Permohonan Skim Pinjaman Perumahan (SPP) Untuk Golongan Berpendapatan Rendah
Skim Pinjaman Perumahan (SPP) diuruskan melalui akaun tabung amanah yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Amanah Pinjaman Perumahan Bagi Golongan Berpendapatan Rendah.
Kumpulan wang ini telah diluluskan pada 17 Disember 1975 di bawah Akta Acara Kewangan 1957 (pindaan 1972) dan mula berkuatkuasa pada tahun 1976.
SPP diwujudkan dengan tujuan utama menyediakan kemudahan pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah yang masih belum memiliki rumah sendiri.
Isi Kandungan
SKIM PINJAMAN PERUMAHAN (SPP)
Skim ini adalah salah satu usaha Kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah membiayai kos pembinaan rumah supaya golongan ini sekurang-kurangnya mempunyai sumber untuk memiliki rumah sendiri.
Melalui kemudahan ini pihak Kerajaan dapat memberi bantuan untuk persediaan tempat kediaman yang bersesuaian dan memuaskan dalam usaha untuk meninggikan taraf kehidupan golongan ini
SYARAT PERMOHONAN
Syarat Kelayakan
Berikut adalah syarat kelayakan untuk membuat permohonan pinjaman:
- Pemohon dan pasangan adalah warganegara Malaysia
- Berumur 21 hingga 70 tahun
- Bekerja dan mempunyai pendapatan
- Bukan kakitangan Kerajaan atau pesara (termasuk pasangan)
- Pemohon dan pasangan belum mempunyai rumah
- Jumlah pendapatan kasar isi rumah di antara RM1,000.00 hingga RM3,000.00 sebulan
- Memiliki tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga terdekat
Syarat Pinjaman
Syarat pinjaman yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:
- Had Pinjaman Maksimum RM60,000.00 (tidak termasuk perlindungan insuran)
- Tempoh maksimum bayaran balik pinjaman 35 tahun atau sehingga umur 70 tahun.
- Caj perkhidmatan 2% ke atas pinjaman.
- Perlu mengambil perlindungan insuran yang disediakan oleh Panel Insuran, Jabatan
- Perumahan Negara ke atas rumah yang dibina
Syarat Pinjaman Generasi Kedua
Pilihan pinjaman 2 generasi bagi pemohon yang berumur 45 tahun hingga 70 tahun dengan syarat penama kedua berumur 21 hingga 35 tahun, berpendapatan minimum RM1000.00 dan bukan kakitangan kerajaan.
- Perlindungan insuran hanya untuk generasi kedua sahaja
- Generasi ke-2 mestilah anak kandung kepada pemohon
Syarat Cagaran Tanah
Mencagar tanah milik peminjam atau tanah milik ahli keluarga terdekat dengan kebenaran bertulis pemilik tanah.
- Nilai tanah (berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta) yang dicagar tidak kurang daripada jumlah pinjaman.
- Bagi tanah milikan secara pajakan, perlu mematuhi syarat berikut;
- Baki tempoh pajakan tanah yang dicagar sekurang-kurangnya 40 tahun.
- Mendapat kebenaran mencagar tanah daripada Pihak Berkuasa Negeri
Syarat Pembinaan Rumah
Rumah kos rendah – keluasan lantai 700 – 1,000 kaki persegi, sekurang-kurangnya 3 bilik tidur dan 2 bilik air, ruang tamu dan dapur.
- Diberi pilihan untuk menggunakan pelan-pelan yang disediakan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) SAHAJA.
- Pemohon TIDAK boleh menggunakan pelan sendiri
- Mendapatkan kelulusan Pelan Bangunan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika diperlukan
- Perlantikan kontraktor diuruskan oleh peminjam dan kontraktor tersebut:-
- Kontraktor tempatan mengikut kawasan DUN;
- Mempunyai Pendaftaran Syarikat atau Perakuan Pendaftaran CIDB yang masih sah;
- Memiliki punca kewangan yang mencukupi dengan had minima kewangan adalah RM5,000
- Memiliki pengkhususan kerja berkaitan bidang pembinaan
CONTOH PELAN
Peminjam perlu melantik kontraktor sendiri mengikut syarat pembinaan dan pelan rumah yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perumahan Negara. Pemohon tidak boleh menggunakan pelan rumah sendiri.
Lihat contoh pelan berikut:
CARA MOHON
Sekiranya anda berminat dan memenuhi syarat kelayakan, anda boleh download borang permohonan yang disertakan di bawah.
Pemohon boleh mengemukakan permohonan dengan menghantar Borang Permohonan SPP yang lengkap diisi kepada alamat berikut:
-
Cawangan Pembiayaan Perumahan
Bahagian Pengurusan Perumahan
Jabatan Perumahan Negara
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Aras 30, No 51, Persiaran Perdana, Presint 4
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 Putrajaya, Malaysia - Tel: 03 8891 4060 / 4049 / 4048
- Emel: spp@kpkt.gov.my
Sekiranya anda memerlukan penerangan lanjut, anda boleh rujuk portal JPN di alamat ehome.kpkt.gov.my atau berhubung dengan pegawai Bahagian Pembiayaan Perumahan, Jabatan perumahan Negara di talian 03 8891 4060 / 4049 / 4048.
Baca juga: Permohonan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit)