Kerajaan MADANI Perkenalkan Model Baharu Penajaan JPA: PBU Akademik Bermula 1 Jun 2025

Kerajaan MADANI mengumumkan pelaksanaan model baharu penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi program Latihan Sebelum Perkhidmatan (LSP).
Model baharu ini dinamakan Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) yang akan menggantikan Pinjaman Boleh Ubah (PBU) 2016.
Pelaksanaan model ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025.
Langkah ini adalah selaras dengan prinsip Ihsan MADANI, iaitu untuk memperkasa pembangunan modal insan melalui kecemerlangan akademik dan sahsiah dalam kalangan warganegara Malaysia yang berkelayakan.
Apa Itu PBU Akademik?
PBU Akademik ialah model pinjaman pendidikan JPA yang memberi pengurangan bayaran balik berdasarkan pencapaian akademik pelajar. Berbeza dengan model sebelum ini, PBU Akademik tidak lagi hanya bergantung pada tempat berkhidmat, tetapi mengutamakan keputusan akademik.
Baca Juga: Ini Tips Sukses Hadiri Temuduga Biasiswa Lepasan SPM Walaupun Ramai Pelajar Cemerlang
Struktur Pengurangan Bayaran Balik PBU Akademik
Bagi pelajar tajaan JPA (kecuali dalam bidang Perubatan, Pergigian, dan Farmasi), kadar bayaran balik adalah berdasarkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) seperti berikut:
Kriteria Akademik | Peratus Bayaran Balik |
---|---|
PNGK akhir 3.75 – 4.00 (tanpa pelanjutan) | 5% |
PNGK akhir 3.50 – 3.74 (tanpa pelanjutan) | 10% |
PNGK akhir 3.00 – 3.49 (tanpa pelanjutan) | 15% |
PNGK akhir 3.00 ke atas (dengan pelanjutan) | 20% |
PNGK akhir di bawah 3.00 atau Gagal pengajian | 100% (perlu bayar penuh) |
Tambahan:
Sekiranya pelajar dilantik ke dalam Perkhidmatan Awam (dengan kelayakan setara), mereka akan dikecualikan daripada membayar balik baki nilai pinjaman.
Pengecualian Khas untuk Bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF)
Bagi pelajar dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF), pengecualian penuh bayaran balik pinjaman akan diberikan sekiranya:
- Tamat pengajian dengan jayanya; dan
- Memenuhi ikatan kontrak berkhidmat dengan kerajaan.
Sekiranya pelajar gagal menamatkan pengajian atau tidak mematuhi ikatan kontrak, mereka wajib membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.
Baca Ini: Cara Mohon Latihan Separa Perubatan Lepasan SPM. Dijamin Tempat Kerja Dalam Kerajaan
Pelaksanaan Model Baharu dan Opsyen Tukar PBU 2016
- Model PBU Akademik akan digunapakai kepada semua pelajar tajaan baharu mulai 1 Jun 2025 (kecuali penerima dermasiswa).
- Bagi pelajar sedia ada di bawah PBU 2016, opsyen untuk menukar kepada PBU Akademik akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Januari 2026.
- Pelajar PBU 2016 yang kini membuat bayaran balik akan dihentikan bayaran mulai 1 Jun 2025 sehingga opsyen penukaran dibuka.
Maklumat Lanjut
Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui:
- Portal Penajaan JPA: https://penajaan.jpa.gov.my
- Emel: pbuakademik@jpa.gov.my
Kesimpulan
Pelaksanaan PBU Akademik ini adalah langkah positif Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan modal insan negara. Ia memberi insentif kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan memastikan lebih ramai graduan berkualiti berkhidmat kepada negara.
Dengan sistem ini, pelajar cemerlang bukan sahaja mendapat manfaat dalam bentuk pengurangan bayaran balik pinjaman, malah diberi peluang pengecualian penuh sekiranya berkhidmat dalam sektor awam.

Sumber Rujukan: Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam