KPM Umum Takwim Sesi Persekolahan Akan Kembali Pada Januari
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat daripada penularan virus Covid-19 di negara kita, sesi persekolahan di seluruh Malaysia sudah bertukar. Asalnya persekolahan setiap tahun bermula pada bulan Januari awal tahun. Akibat daripada pelaksanaan PKP, sesi persekolahan baru kini bermula pada bulan Mac.
Pasti ramai ibu bapa yang berasa keliru kan apabila sesi persekolahan baharu bermula pada bulan Mac? Kini Kementerian Pendidikan (KPM) telah umumkan berita baik buat orang ramai! Takwim persekolahan akan dikembalikan semula pada Januari tidak lama lagi!
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut pelaksanaan sesi persekolahan bermula Januari seperti diumumkan oleh KPM.
SESI PERSEKOALAHAN AKAN DIKEMBALIKAN KEPADA JANUARI
Kementerian Pendidikan (KPM) komited memastikan takwim sesi persekolahan yang dianjak kepada Mac sejak tahun lepas akan dikembalikan semula kepada jadual asal iaitu Januari tidak lama lagi.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kementerian sedang berusaha ke arah itu, namun terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Kita akan balik ke Januari, jangan risau kerana saya tahu ramai ibu bapa tertunggu-tunggu dan meminta kementerian untuk kembalikan permulaan sesi persekolahan seperti biasa.
“Walau bagaimanapun, ia tidak dapat dilaksanakan tahun depan kerana kalendar akademik beserta justifikasi telahpun dikeluarkan.
“Sebagai contoh, jumlah hari bersekolah seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.
“Selain itu, kita turut perlu mengambil kira takwim bagi sekolah-sekolah di negeri Kumpulan A dan B.
“Kita bimbang akan berlaku kacau ganggu terhadap proses pendidikan anak-anak selain mengambil kira peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan berlangsung,” katanya.
Terdahulu, KPM menetapkan sesi akademik persekolahan tahun 2023 dan 2024 bermula Mac kerana mahu memberi ruang yang cukup kepada murid dan pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka selepas tertangguh ekoran penularan Covid-19.