Tawaran Geran Rumah Perlindungan Untuk Tambahbaik Rumah Perlindungan Wanita & Kanak-Kanak
Geran Rumah Perlindungan merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bertujuan untuk menjalin kerjasama, membantu dan menambahbaik rumah perlindungan dalam memastikan keselamatan golongan wanita dan kanak-kanak yang terlibat dengan isu keganasan rumah tangga dijaga.
Geran Rumah Perlindungan ini adalah dengan matlamat untuk memberi perlindungan sementara yang berkualiti kepada pemandiri keganasan rumah tangga daripada pendera dan membina rangkaian kerjasama dengan pemanggil Talian SELamat untuk meneroka pilihan yang lebih luas kepada pemandiri.
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut Geran Rumah Perlindungan dan panduan buat permohonan.
Isi Kandungan
TUJUAN GERAN RUMAH PERLINDUNGAN
Tujuan Geran Rumah Perlindungan ini disediakan adalah untuk:
- Fasiliti: Untuk menambahbaik kemudahan di dalam rumah perlindungan berkenaan seperti pembaikan premis atau pembelian aset bagi tujuan kemudahan penghuni rumah perlindungan; atau/dan
- Latihan: Untuk memberikan latihan kepada tenaga kerja rumah perlindungan bagi mengendalikan isu keganasan rumah tangga atau kepada pemandiri bagi tujuan kelangsungan hidup setelah keluar dari rumah perlindungan; atau/dan
- Pemandiri: Untuk tujuan membina kapasiti dan kemahiran kepada pemandiri agar mereka berupaya memberdaya diri setelah keluar dari rumah perlindungan.
SYARAT KELAYAKAN
Tawaran adalah terbuka kepada pemohon geran yang berkelayakan seperti berikut:
- Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)/Pendaftar Pertubuhan (ROS)/Akta Parlimen/Ordinan/Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)/agensi Kerajaan yang diiktiraf.
- Lokasi rumah perlindungan adalah di Selangor.
- Rumah perlindungan menyediakan penempatan buat mangsa atau pemandiri keganasan rumah tangga dan keluarga (jika perlu).
- Rumah perlindungan tersebut tidak semestinya hanya menyediakan perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga sahaja.
- Rumah perlindungan tidak berasaskan keuntungan.
- Telah beroperasi minimum selama 1 tahun.
- Tertakluk kepada keputusan Ahli Jawatankuasa Penilai Geran Rumah Perlindungan dari semasa ke semasa.
DOKUMEN DIPERLUKAN
Permohonan mestilah disertakan bersama dokumen-dokumen berikut:
- Salinan Sijil Pendaftaran Pertubuhan yang telah disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan.
- Salinan Perlembagaan Pertubuhan yang telah disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan.
- Penyata Kewangan Beraudit oleh Akauntan Berdaftar/Juruaudit Bertauliah bagi tahun terkini auditan dibuat.
- Salinan penyata bank/no akaun dan alamat bank pertubuhan.
- Laporan Kewangan yang terperinci termasuk debit dan kredit bagi perbelanjaan Bantuan Kewangan kerajaan yang diterima pada tahun lepas (jika berkaitan).
- Anggaran perbelanjaan bagi tahun semasa.
- Bukti pemulangan baki/lebihan geran (jika berkaitan).
- Laporan program dan aktiviti dalam bentuk tulisan dan bergambar bagi tahun sebelumnya
- Senarai Maklumat Tenaga Kerja
- Senarai maklumat Ahli Jawatankuasa Pertubuhan
- Salinan Sijil Perakuan Pendaftaran Akta Pusat Jagaan 1993 (jika berkaitan).
- Salinan dokumen pengesahan premis milik pertubuhan yang sah atau disewa (jika berkaitan).
- Laporan dan gambar kerosakan berkaitan premis (jika berkaitan).
- Sebutharga pembaikan (jika berkaitan).
- Lain-lain Maklumat Tambahan (dokumen sokongan seperti jadual operasi dan Rekod kemasukan pemandiri ke rumah perlindungan).
CARA MOHON
Permohonan boleh dibuat dengan melengkapkan borang permohonan yang disediakan dan hantar ke alamat berikut:
- Wanita Berdaya Selangor Sdn. Bhd.
IDCC Ideal Convention Centre Shah Alam
Ground Floor, Jalan Pahat L 15/L,
Section 15, 40200 Shah Alam,
Selangor.
Download borang permohonan di bawah: