Dos Pertama Vaksin Covid-19 Kanak-Kanak Diberi Sehingga 31 Mei Sahaja, Dos Berbayar Selepas Ini

Sejak bermula awal Februari lepas sehingga semalam, hanya seramai 1,371,120 atau 38.6 peratus kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 195,865 telah menerima dua dos vaksin Covid-19.

Memandangkan permintaan rendah vaksinasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil keputusan untuk menamatkan pemberian dos pertama vaksinasi Covid-19 kepada golongan kanak-kanak. Langkah ini diambil bagi mengelakkan pembaziran vaksin yang tinggi. Oleh yang demikian, ibu bapa yang masih belum daftarkan anak untuk dapatkan vaksinasi diminta untuk daftar segera dan dapatkan sebelum tarikh akhir.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut tarikh akhir pemberian dos pertama vaksinasi Covid-19 kanak-kanak.

TARIKH AKHIR PEMBERIAN DOS PERTAMA VAKSINASI COVID-19 KANAK-KANAK

Pemberian dos pertama vaksin covid-19 kepada kanak-kanak hanya sehingga:

  • 15 Mei 2022  DILANJUTKAN sehingga ke 31 Mei 2022

Selepas tarikh tersebut, tiada lagi tawaran pemberian dos vaksinasi kepada golongan kanak-kanak. Tarikh akhir berkenaan ditetapkan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) memandangkan permintaan rendah vaksinasi yang boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

Bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan pengilang, penetapan tarikh akhir dos satu ini perlu dibuat.

TIADA LAGI TAWARAN MULAI 1 JUN 2022

Sehubungan itu, mulai 1 Jun 2022:

  • Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lagi menawarkan dos pertama vaksin Covid-19 jenis Comirnaty dan CoronaVac kepada kanak-kanak yang telah berusia lima hingga 12 tahun di mana-mana dasiliti kesihatan awam dan swasta di Malaysia
  • Vaksin Coronavac pula hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi CITF-C berkata dengan pengumuman ini, ibu bapa kepada kanak-kanak yang belum menerima vaksin Covid-19, perlu membuat keputusan mengenai vaksinasi sebelum 31 Mei ini.

Bagaimanapun, keputusan ini tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada 2017 dan belum mencapai usia lima tahun pada 31 Mei ini, sementara perincian mengenai vaksinasi kumpulan ini akan diperjelas dalam masa terdekat.

PINDAAN BORANG PERSETUJUAN SUNTIKAN VAKSIN COVID-19

Mesyuarat CITF-C bersetuju membuat pindaan pada Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak bawah 18 tahun di mana borang baharu tidak lagi mempunyai klausa 2, iaitu ayat :

  • “Saya bertanggungjawab ke atas risiko yang mungkin berlaku kepada kanak-kanak akibat keputusan/tindakan saya ini kerana manfaat vaksin adalah jauh lebih baik daripada kesan sampingannya”

Pengguguran klausa ini bertujuan mengelakkan kekeliruan dan menzahirkan amalan sedia ada yang mana KKM tidak pernah mengabaikan dan sentiasa bersedia menyediakan bantuan kesihatan sewajarnya apabila berlaku kesan sampingan yang berkaitan akibat penerimaan vaksin.

KANAK-KANAK YANG MASIH BELUM DAPAT SUNTIKAN VAKSIN

Ibu bapa yang telah mendaftarkan anak di aplikasi MySejahtera namun masih belum disuntik:

  • Akan dihubungi petugas kesihatan sama ada:
    – Melalui telefon
    – Melalui media sosial; atau
    – Lawatan ke rumah bagi menawarkan vaksinasi Covid-19 kepada anak-anak mereka

Ibu bapa yang bersetuju akan diberikan tarikh janji temu sebelum tarikh akhir dos pertama.

Kerajaan menyeru ibu bapa yang masih belum membuat keputusan untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan vaksin secara percuma melalui PICKids sebelum tarikh akhir. Pilihlah untuk vaksinkan anak anda bagi mengelakkan komplikasi jangkitan Covid-19 yang teruk.

Rujuk: Langkah Buat Tempahan Janji Temu Tarikh, Masa dan Lokasi Vaksinasi Anak Melalui MySejahtera

Sumber

Daftar Sebagai Pembaca
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma