Asyik Gagal Peperiksaan SPA? Ini Rahsia Untuk Lulus Dengan Mudah
Ramai orang mengimpikan untuk bekerja dalam sektor kerajaan kerana pelbagai kelebihan yang ditawarkan. Sebab itulah setiap permohonan jawatan yang dibuka beribu-ribu orang akan memohon. Kata orang, nak memasuki kerja kerajaan bukan satu perkara yang mudah, betul ke?
Sebenarnya susah atau tidak itu adalah berdasarkan kemampuan masing-masing. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah menetapkan beberapa tapisan bagi memproses kemasukan calon dan membuat pemilihan calon yang betul-betul layak.
Salah satu tapisan yang perlu calon lalui sebelum temuduga adalah peperiksaan online atau PSEE. Dah banyak kali ambil exam, tetapi selalu selalu gagal? Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui tips lulus peperiksaan SPA.
Isi Kandungan
TIPS LULUS PEPERIKSAAN SPA
Berikut adalah beberapa tips untuk lulus peperiksaan SPA yang anda boleh jadikan panduan untuk persediaan:
1 Buat Persediaan Dari Segi Mental
Nak jawab peperiksaan SPA pun ibarat macam nak pergi berperang! Biasalah, untuk dapatkan apa yang kita mahu kita mestilah berusaha lebih sedikit. Apabila anda semak sahaja di laman SPA9 dan mendapati status permohonan jawatan anda telah “Melepasi Syarat Tapisan” anda dah boleh buat persediaan untuk peperiksaan online! Walaupun belum terima email, tapi persediaan mental adalah sangat penting.
Tetapkan dalam diri anda untuk buat bersungguh-sungguh dan lulus peperiksaan untuk capai cita-cita serta matlamat. Fikir balik, kenapa anda mohon jawatan tersebut? Bila mental anda dah bersedia untuk berjuang, barulah semangat untuk buat persiapan untuk peperiksaan!
2 Buat Latihan Secukupnya
Bagi calon yang berkali-kali ambil peperiksaan SPA, pasti perasan biasanya topik-topik soalan setiap jawatan bagi bahagian Daya Menyelesaikan Masalah (Matematik) adalah topik yang lebih kurang sama sahaja. Namun setiap jawatan dan gred pastinya bentuk soalan adalah berbeza mengikut kemampuan calon. Lagi tinggi gred, lagi mencabar soalannya.
Jadi calon dinasihatkan untuk buat latihan secukupnya sebelum peperiksaan. Sama juga macam anda nak ambil peperiksaan SPM dulu, begitulah usaha yang anda perlu buat untuk lulus peperiksaan SPA ya!
Rujuk: Topik-Topik Famous Dalam Peperiksaan Matematik SPA
3 Fokus Kepada Sub Tajuk Yang Anda Lemah
Sekiranya anda lemah dalam sesuatu sub tajuk untuk soalan matematik, pastikan anda fokus lebih di bahagian itu dalam membuat latihan. Jika anda ada masa lebih kurang sebulan sebelum peperiksaan, pastikan anda ambil masa sedikit setiap hari untuk buat sekurang-kurangnya 2 latihan soalan topik berkenaan.
Semakin banyak latihan yang anda buat, semakin senang anda nak jawab soalan nanti kerana anda dah tahu jalan penyelesaiannya.
4 Banyakkan Membaca (Pengetahuan Am)
Bagi jawatan yang ada peperiksaan bahagian Pengetahuan Am, anda perlu banyakkan membaca. Dalam seksyen ini, calon perlu kuasai secara umum dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pemerintahan di Malaysia dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan sumber manusia, infrastruktur, pentadbiran dan pembangunan wilayah, pengurusan sumber ekonomi dan banyak lagi!
Rujuk: Topik Famous Dalam Peperiksaan Pengetahuan Am SPA
5 Bahagikan Masa Dengan Bijak
Antara sebab utama calon gagal peperiksaan adalah kerana tidak cukup masa untuk menjawab soalan dan akhirnya banyak soalan yang dihentam sahaja. Jangan begitu, pastikan anda bahagikan masa dengan bijak semasa jawab soalan.
Contohnya jika peperiksaan anda 25 minit dan ada 20 soalan, pastikan anda sudah jawab sekurang- kurangnya 10 soalan dalam masa 10 minit terawal. Jangan buang masa untuk soalan yang anda tidak tahu, cuba cari soalan yang anda tahu penyelesaiannya terlebih dahulu.
6 Semak Semula Jawapan
Lebih baik sekiranya anda tinggalkan 3 minit terakhir untuk semak semula jawapan anda. Sbeba itulah pengurusan masa penting dalam peperiksaan SPA. Apabila anda ada peluang untuk semak semula jawapan, anda mungkin nampak kesalahan di saat akhir. Siapa tahu kesilapan kecil yang anda semak itu yang akan buat anda lulus nanti?
7 Jangan Tinggal Satu Pun Soalan
Walaupun anda tidak cukup masa untuk jawab semua soalan, pastikan anda tidak tinggal satu pun soalan. Baca semula soalan dan jawab sahaja mengikut pengetahuan dan logik anda. Jika tak tahu juga, letak sahaja jawapan bagi mengisi kekosongan.
Semoga perkongsian ini dapat membantu calon untuk berjaya dalam peperiksaan SPA dan maju ke peringkat seterusnya. Ingat, perkara yang penting sekali adalah sentiasa berdoa dan tenang semasa jawab peperiksaan.
Baca juga: SPA Membatalkan Keputusan PSEE & Senarai Hitam Calon Yang Terlibat Salah Laku Integriti