar dari kategori tempatan dan 20 orang pelajar antarabangsa pada satu-satu masa.

Pelajar Tempatan

  • Penajaan biasiswa meliputi yuran pengajian, yuran perkhidmatan dan lain-lain yuran yang dikenakan kepada pelajar.
  • Elaun Sara Hidup sebanyak RM500.00 setiap bulan dalam tempoh semester pengajian yang wajib dihadiri.

Pelajar Antarabangsa

  • Penajaan biasiswa meliputi yuran pengajian, yuran perkhidmatan dan lain-lain yuran yang dikenakan kepada pelajar antarabangsa tidak termasuk kos Medical Check up, Personal Bond dan Wang Hemat Diri;
  • Pelajar antarabangsa yang menerima penajaan Biasiswa adalah layak menerima semua kemudahan yang disediakan oleh pihak Universiti termasuk perubatan, perpustakaan dan pengangkutan.

SYARAT KELAYAKAN

Permohonan penajaan biasiswa ini terbuka kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan berikut:

Syarat Umum

  • Tempatan – Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran
  • Antarabangsa – Sarjana dan Kedoktoran
  • Sama ada warganegara atau bukan warganegara Malaysia;
  • Berumur 45 tahun dan ke bawah;

Syarat Akademik

Bagi pelajar tempatan, calon mestilah mempunyai kecemerlangan akademik dan bukan akademik yang diiktiraf oleh JKBPU serta memenuhi kriteria berikut:

  • Mencapai PNGK ≥3.50 dan ke atas di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia/ UIA/ Politeknik/ Program Asasi IPTA/ Diploma dan lain-lain setaraf dengannya bagi Ijazah Sarjana Muda.
  • Mendapat pangkat Jayyid Jiddan di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
  • Mencapai sekurang-sekurangnya PNGK ≥ 3.50 atau Ijazah Sarjana Muda yang setaraf dengannya bagi Ijazah Sarjana.
  • Mencapai sekurang-sekurangnya PNGK ≥ 3.50 dan ke atas di peringkat ijazah pertama daripada mana mana universiti yang diiktiraf bagi Ijazah Kedoktoran.
  • Tidak menerima apa-apa biasiswa atau penajaan lain semasa memohon atau menerima penajaan biasiswa ini;
  • Mengikuti kursus dan program pengajian secara sepenuh masa di UMK;
  • Keutamaan diberikan kepada pelajar cemerlang dari golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Bagi pelajar antarabangsa, calon mestilah mempunyai kecemerlangan akademik dan bukan akademik yang diiktiraf oleh JKBPU serta memenuhi kriteria berikut:

  • Mencapai sekurang-sekurangnya PNGK ≥ 3.50 atau Ijazah Sarjana Muda yang setaraf dengannya bagi Ijazah Sarjana.
  • Mencapai sekurang-sekurangnya PNGK ≥ 3.50 dan ke atas di peringkat ijazah Sarjana daripada mana-mana universiti yang diiktiraf bagi Ijazah Kedoktoran.
  • Tidak menerima apa-apa biasiswa atau penajaan lain semasa memohon atau menerima penajaan biasiswa ini;
  • Mengikuti kursus dan program pengajian secara sepenuh masa di UMK

DOKUMEN YANG DIPERLUKAN

Sediakan dokumen sokongan yang telah disahkan berikut untuk membuat permohonan:

  • 1 keping gambar berukuran pasport
  • Salinan Kad Matrik Pelajar
  • Salinan Kad Pengenalan/Pasport
  • Salinan Transkrip Akademik Sarjana Muda dan Sarjana (disahkan benar dari salinan asal)
  • Salinan Surat Tawaran Pengajian di UMK
  • Satu (1) muka surat abstrak /Ringkasan Eksekutif cadangan penyelidikan
  • Salinan slip gaji Ibu/Bapa/Penjaga yang telah disahkan (jika berkenaan)
  • Salinan slip gaji Suami/Isteri yang telah disahkan (jika berkenaan)
  • Pengesahan Penyelia
  • Perakuan dan Kelulusan Dekan Fakulti

CARA MOHON BIASISWA

Permohonan adalah dipelawa daripada pelajar yang telah menerima surat tawaran untuk melanjutkan pengajian secara sepenuh masa peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana atau Ijazah Kedoktoran di UMK.

Pelajar yang ingin memohon perlu mengisi borang permohonan biasiswa. Borang boleh dimuat turun melalui pautan di bawah. Lampiran 1 bagi pelajar prasiswazah manakala Lampiran 2 bagi pelajar pascasiswazah.

Klik butang di bawah untuk muat turun borang permohonan biasiswa:

borang permohonan biasiswa pendidikan universiti

Pelajar hendaklah melengkapkan borang permohonan bersama dokumen sokongan dan dihantar kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) bagi pelajar prasiswazah manakala bagi pelajar pascasiswazah kepada Pusat Pengajian Siswazah (PPS). Permohonan yang tidak lengkap atau tidak memenuhi syarat permohonan tidak akan diproses oleh BPA/ PPS.

Permohonan dihantar ke:

  • Dekan
    Pusat Pengajian Siswazah,
    Universiti Malaysia Kelantan,
    Kampus Kota, Pengkalan Chepa
    16100 Kota Bharu ,Kelantan
  • Emel : siswazah@umk.edu.my
  • Tel : :+609-7717145 / 7049
  • Faks:+609-7717162

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma