Gemuruh? Ini 9 Tips Untuk Lebih Tenang & Yakin Menghadiri Sesi Temuduga
Perasaan gemuruh ini memang tidak akan lepas apabila hadir ke temuduga. Tipulah jika tiada sedikit pun rasa gemuruh kan? Walaupun anda sudah melakukan pelbagai persediaan awal supaya boleh hadir ke temuduga dengan tenang, tetapi akhir sekali anda akan berasa gemuruh juga bila tiba di tempat temuduga.
Nak tahu tips untuk hilangkan gemuruh dan rasa lebih tenang serta yakin untuk menghadiri sesi temuduga? Ikuti perkongsian di bawah untuk tips berguna ini!
Isi Kandungan
TIPS TENANG & YAKIN MENGHADIRI TEMUDUGA
1) Tidur Awal
Anda dinasihatkan untuk tidur awal pada malam sebelum temuduga tidak kira temuduga berlangsung pagi atau petang keesokan harinya. Tidur yang cukup ini penting supaya badan dan otak kita segar pada hari berikutnya. Tahu tak apa yang akan terjadi kalau anda tidak segar pada hari temuduga? Anda mungkin boleh mengalami gemuruh yang melampau!
2) Bangun Awal
Bila dah tidur awal dan cukupkan tidur selama 7 jam, cuba bangun seawal mungkin pada hari temuduga. Bangun, mandi dan tunaikan solat sunat 2 rakaat tidak kira solat sunat apa pun. Bila dah solat, hati anda akan lebih berasa tenang untuk menghadapi hari tersebut.
Baca juga: Tips Pemakaian Yang Sesuai Untuk Menghadiri Temuduga
3) Baca Surah Yaseen
Surah Yasin adalah ‘surah yang memudahkan’. Sebab itu kalau orang sakit tenat digalakkan untuk kita baca surah Yasin supaya kalau ajal nya sudah sampai, maka mudahlah roh nya untuk keluar dari jasad.
Jadi, siapa yang amal membaca surah Yasin pada pagi hari, InsyaAllah, dengan keberkatan surah ini, semua kerja-kerja kita selama satu hari tu akan dipermudah dan diselesaikan. Jadi, peruntukkan sedikit masa untuk baca surah Yaasin, setidak-tidaknya pada hari kita nak menduduki temuduga. Baca dan niatkan dalam hati supaya Allah bantu kita.
4) Minta Maaf Pada Ibu Bapa
Jika anda berjauhan dengan ibu bapa, telefon mereka awal pagi pada hari temuduga dan minta restu dan keberkatan dari mereka. Pada hari sebelumnya, minta mereka berdoa untuk urusan temuduga anda dipermudahkan. Doa ibu bapa untuk anak adalah sangat mustajab
Minta maaf kepada mereka jika kita ada buat dosa dengan mereka.
5) Datang Awal
Pastikan diri kita tiba di tempat temuduga / peperiksaan setidak-tidaknya 15 minit lebih awal dari masa temuduga / peperiksaan bermula. Ini bertujuan untuk mengelakkan kita daripada menjadi kelam kabut sekiranya kita terlewat.
Kelewatan anda tiba di tempat temuduga boleh buatkan anda termengah-mengah, berpeluh dan nampak kusut pada wajah. Bila dah kelam kabut, macam mana nak tenangkan diri kan?
Datang awal ke tempat temuduga dan ambil masa untuk tenangkan diri sebelum dipanggil masuk ke bilik temuduga.
6) Kekalkan Senyuman & Bertegur Sapa
Kalau anda sampai awal di tempat temuduga, cubalah untuk bertegur sapa dengan calon-calon lain. Macammana nak bertegur sapa ? Mudah saja caranya, anda lontarkan senyuman, beri salam dan hulur tangan untuk bersalaman. Mulakan sesi pengenalan ringkas.
Komunikasi ‘ringan’ dengan calon lain ini dapat mengurangkan tekanan atau kerisauan kita pada sesi temuduga bakal diduduki. Dengan menegur calon lain, kita tidak akan berasa keseorangan, malah kita akan berasa lebih berkeyakinan.
7) Kunyah Chewing Gum Sebelum Temuduga
Mengunyah chewing gum ni boleh dijadikan amalan sebelum memulakan sesuatu urusan. Mengunyah chewing gum bukan saja dapat mengelakkan daripada mengantuk, malah dapat merangsang otak untuk terus berputar ligat. Mungkin tiada kajian yang membuktikan perkara ini, tapi ini dapat dibuktikan. Tak percaya? Cuba dulu!
Jangan pula anda kunyah semasa temuduga! Pastikan anda buang chewing gum 30 minit sebelum bermula temuduga. Jangan pula dan mula temuduga baru kelam kabut nak cari tong sampah.
8) Dah Tiba Masa, Senyum Dan Tenangkan Diri
Bila sudah tiba giliran anda untuk masuk ke bilik temuduga, baca bismillah sebelum buka pintu bilik temuduga. Dah buka pintu, masuk dan senyum selalu. Bila senyum, pasti anda akan merasa lebih yakin untuk menghadap penemuduga.
9) Muhasabah Diri
Selepas temuduga / peperiksaan telah selesai semuanya, muhasabah lah diri. Catatkan kelemahan-kelemahan atau kekurangan-kekurangan yang kita telah lakukan dalam menghadapi temuduga / peperiksaan. Catatan ini penting supaya kita tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan dan anda akan dapat mempertingkatkannya pada masa-masa yang akan datang.
Sekian sahaja untuk tips-tips bagaimana nak tenangkan diri dan lebih yakin untuk hadapi temuduga. Walau dalam apa pun situasi anda, anda haruslah berfikiran bahawa anda akan lulus temuduga tersebut. Bertenang adalah sangat penting untuk berjaya dalam temuduga.
Semoga bermanfaat!
Baca juga: “Mengapa Anda Layak Untuk Jawatan Ini?” Ini Contoh Jawapan Terbaik Untuk Soalan Temuduga Ini