97% Graduan Kolej Vokasional Berjaya Mendapat Pekerjaan. Ini Kelebihan KV Yang Ramai Tak Tahu
Satu statistik telah menunjukkan kira-kira 97 peratus graduan Kolej Vokasional (KV) berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh lima bulan selepas tamat pengajian masing-masing. Ini membuktikan institusi pengajian itu berada pada landasan tepat melahirkan graduan berkemahiran tinggi.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Dr Ahmad Rafee Che Kassim, berkata statistik itu membuktikan graduan Bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) mempunyai kebolehpasaran yang cukup tinggi dalam pasaran pekerjaan terutama bidang industri.
Isi Kandungan
TVET BUKAN PILIHAN TERAKHIR
TVET bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya ribuan graduan yang dikeluarkan oleh Kolej Vokasional setiap tahun memberi impak yang besar kepada pembangunan dan ekonomi negara. Graduan yang dikeluarkan oleh Kolej Vokasional, bukan sahaja membawa nama kolej, bahkan nama negara ke arena antarabangsa apabila mereka turut memasuki pasaran pekerjaan di luar negara.
Seramai 14,387 graduan dari seluruh negara menerima diploma masing-masing pada majlis konvokesyen kali ini yang bermula 29 September lalu termasuk 11,838 daripadanya mewakili zon Semenanjung.
Jumlah graduan KV yang menamatkan pengajian setiap tahun terus meningkat sekali gus membuktikan nasib pendidikan anak-anak yang memilih bidang teknologi sentiasa terbela setanding dengan bidang yang lain.
KELEBIHAN KOLEJ VOKASIONAL
Berikut adalah 4 kelebihan jika anda memilih kolej vokasional:
Peluang Pekerjaan Yang Luas
Tidak dinafikan, sektor kerajaan mahupun swasta membuka peluang pekerjaan yang tinggi dalam bidang kemahiran. Tenaga kerja yang berkemahiran mempunyai satu kelebihan yang dipandang oleh pihak majikan.
Tidak hairan jika, majikan lebih mengutamakan calon yang mempunyai kemahiran diambil bekerja berbanding yang memiliki akademik semata – mata. Ini kerana pihak majikan memerlukan tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan kerja.
Peluang Belajar Ke Peringkat Lebih Tinggi
Seperti aliran lain juga, bidang kemahiran juga mampu melahirkan pelajar ke peringkat yang lebih tinggi dalam pendidikan. Hal ini dapat anda perhatikan pada pelajar-pelajar berada pada peringkat sekolah teknik yang berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat universiti mahupun politeknik.
Universiti seperti universiti teknikal Melaka, universiti Tun Hussein onn dan lain- lain lagi menyediakan kursus dalam bidang teknikal bersesuaian dengan kemahiran yang anda miliki.
Sokongan Dan Bantuan Kerajaan
Usaha pihak kerajaan membantu pelajar-pelajar yang berminat dalam bidang kemahiran dapat dilihat dengan banyak institusi-institusi Kemahiran dibangunkan. Penambahbaikan dalam kursus kemahiran turut dilakukan. Pihak kerajaan juga turut membuat penambahan kursus-kursus kemahiran yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan.
Gaji Lumayan
Jika anda perasan, bidang kemahiran dalam pelbagai sektor pekerjaan menjanjikan gaji yang lumayan. Terutamanya dalam bidang kejuruteraan, perkapalan juga maritim. Jika anda mampu menggunakan peluang yang ada pada diri dengan menceburi bidang-bidang kemahiran yang mendatangkan gaji lumayan, semestinya amat menguntungkan anda.
Justeru itu, diharapkan seluruh warga Kolej Vokasional, teruskan usaha supaya nama kolej sentiasa menjadi yang terkehadapan dalam meniti arus Revolusi Industri 4.0 dan meniti arus pemodenan global pendidikan masa kini serta masa depan.
Bagi yang berminat untuk memasuki Kolej Vokasional, jangan teragak-agak kerana ilmu yang bakal anda dapat di KV adalah sangat menguntungkan!
Semoga bermanfaat.