Soalan Interview “Apa Kelemahan Anda?” – Ini Cara Bijak Nak Jawab Supaya Panel Suka!

Bayangkan anda sedang dalam sesi temuduga yang berjalan lancar. Anda jawab semua soalan dengan yakin, siap ada senyuman kecil dari panel. Tiba-tiba salah seorang panel bertanya:
“Baik, boleh tak awak kongsikan kelemahan awak?”
Fuhh, terus hilang tenang. Soalan yang nampak ringkas ni sebenarnya cukup mencabar dan ramai calon tersangkut di sini.
Soalan tentang kelemahan diri bukan direka untuk menjatuhkan anda. Sebaliknya, ia adalah peluang terbaik untuk menunjukkan tahap kesedaran kendiri (self-awareness) dan kebolehan menambah baik diri. Panel mahu tahu sejauh mana anda mengenali kelemahan sendiri dan sama ada anda bersikap terbuka serta bersedia untuk memperbaikinya.
Malangnya, ramai calon memberikan jawapan yang terlalu klise, dibuat-buat atau terlalu negatif – yang akhirnya memberi kesan buruk pada persepsi panel. Ada juga yang cuba menipu kononnya “tiada kelemahan”, yang sebenarnya satu kesilapan besar kerana tiada siapa yang sempurna. Apa yang panel nak dengar adalah usaha anda mengurus dan memperbaiki kekurangan.
Jadi, dalam artikel ini, kami akan kongsikan contoh jawapan bijak dan strategi profesional yang boleh anda guna bila ditanya soalan sensitif ini. Jawapan yang baik bukan hanya menyebut kelemahan, tapi perlu disertakan dengan langkah atau tindakan pembetulan yang anda sedang atau telah ambil. Jom bersedia dengan jawapan yang buat panel angguk setuju!
Kenapa Panel Tanya Soalan Tentang Kelemahan?
- Untuk melihat tahap kesedaran kendiri anda
- Menguji keterbukaan terhadap kritikan dan penambahbaikan
- Melihat sejauh mana anda menyusun kata-kata ketika dalam tekanan
- Untuk menilai sikap anda terhadap cabaran diri sendiri
Artikel Berkaitan: “Kenapa Mohon Jawatan ini?”. 4 Jawapan Ini Boleh Buat Anda Gagal Temuduga
Contoh Jawapan Bijak & Realistik
1. “Saya seorang yang terlalu teliti”
“Saya sangat ambil berat terhadap perincian kerja, tapi kadang-kadang jadi terlalu teliti hingga ambil masa lebih lama untuk siapkan tugasan. Sekarang saya sedang belajar untuk urus masa dengan lebih baik dan fokus pada keutamaan.”
Kenapa bijak? Anda tunjukkan nilai positif (tekun), tapi tahu hadnya dan sedang perbaiki.
2. “Saya cepat gugup bila bercakap depan ramai”
“Saya dulu selalu rasa gementar bila bercakap dalam kumpulan besar. Tapi sekarang saya ambil inisiatif hadir latihan komunikasi dan cuba bercakap lebih kerap dalam mesyuarat.”
Kenapa bijak? Panel nampak anda berani keluar dari zon selesa dan belajar.
3. “Saya mudah tertekan bila deadline serentak”
“Saya pernah alami tekanan bila banyak deadline bertindih. Tapi sekarang saya guna to-do list, buat perancangan lebih awal dan utamakan tugas ikut keperluan.”
Kenapa bijak? Anda tidak lari daripada masalah, sebaliknya bertindak.
Elakkan Jawapan Ini!
- “Saya tiada kelemahan.” ❌
- “Saya terlalu sempurna.” ❌
- “Saya suka buat kerja semua sendiri.” ❌
- “Saya selalu marah bila kerja tak ikut cara saya.” ❌
Jawapan begini akan beri gambaran negatif atau tidak jujur. Ia boleh jadi punca anda ditolak tanpa sedar.
Baca Artikel Ini: Hadir 10-15 Minit Awal ke Sesi Temuduga: Senjata Rahsia Calon Berjaya
Tips Bonus Nak Bagi Jawapan Nampak ‘Smart’
- Pilih kelemahan yang tidak berkait secara langsung dengan tugas utama jawatan tersebut.
- Nyatakan usaha atau tindakan yang anda ambil untuk atasi kelemahan itu.
- Guna ayat yang positif dan bersifat membina, bukan merendah diri atau merosakkan imej.
Baca Ini: Pernah Gagal atau Tolak Temuduga SPA? Jangan Risau, Masih Ada Peluang!
Penutup: Kelemahan Bukanlah Kekurangan Mutlak
Panel bukan nak cari calon sempurna. Mereka cari calon yang sedar diri, mampu belajar dan berkembang. Jadi bila ditanya tentang kelemahan, jawab dengan jujur, tapi jangan berhenti di situ. Tambahkan nilai dengan menunjukkan usaha anda memperbaikinya. Itulah yang membezakan calon biasa dan calon luar biasa.