Penilaian Dalam Temuduga Kerajaan Yang Calon Wajib Tahu Jika Nak Lulus
Seringkali kita dengar orang berkata nak lulus temuduga kerja kerajaan bukan satu perkara yang mudah. Memang ramai yang dapat panggilan menjawab ujian khas dan temuduga, tetapi hanya beberapa calon sahaja akan lulus temuduga. Jadi, jika anda merupakan calon yang bakal menghadapi temuduga kerajaan, perkongsian ini adalah khas buat anda.
Perkongsian ini juga terpakai buat calon yang menghadapi temuduga dalam sektor swasta.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui beberapa penilaian yang dibuat terhadap calon dalam temuduga sektor kerajaan.
Isi Kandungan
PENILAIAN DALAM TEMUDUGA KERAJAAN
1) “First Impression” Saat Calon Mengetuk Bilik Temuduga
Penting untuk anda pastikan “first impression” penemuduga terhadap anda adalah pandangan yang positif. Calon akan mula dinilai saat mula mengetuk bilik temuduga dan seterusnya meletakkan fail sijil akademik serta dokumen di atas meja panel.
Dari tindakan calon melakukan setiap pergerakan, panel akan menilai cara calon berhadapan dengan mereka. Salah satu yang mereka akan lihat adalah sama ada anda akan bertenang, terus duduk, atau meminta kebenaran untuk duduk.
#Tips: Pastikan anda tidak tergopoh-gapah dan kelihatan seperti risau untuk menghadap panel.
2) Masa Kehadiran
Pihak SPA telah menetapkan calon perlu hadir temuduga 30 minit awal daripada masa temuduga yang telah ditetapkan. Jangan sesekali anda datang lewat untuk temuduga sepenting ini kerana kehadiran calon yang lewat akan menjejaskan markah penilaian calon.
#Tips: Tiba lebih awal boleh dapat markah tambahan, pastikan anda tiba awal dari 30 minit yang ditetapkan.
3) Penampilan Calon
Gaya penampilan calon sebaik sahaja langkah masuk ke bilik temuduga adalah perhatian utama para penemuduga. Pastikan anda pakai pakaian yang bersesuaian dengan temuduga dan tidak membuatkan pandangan penemuduga terganggu. Selain pakaian, penampilan diri calon juga adalah penting iaitu dari segi kekemasan diri.
#Tips: Jangan pakai pakaian yang tidak sopan. Pastikan kekemasan rambut, muka dan badan terjaga. Jangan pakai wangian terlalu kuat dan aksesori yang terlampau.
4) Susunan Sijil / Dokumen
Sebaik sahaja calon duduk, panel pastinya akan semak sijil dan dokumen untuk tahu maklumat kelayakan calon. Pastikan anda susun sijil dan dokumen dengan teratur. Jangan susun dalam susunan yang akan menyusahkan panel untuk buat semakan. Susunan sijil juga akan menjadi penilaian calon.
#Tips: Susun sijil dan dokumen mengikut tatatertib yang betul.
5) Cuba Tackle Setiap Soalan Temuduga
Pastikan anda cuba jawab setiap soalan yang diajukan oleh panel. Walaupun anda tidak pasti dengan jawapan yang sebenar, pastikan anda bijak dalam ‘Tackle’ soalan yang diberi. Jangan berdiam sahaja jika tidak tahu. Pastinya adalah satu bonus jika calon mampu menjawab soalan seperti yang dikehendaki oleh panel.
#Tips: Pastikan calon buat persediaan dengan baca contoh soalan yang akan ditanya dalam temuduga sesuai dengan jawatan yang dimohon.
- Contoh Soalan Temuduga Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD)
- Contoh Soalan Temuduga Pembantu Tadbir
- Contoh Soalan Temuduga Separa Perubatan
- 99+ Soalan Temuduga
6) Body Language Dan Gaya Pertuturan
Ketika anda berhadapan dengan panel, sebenarnya anda akan diperhatikan bukan sahaja dari segi jawapan kepada soalan, tetapi anda punya ‘body language’ dan gaya pertuturan. Pastikan anda duduk dalam kedudukan yang betul dan gerak badan yang tidak terlalu kaku apabila bercakap. Jangan bertutur dengan perlahan sehinggakan panel tidak mendengar suara anda.
#Tips: Pastikan anda bertutur dengan jelas dan tidak terlalu kuat sambil menggerakkan badan secara sederhana.
7) Penggunaan Bahasa
Pastikan anda gunakan bahasa yang sesuai ketika sesi temuduga nanti. Apabila penemuduga menanyakan soalan dalam bahasa inggeris, jawab juga dalam bahasa inggeris. Kadang kala mereka akan menguji calon selepas lihat resume.
#Tips: Jawab dalam bahasa yang sesuai dengan soalan daripada penemuduga
8) Cara Ajukan Soalan
Setiap temuduga pasti akan diakhiri dengan soalan ‘Adakah anda mempunyai soalan?’. Jangan jawab anda tiada soalan! Pastikan anda buat persediaan soalan yang relevan dan berkaitan dengan jawatan yang dipohon untuk ditanya nanti.
#Tip: Tanya soalan kepada panel menunjukkan calon betul-betul berminat dengan jawatan yang dipohon.
9) Cara Tamatkan Temuduga
Sebaik sahaja penemuduga menyatakan bahawa temuduga tamat, jangan terlalu tunjukkan bahawa diri anda betul-betul lega. Anda masih akan dinilai saat anda bangun dari kerusi, menolak kerusi di tempat yang betul, bersalaman, senyum, ucapan terima kasih, buka pintu dan keluar bilik. Jangan sesekali lupa mengucapkan TERIMA KASIH atas peluang kepada anda untuk hadir ke sesi temuduga.
#Tips: Jangan tinggalkan bilik dalam keadaan yang tidak kemas dan pastikan calon keluar dengan tenang.
Semoga perkongsian ini dapat membantu calon yang bakal menghadapi temuduga SPA membuat persediaan yang sepatutnya. Ingat, pastikan setiap aspek penilaian di atas dapat anda kawal dengan betul. Apa yang paling penting sekali adalah, sentiada bertenang dan ikut tip yang dikongsikan.
Selamat maju jaya!