Dua Kali GAGAL, Cubaan Ketiga Lulus Ujian Fizikal, Calon Ini Kongsi Pengalaman & Tips Persediaan Ujian Fizikal SPA
Ujian Fizikal SPA merupakan satu ujian di mana fizikal dan pancaindera calon pekerja diuji oleh penilai berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Ujian ini dijalankan bertujuan untuk menyaring calon yang layak menjawat jawatan dari segi fizikal diri. Ujian fizikal dan pancaindera SPA bukan sahaja melibatkan pemeriksaan ukuran badan, malah melibatkan pengukuran tahap penglihatan, pendengaran dan kekuatan fizikal.
Pasti ramai dalam kalangan kita berminat untuk bekerja dalam unit beruniform kan? Ujian Fizikal adalah antara salah satu saringan yang calon perlu LULUS untuk ke peringkat berikutnya sebelum mendapat lantikan. Seorang calon yang perlu lulus Ujian Fizikal SPA kongsikan pengalaman dan beberapa tips persediaan untuk menghadapi Ujian Fizikal SPA.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui perkongsian pengalaman dan tips persediaan Ujian Fizikal SPA yang anda boleh jadikan rujukan.
Isi Kandungan
PENGALAMAN UJIAN FIZIKAL CALON
“Izinkan saya berkongsi pengalaman menghadiri ujian fizikal. Saya pernah mendapat 3 kali peluang ke ujian fizikal, 2 kali gagal dan 1 lulus hingga ke temuduga.”
Body Mass Index (BMI)
Bagi ujian fizikal, perkara pertama tuan/puan perlu beri penekanan ialah BMI. Ukuran BMI adalah stage pertama untuk menyingkirkan calon. Jika BMI anda lebih atau kurang, secara automatik anda tiada peluang ke stage seterusnya. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi BMI, yang paling popular ialah berat badan.
Saya cadangkan anda harus dapatkan BMI yg ideal seminggu sebelum ujian fizikal untuk memastikan anda boleh ke stage seterusnya. Sedikit pengalaman saya, dalam 1 ujian fizikal yg saya hadiri, ada 200 calon. Tetapi hampir 150 calon pulang awal hanya disebabkan BMI yang tidak menepati kehendak SPA. Bayangkan betapa seriusnya BMI yang tepat dalam ujian fizikal SPA.
Ujian Pancaindera
Seterusnya ujian pancaindera. Ramai juga yang tewas di sini. Punca utama, gagal dalam ujian penglihatan dan pemeriksaan tubuh badan. Dari segi fizikal, postur tubuh & keadaan fizikal harus di tahap terbaik. Bagi peringkat ini, hanya yang memiliki fizikal yg ditetapkan oleh SPA saja layak ke peringkat seterusnya.
Baca juga: Rabun, Tapi Berminat Kerja Polis Atau Badan Beruniform? Ini Cara Lepas Ujian Penglihatan
Ujian Kawad
Ujian kawad juga antara stage popular yang menyebabkan ramai gagal. Sebabnya mudah, mereka tak pandai berkawad. Untuk stage ini, saya cadangkan apabila anda sudah tahu saja tarikh ujian fizikal, anda harus belajar bagaimana untuk berkawad. Cara berjalan dan hayunan tangan serta postur badan ketika berkawad akan diambil kira dalam ujian ini.
Ujian Kekuatan Fizikal
Bergantung pada jabatan, terdapat juga ujian angkatan beban, larian 4x10m, ujian lompatan dan juga larian 2.4km. Ramai juga kandas di peringkat ini. Saranan saya, bersungguh-sungguhlah berlatih bagi mendapatkan kekuatan fizikal dan stamina untuk lulus ujian ini. Jangan pandang mudah atau terlalu risau gagal. Berlatih dengan pergi ke gym, berlari setiap hari. Fokus dan buat yang terbaik.
TIPS PERSEDIAAN
Berikut adalah beberapa tips persediaan untuk calon yang bakal menghadapi Ujian Fizikal SPA:
- Dapatkan berat badan ideal dengan BMI tidak kurang atau tidak melebihi daripada yang ditetapkan
- Belajar cara untuk berkawad untuk persediaan walaupun tiada makluman calon akan diuji dengan berkawad. Kemungkinan calon akan diuji.
- Banyakkan berlatih untuk mendapatkan kekuatan fizikal dan stamina
- Jangan terlalu pandang rendah dengan ujian fizikal
- Banyakkan latihan larian setiap hari untuk kuatkan stamina
- Fokus dan buat yang terbaik semasa ujian
Rujuk: Senarai Jawatan SPA Yang Ada Ujian Fizikal & Pancaindera Serta Syarat Lulus Ditetapkan
Semoga sedikit sebanyak perkongsian pengalaman dan tips persediaan Ujian Fizikal ini dapat membantu para calon yang akan menghadiri Ujian Fizikal nanti. Apa yang paling penting adalah buat persediaan secukupnya. Jangan tunggu saat akhir baru nak buat persediaan!