12 Kelebihan Masuk Tingkatan 6 Berbanding Pengajian Lain
Ramai pelajar lepasan SPM yang menganggap bahawa sambung pengajian ke tingkatan 6 atau STPM adalah tidak setanding menyambung ke Matrikulasi, Diploma atau Asasi.
Tambahan pula, ada cakap-cakap mengatakan bawah peperiksaan STPM merupakan antara peperiksaan paling susah di dunia. Akibatnya, ramai di antara calon pelajar kurang berminat dan takut untuk menerima tawaran Tingkatan 6.
Baca juga: Permohonan UPU Online Kemasukan Ke IPTA, UA, Matrik & Politeknik
Namun sebenarnya, menyambung pengajian ke Tingkatan 6 mempunyai kelebihan berbanding program lain yang ramai tidak tahu.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui kelebihan menyambung pengajian ke Tingkatan 6 yang membolehkan anda lebih yakin untuk memasukinya.
Isi Kandungan
TINGKATAN 6 (PEPERIKSAAN STPM)
Tempoh pengajian di peringkat STPM adalah mengambil masa selama 1 tahun setengah. Program ini dipecahkan mengikut aliran. Sistem terkini iaitu sistem modular telah memperbaharui sukatan pelajaran pra u dan pelajar akan menduduki STPM pada setiap hujung penggal (penggal 1, 2 dan 3) disertakan dengan kerja kursus setiap penggal.
12 KELEBIHAN MASUK TINGKATAN 6 (STPM)
Di bawah kami senaraikan 12 kelebihan untuk anda sambung belajar ke Tingkatan 6 sebagai panduan ringkas.
1Terus Sambung Ijazah
Ramai yang tidak sedar bahawa sebenarnya menyambung pengajian ke Tingkatan 6 sebenarnya merupakan jalan pintas atau platform untuk terus ke Ijazah. Pengajian di Tingkatan 6 sama seperti Matrikulasi dan Asasi cuma ia lebih tertumpu kepada suasana persekolahan.
Maka laluan Tingkatan 6 adalah sangat sesuai kerana dengan keputusan yang baik membolehkan anda terus masuk ke IPT dan dapatkan segulung Ijazah.
CGPA minimum yang diperlukan adalah 2.90 ke atas dan anda layak untuk meneruskan pembelajaran ke Ijazah di IPTA atau IPTS pilihan anda.
2 Tempoh Pengajian Setahun Setengah
Tempoh pengajian yang singkat ini antara faktor menarik bagi meneruskan pengajian ke Tingkatan 6. Pelajar Tingkatan 6 hanya memerlukan setahun setengah sahaja untuk tamat belajar.
Hakikatnya, belajar di peringkat Diploma adalah dianggap membuang masa kerana tempoh pengajian yang hampir lebih kurang sama seperti membuat Ijazah.
Jika diambil kira tempoh pembelajaran melalui Diploma (3 tahun) dan terus sambung ke Ijazah (3 tahun), maka melalui laluan Tingkatan 6 (1 1/2 tahun) adalah lebih menjimatkan.
3 Kerja Kursus
Dengan sistem pembelajaran Tingkatan 6 yang baharu, kerja kursus sangat membantu pelajar iaitu sebagai batu loncatan bagi pelajar untuk memperoleh keputusan cemerlang. Ini kerana seperti konsep penilaian berasaskan sekolah, maka kerja kursus ini boleh dilakukan oleh pelajar dengan sebaik mungkin sebelum diberi gred yang selayaknya oleh guru.
Jelas bahawa kerja kursus sangat membantu pelajar. Selain itu, dengan melakukan kerja kursus, pelajar lebih banyak didedahkan dengan penggunaan Microsoft Word, Excel dan Powerpoint di mana kemahiran ini dapat digunakan di peringkat Ijazah ataupun di alam pekerjaan kelak.
4 Murid : Guru
Jika dilihat dari setiap pengajian Tingkatan 6, nisbah murid per guru bagi pelajar Tingkatan 6 adalah jauh lebih kecil berbanding persekolahan biasan. Ini merupakan antara peluang yang boleh digunakan dengan sebaik mungkin oleh pelajar untuk mendapat tunjuk ajar yang lebih sempurna dan teliti daripada para guru.
Menurut beberapa pemerhatian, pelajar Tingkatan 6 akan lebih mudah rapat dengan para guru. Gunakan peluang ini untuk belajar lebih gigih dan memperoleh keputusan yang cemerlang dengan bantuan guru.
5 Peluang Ke IPT
Ada juga yang mengatakan bahawa peluang lepasan Tingkatan 6 untuk masuk ke IPT adalah lebih tinggi berbanding daripada laluan-laluan lain. Dengan keputusan STPM yang cemerlang, sudah pastinya membuka peluang yang lebih luas untuk menyambung pengajian ke IPT pilihan.
6 Setaraf Diploma
Sijil STPM adalah setaraf dengan Diploma dengan standard peperiksaannya yang tinggi. STPM juga merupakan peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia berbanding Matrikulasi, Diploma dan Asasi yang hanya pensyarah mereka yang membuat dan menanda jawapan peperiksaan.
7 Yuran Lebih Murah
Secara umumnya, yuran pengajian bagi Tingkatan 6 adalah jauh lebih murah berbanding yuran pengajian di peringkat lain. Melanjutkan pengajian di peringkat ini adalah salah satu cara menjimatkan kos pengajian sebelum melangkah ke IPT.
Selain itu, bagi pelajar yang mungkin kurang berkemampuan dan mempunyai masalah kewangan, pilihan ini adalah antara pilihan yang paling tepat kerana jumlah yuran yang lebih murah ini kini bukan halangan untuk anda mendapatkan pendidikan.
8 Ulang Subjek Gagal
Ini merupakan salah satu kelainan Tingkatan 6 daripada pengajian yang lain. Disebabkan sistem peperiksaan yang sudah tidak sama, maka sistem Tingkatan 6 yang baru ini membolehkan pelajar untuk mengulang subjek yang gagal. Peluang ulangan peperiksaan ini adalah bagi pelajar mencantikkan lagi keputusan dengan mengambil semula kertas peperiksaan yang mendapat keputusan yang kurang baik.
Peperiksaan dijalankan mengikut semester dan STPM mempunyai 3 semester yang merangkumi satu tahun setengah. Mereka diberi peluang 2 semester untuk mengulang subjek yang gagal bagi mencantikkan keputusan di akhir semester.
9 Kursus Perguruan
Melalui Tingkatan 6 juga, peluang untuk pelajar untuk dipilih bagi mengikuti kursus perguruan dikatakan adalah lebih tinggi. Kesesuaian subjek dan pilihan memberikan kepentingan kepada pelajar Tingkatan 6 untuk diutamakan.
Dengan pengalaman ketika pengajian di Tingkatan 6, lebih mudah untuk melayakkan diri anda untuk memasuki kursus perguruan.
10 Biasiswa
Sama seperti pengajian lain, pelajar lepasan STPM juga layak memohon pelbagai biasiswa yang ditawarkan. Malah bagi pelajar yang mendapat keputusan STPM yang baik, pelajar akan lebih mudah untuk ditawarkan biasiswa belajar termasuk untuk sambung pengajian ke luar negara.
Anda boleh rujuk setiap tawaran biasiswa ini.
11 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar
Bagi sesetengah pelajar yang lebih mudah untuk mendapatkan ilmu dengan sesi pengajaran dalam Bahasa Melayu, ini adalah kelebihan yang baik kepada anda. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran di Tingkatan 6. Tidak dinafikan juga, dengan pembelajaran dalam Bahasa Melayu, pelajar akan lebih mudah untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Namun, dalam menggunakan sepenuhnya dengan Bahasa Melayu, terdapat juga sesi pembelajaran yang mengasah diri pelajar dalam menggunakan Bahasa Inggeris.
12 Perkara Tambahan
Antara kelebihan lain bagi pelajar yang masuk Tingkatan 6 adalah pelajar boleh mengenakan pakaian biasa semasa menghadiri kelas. Walaupun pengajian Tingkatan 6 perlu menghadiri kelas di sekolah, namun pelajar Tingkatan 6 adalah lain berbanding pelajar biasa di sekolah.
Selain itu, disebabkan pelajar Tingkatan 6 merupakan pelajar yang paling dewasa dalam kalangan pelajar lain di sekolah, maka kebiasaannya mereka akan mendapat layanan yang berbeza berbanding pelajar-pelajar lain.
Walau apa pun laluan pengajian yang dipilih, utamakan usaha bagi mencapai kejayaan. Namun jika anda ikuti perkongsian ini, jelas bahawa Tingkatan 6 juga mampu memberikan kejayaan yang cemerlang kepada para pelajar jika disusuli dengan usaha dan semangat yang berterusan bagi menjamin sesebuah kejayaan itu dapat dikecapi.
Semoga perkongsian ini dapat memberi keyakinan kepada anda dalam membuat pilihan menyambung pengajian selepas SPM.