17 Petua Halau Tikus Paling Berkesan. Cubalah!
Haiwan yang bernama tikus ini boleh dikatakan musuh manusia terutamanya tikus-tikus yang sering berkeliaran di dalam rumah. Waktu kita tidur malam hari mula lah haiwan ini keluar buat kerja di dapur. Tikus ini bukan sahaja dibenci kerana suka merosakkan barangan malah kerana bahaya air kencing dan kekotorannya.
Jika dibiarkan, boleh merisikokan kesihatan seisi keluarga kerana air kencingnya yang merbahaya itu. Jangan biar tikus bersarang di rumah lama-lama.
Ikuti petua berkesan yang dikongsikan ini untuk halau tikus dalam rumah anda.
Isi Kandungan
17 PETUA HALAU TIKUS PALING BERKESAN
1. Daun Pandan
Pasti ramai yang suka haruman daun pandan ini. Daun pandan bertindak sebagai agen pewangi semula jadi untuk kediaman anda. Namun tidak bagi tikus. Tikus tidak menyukai daun pandan. Anda boleh jimatkan wang kerana tidak perlu lagi membeli wangian yang mahal.
2. Daun Durian Belanda
Caranya letakkan beberapa helai daun di tempat yang selalu dilalui tikus atau sarang tikus. Gantikan daun itu selepas 2 atau 3 hari sekali di tempat yang sering menjadi laluan tikus. Letakkan juga di dalam almari pakaian. Insya-Allah, tikus tidak akan datang lagi.
3. Daun Semambu
Anda hanya perlu letak daun semambu di laluan utama tikus. Percayalah, tikus tidak akan mendekati daun semambu kerana baunya yang tidak enak. Daun ini juga boleh merawat demam manusia ya.
4. Buah Mengkudu
Ambil dua atau tiga biji buah mengkudu. Potong mengkudu itu menjadi beberapa bahagian. Letakkan ia di dalam mangkuk di kawasan yang sering dilalui tikus. Bau buah mengkudu yang menyengat dapat menghalau tikus.
5. Kulit Durian
Ternyata tikus tidak suka bau durian. Letakan beberapa potongan kulit durian tersebut di tempat-tempat yang selalu dilalui oleh tikus. Bau kulit durian yang menusuk hidung dan berduri pastinya akan membuatkan tikus gerun untuk datang ke rumah anda.
6. Buah Kepompong
Letakkan beberapa biji buah kepompong muda atau masak di sarang tikus.
7. Guna Serai Wangi
Mungkin serai wangi ini kaedah yang biasa dilakukan oleh kebanyakan suri rumah kerana terbukti berkesan. Ada banyak produk serai wangi di pasaran dalam bentuk semburan. Ia efektif bukan sahaja untuk tikus, malah untuk haiwan perosak dan serangga yang lain.
8. Cat Badan Tikus
Tangkap seekor tikus, kemudian lumurkan badannya dengan cat berwarna terang seperti warna merah, kemudian lepaskan. Tikus tersebut tidak akan datang lagi, malah turut membuatkan tikus-tikus lain berasa takut untuk mengganggu kediaman anda.
9. Kapur Barus
Hancurkan beberapa kapur barus (kasar-kasar), kemudian taburkan di kawasan yang menjadi ‘lubuk’ tikus itu. Cara ini cukup efektif kerana tikus sememangnya tidak suka dengan bau kapur barus yang cukup menyengat.
Cuma petua halau tikus menggunakan kapur barus agak tidak sesuai bagi yang ada anak kecil. Takut anak-anak ingat itu adalah gula-gula!
10. Minyak Pudina
Sapukan minyak pudina pada kain dan letakkan pada di tempat yang sering menjadi laluan tikus. Insya-Allah tikus tidak akan datang lagi kerana tikus tidak menyukai bau pudina.
11. Jering
Letak jering dengan tangkai-tangkainya sekali dekat dapur. Biarkan di dapur sampai kering. Jering yang kering akan mengeluarkan bau yang tidak enak. Kita sebagai manusia ni pun ada yang tidak suka baunya, apa tah lagi tikus.
12. Serbuk Lada Hitam
Taburkan serbuk lada hitam di tempat ada tikus atau laluan tikus itu.
13. Buah Pong-pong
Buah pong-pong juga boleh digunakan untuk menghalau tikus. Letakkan pada kawasan yang disyaki ada tikus. Insya-Allah tikus tidak akan datang lagi.
14. Bela Kucing
Petua halau tikus ini hanyalah untuk orang yang sukakan kucing. Cuba pelihara kucing di rumah anda, pastinya tikus akan takut untuk datang ke rumah anda. Kucing adalah musuh utama tikus. Cuma jangan bela kucing mahal yang cuma pandai tengok tikus lalu sahaja.
15. Perangkap Tikus
Letakkan perangkap tikus (perangkap jaring atau gam tikus) di laluan yang sering dilalui tikus. Cuba letak makanan enak kegemaran tikus di perangkap, pasti cepat tangkap.
16 Tutup Semua Laluan Masuk Tikus
Tutup semua laluan yang membolehkan tikus masuk ke rumah. Pasangkan jaring atau tutup terus laluan masuk. Jangan sampai ada sedikit ruang kerana tikus boleh melepasi ruang sempit itu.
17. Lantik Syarikat Pengendali Haiwan Perosak (Pest Control)
Jika anda dah malas sangat nak ikut salah satu petua di atas, cari penyedia servis yang benar-benar berkebolehan membantu kita menyelesaikan masalah ini. Ada jenis orang yang geli untuk pegang tikus mati. Maka, syarikat seperti ini boleh membantu.
Sekian sahaja untuk petua menghalau tikus dari rumah. Selain dari petua-petua di atas, kita boleh elakkan tikus datang ke rumah kita dengan menjaga kebersihan rumah sentiasa kerana sisa-sisa makanan boleh mengundang tikus. Sentiasa membuang sampah pada waktu awal pagi dan malam supaya tikus tidak mencari sisa makanan di dalam rumah.
Selamat mencuba!