KPDNHEP Kongsikan Cara Buat Aduan Dan Tuntutan Jika Ditipu Pembelian Online
Dunia sekarang ini memang tidak dapat lari dari ‘scam’ ataupun penipuan. Bukan sahaja secara secara online, secara bersekemuka pun ramai yang ditipu! Tetapi yang paling kerap sekali berlaku adalah scam bagi pembelian atas talian.
Ada kes sudah buat pembayaran, tetapi barang tidak dapat. Ada juga yang dapat barang tetapi tidak sama seperti yang dipesan. Memang begitulah risiko apabila membeli di atas talian. Tapi ramai tak tahu sebenarnya kita boleh buat aduan dan tuntutan terhadap penipuan tersebut.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui cara yang betul untuk buat aduan dan tuntutan pembelian online anda sekiranya ditipu.
Isi Kandungan
NAK BUAT ADUAN TAPI TIADA BUKTI?
Untuk memudahkan urusan semua selepas ini, anda diminta untuk ambil perhatian tips yang hendak dikongsikan ini.
- Simpan segala bahan komunikasi dan transaksi bagi sebarang pembelian online bagi memudahkan proses tuntutan dan aduan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini.
- Maklumat tersebut digalakkan untuk disimpan sehingga barang yang dipesan sampai atau selepas tamat tempoh waranti jika berkaitan.
BUKTI YANG PERLU DISIMPAN
Antara bukti yang boleh disimpan secara hardcopy atau softcopy bagi memudahkan buat aduan adalah:
- Tred komunikasi dari emel/ WhatsApp/ Telegram/ Wechat/ Messenger
- Maklumat barang seperti dalam iklan
- Resit pembayaran online
- Maklumat kurier dan nombor pengesahan kurier
Dengan bukti-bukti yang ada, anda boleh buat aduan salah laku kepada saluran aduan KPDNHEP
JENIS ADUAN PEMBELIAN ONLINE YANG BOLEH DIBUAT
Antara aduan berkaitan pembelian online yang anda boleh lakukan adalah seperti berikut:
- Penipuan transaksi atas talian
- Barang/ perkhidmatan yang diterima tidak seperti yang ditawarkan
- Dapat barang tiruan
- Harga barang mengelirukan
- Tidak mendapat pesanan yang dibuat
- Lain-lain aduan
Baca juga: Lebih 300 Kes Tipu Jual Facemask, Polis Kongsi Cara Mudah Nak Semak Akaun “Scammer”
CARA MEMBUAT ADUAN
Aduan kepada KPDNHEP boleh dilakukan secara atas talian dengan langkah berikut:
- Pergi ke laman web aduan.kpdnhep
- Klik ADUAN KEPENGGUNAAN
- Daftar Pengguna Baru bagi yang pertama kali buat aduan
- Log masuk seperti biasa
- Klik +Aduan Baru
- Masukkan kategori aduan yang anda ingin lakukan dan isikan maklumat lengkap anda.
- Setelah selesai, hantar aduan anda dan buat semakan status aduan dari masa ke semasa.
Baca juga: “PM Tepi” Boleh Didenda RM50,000. Ini Cara Buat Aduan Jika Ada Peniaga Suruh “PM Tepi”
Jadilah pengguna yang bijak dan pastikan anda buat aduan sekiranya berlaku penipuan secara atas talian ataupun secara langsung. Jangan biarkan penipu berleluasa dan terus bebas mencari mangsa. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.