12 Kelebihan Bekerja Dalam Perkhidmatan Awam Yang Ramai Terkejar-kejar
Bila tamat sahaja pengajian, setiap graduan pasti mengimpikan untuk bekerja dalam Perkhidmatan Awam. Bukan graduan sahaja, ibu bapa pun sangat berharap anak-anak mereka berjaya memasuki Perkhidmatan Awam. Ini kerana ramai yang tahu bagaimana jaminan yang diberikan oleh Perkhidmatan Awam kepada Penjawat Awam dalam sektor ini.
Banyak tau kelebihan bekerja dalam sektor ini, sebab itulah ramai yang terkejar-kejar! Ramai sangat yang mohon sampaikan penempatan untuk kekosongan jawatan juga terhad. Bertuahlah siapa yang dapat peluang bekerja dalam Perkhidmatan Awam.
Ikuti perkongsian di bawah jika anda ingin tahu 12 kelebihan yang ditawarkan jika bekerja dalam Perkhidmatan Awam.
Isi Kandungan
12 KELEBIHAN PENJAWAT AWAM
1) Pelbagai Jenis Elaun
Untungnya penjawat awam kerana pelbagai jenis elaun yang ditawarkan. Elaun inilah antara kelebihan yang pekerja sektor swasta tidak dapat. Antara elaun yang diberikan adalah:
- Elaun Rumah
- Elaun Sara Hidup (COLA – Cost of Living Allowance)
- Elaun Kritikal
- Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA)
- Imbuhan Tetap Keraian
- Imbuhan Tetap Jawatan Khas / Gred Khas
2) Pelbagai Jenis Cuti
Berbeza dengan pekerja sektor swasta, penjawat awam dapat cuti tahunan yang lebih banyak iaitu 20 hari bagi pekerja am dan 25 hari bagi golongan professional. Selain daripada cuti tahunan, banyak lagi cuti lain yang ditawarkan:
- Cuti Rehat
- Cuti Separuh Gaji
- Cuti Tanpa Gaji
- Cuti Sakit
- Cuti Sakit Lanjutan
- Cuti Kerantina
- Cuti Kecederaan
- Cuti Tibi, Kusta & Barah
- Cuti Penggal
- Cuti Rehat Khas
- Cuti Gantian
- Cuti Bersalin
- Cuti Belajar
- Banyak lagi Cuti lain.
3) Bayaran Pencen
Skim pencen juga antara kelebihan yang tidak akan pekerja sektor swasta dapat rasakan. Apabila memasuki sektor ini, penjawat awam akan diberi pilihan untuk mencarum KWSP ataupun Skim Pencen. Penjawat Awam yang pilih Skim Pencen akan mendapat bayaran bulanan separuh daripada gaji akhir selepas tamat berkhidmat.
4) Kenaikan Tahunan & Gaji Tetap
Bila bekerja dalam sektor swasta, belum tentu majikan akan berikan kenaikan gaji setiap tahun. Tetapi Perkhidmatan Awam menawarkan kelebihan kenaikan tahunan. Setiap penjawat awam layak untuk mendapat manfaat ini.
5) Jaminan Kesihatan
Kos perubatan penjawat awam di hospital akan ditanggung oleh kerajaan sekiranya anda mengajukan Guarantee Letter kepada hospital.
6)Jaminan Pekerjaan
Selagi anda tidak membuat kesalahan tataterbit atau tidak membuat sebarang masalah jenayah, selagi itulah status pekerjaan anda terjamin sekiranya anda menjawat jawatan tetap. Tidak susah pun, jangan pernah ingkar arahan pihak kerajaan sahaja untuk dapat jaminan pekerjaan.
7) Kemudahan Pinjaman
Penjawat awam juga lebih mudah dapat pinjaman kerajaan untuk membuat pembelian rumah, kereta dan lain-lain. Kelayakan pinjaman adalah berdasarkan gaji penjawat awam tersebut. Kelebihan pinjaman kerajaan ini adalah bunga yang lebih rendah berbanding pinjaman bank.
Tahu tak penjawat awam juga berpeluang memiliki 4 buah rumah setiap orang? Baca Tips Memiliki 4 Buah Rumah Bagi Penjawat Awam
8) Kemudahan Pendidikan
Penjawat awam juga berpeluang untuk menyambung pengajian. Bukan itu sahaja, mereka akan ditawarkan dengan pelbagai bentuk tajaan untuk melanjutkan pengajian di dalam atau di luar negara. Ini adalah bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pegawai tersebut yang seterusnya akan meningkatkan prestasi kementerian dan kerajaan umumnya.
9) Bonus
Tidak perlu cemburu dengan penjawat awam apabila ada pengumuman bonus kerana pekerja swasta pun ada bonus. Bonus itu insentif untuk pekerja. Penjawat awam terima bonus RM500, sedangkan ada pekerja swasta terima bonus 2 kali setahun dan ada yang sampai 6 kali gaji.
10) Tuntutan Perjalanan
Sekiranya penjawat awam perlu bekerja di luar daerah dan perlu membuat perjalanan jauh, mereka boleh himpun resit minyak, tol, penginapan, makan dan sebanyainya untuk membuat tuntutan. Tidak perlu keluarkan duit sendiri jika itu adalah urusan kerja. Jika anda bertugas melebihi 8 jam, anda layak membuat tuntutan elaun harian.
11) Peluang Kenaikan Pangkat
Untuk pengetahuan anda, penjawat awam ada proses penilaian prestasi yang kena lalui. Dengan prestasi dan memenuhi kelayakan, penjawat awam berpeluang untuk kenaikan pangkat.
12) Keluarga Terdekat Juga Dapat Manfaat
Bukan diri penjawat awam sahaja mendapat pelbagai manfaat, keluarga terdekat juga berpeluang untuk mendapat kesihatan. Penjawat awam hanya perlu kemukakan surat Guarantee Letter sebagai tukaran untuk pembayaran segala kos rawatan termasuk pembedahan sekiranya keluarga terdekat seperti ibu, ayah, isteri atau anak-anak memerlukan rawatan.
Untungnya jika berpeluang untuk bekerja dalam perkhidmatan awam. Bagi calon yang masih memohon dalam sektor ini dan tiada rezeki sehingga sekarang, anda boleh semak balik 6 Sebab Calon Tidak Mendapat Panggilan SPA.
Semoga bermanfaat!