“Bagaimana Anda Terima Kritikan Orang Bawahan Tentang Hasil Kerja?” Ini Contoh Jawapan Dalam Temuduga
“Bagaimana anda terima kritikan orang bawahan tentang hasil kerja anda, boleh ke anda terima?” Soalan ini biasanya ditanya dalam temuduga sektor awam kepada calon bagi jawatan Gred 29, 41 dan ke atas. Ini adalah kerana kebanyakan jawatan bagi gred tinggi ini adalah bekerja di atasan dan ada orang bawahan di bawah mereka.
Nak bekerja dan jadi pemimpin, tidak semestinya kita selalu benar! Kadang-kala akan ada kesilapan yang dilakukan atau orang bawahan lebih tahu tentang sesuatu perkara daripada kita. Bagi menguji calon dan membuktikan calon seorang bakal pemimpin yang baik, soalan ini mungkin akan ditanya kepada anda!
Untuk menjawab soalan ini, pastikan anda tunjukkan bahawa anda seorang pemimpin yang boleh bawa berbincang dan boleh menerima kritikan orang bawahan dengan baik.
Isi Kandungan
TIPS JAWAB SOALAN
Berikut adalah beberapa tips dan panduan untuk menjawab soalan temuduga:
- Tunjukkan bahawa anda boleh kerja berpasukan. Walaupun anda pemimpin, anda tetap perlu bekerja berpasukan dengan pekerja lain
- Tunjukkan bahawa anda pemimpin yang sentiasa mendengar pandangan orang lain
- Sentiasa berbincang dengan pekerja dalam membuat keputusan
- Pemimpin yang mampu pemimpin orang lain dengan nilai kasih sayang, teladan serta mempunyai nilai integriti dalam diri.
- Terangkan dengan jelas bagaimana anda boleh terima kritikan orang bawahan
CONTOH JAWAPAN
“Sekiranya Kakitangan Bawahan Menegur Hasil Kerja Anda, Apakah Tindakan Anda Dan Bolehkah Anda Menerima Kritikan Tersebut?”
Berikut adalah contoh jawapan yang sesuai digunakan sekiranya anda ditanya soalan begini dalam temuduga:
Tindakan saya yang pertama, saya akan mendengar teguran itu dengan teliti dan terbuka. Saya berpendapat bahawa teguran mereka adalah benar kerana mereka sudah berpengalaman dan sudah biasa dengan kerja tersebut. Oleh yang demikian, mereka pasti dapat mengenalpasti sebarang kekurangan pada hasil kerja saya. Saya akan menyemak semula hasil kerja saya dan mengenalpasti di manakah silapnya. Sebagai langkah pembetulan, saya akan berbincang dengan kakitangan bawahan saya dan merujuk kepada pegawai atasan saya demi memastikan segala kekurangan dapat diperbaiki ke tahap yang optimum.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda mendapatkan rujukan untuk menjawab soalan temuduga dengan baik nanti. Ingat, dalam temuduga pastikan anda sentiasa menunjukkan diri anda ada sifat kepimpinan yang baik!