Apa Hukum Meninggalkan Solat Jumaat 3 Kali Sepanjang PKP? Ini Penjelasan Mufti

Pasti ada yang rindu untuk pergi solat jumaat kan? Ada juga yang rasa berdosa kerana tinggalkan solat jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Maklumlah, solat jumaat merupakan solat yang wajib ditunaikan oleh lelaki.

Seperti sedia maklum, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua aktiviti yang melibatkan perhimpunan beramai-ramai adalah dibatalkan termasuklah aktiviti keagamaan.

Hasil perbincangan antara mufti-mufti dan pakar kesihatan, ahli agama mengambil keputusan untuk menghentikan solat Jumaat di semua masjid seluruh negara.

Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui penjelasan mufti mengenai masalah ini

HUKUM SOLAT JUMAAT

Berikut adalah penjelasan seorang mufti terhadap soalan yang menjadi tanda tanya ramai umat.

Soalan :

Assalamualaikum ustaz, sekiranya ditakdirkan Perintah Kawalan Pergerakan yang turut melibatkan larangan menghadiri solat Jumaat dan solat berjemaah sekarang ini akan dipanjangkan tempohnya, adakah saya termasuk dalam amaran yang terdapat dalam hadis berkenaan mereka yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut itu ? Mohon penjelasan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menghadiri solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak kepada setiap lelaki beragama Islam yang mukallaf. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Surah Al-Jumuah (9)

Maka dapat difahami bahawa menghadiri dan mendirikan kewajipan solat Jumaat merupakan ciri seorang mukmin yang mendahulukan tanggungjawab seorang hamba kepada Allah S.W.T mengatasi sebarang kepentingan duniawi seperti berjual beli pada masa tersebut.

DIBERI KERINGANAN DENGAN KEUZURAN

Meskipun begitu, tuntutan menghadiri solat Jumaat secara berjemaah ini diberikan keringanan kepada mereka yang mempunyai keuzuran yang diambil kira di sisi syarak untuk tidak menghadirinya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

Maksudnya : Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran- Riwayat Ibn Majah (793)

Menurut hadis di atas, secara asasnya seseorang itu dituntut untuk menghadiri solat berjemaah sekiranya dia mendengar panggilan azan. Meskipun begitu, jika ada keuzuran tertentu maka dia diberi pengecualian untuk hadir menyahut seruan tersebut.

MAKSUD KEUZURAN

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain, para sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran ? Maka Rasulullah S.A.W. menjawab :

Maksudnya : Perasaan takut ataupun sakit- Riwayat Abu Daud (551)

Maka jelas daripada hadis di atas bahawa perasaan takut atau sakit termasuk dalam kategori uzur yang membolehkan seseorang itu untuk tidak hadir ke masjid bagi solat berjamaah. Kemudian para fuqaha memperincikan lagi akan tahap ketakutan yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat berjemaah dan juga solat Jumaat. Ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh Ali al-Qaradaghi seperti berikut :

Harus untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah dalam keadaan virus yang sedang tersebar disebabkan oleh perasaan takut dijangkiti virus tersebut. Beliau juga menyebut bahawa keharusan tersebut perlulah disyaratkan dari sudut ketakutan penyebaran itu benar-benar yakin berlaku dan bukanlah pada sangkaan semata-mata.

KESIMPULANNYA

Justeru, bertitik tolak dari nasihat dan pandangan pakar yang berautoriti berkenaan cepatnya Covid-19 ini merebak, maka dikeluarkan arahan supaya segala aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dihentikan sementara waktu. Maka ketidakhadiran umat Islam ke masjid pada tempoh ini merupakan suatu keuzuran yang diambil kira di sisi syarak iaitu wujudnya perasaan takut akan jangkitan virus ini.

Kesimpulannya sekiranya tempoh kawalan pergerakan ini mengambil masa yang lama sehingga membawa kepada terlepasnya perlaksanaan solat Jumaat sebanyak tiga kali, mengambil kira faktor takut merebaknya Covid-19 dengan lebih meluas, maka mereka yang meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran ini tidak termasuk di dalam ancaman yang terdapat di dalam hadis-hadis.

Wallahu Alam.

Sumber

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma