Senarai 15 Bantuan Kewangan Kerajaan Untuk Rakyat Akibat COVID-19 Yang Perlu Anda Ambil Tahu

Tidak dinafikan bahawa penularan wabak Covid-19 yang semakin meluas di Malaysia telah menyebabkan rakyat Malaysia mengalami kesusahan dalam kehidupan harian. Wabak ini bukan sahaja telah menjejaskan kesihatan, malah turut menjejaskan perniagaan dan kehidupan sosial semua masyarakat.

Menurut laporan Sinar Harian, syarikat penerbangan Malaysia Airlines telah pun mengumumkan bahawa seramai 13,000 pekerja syarikat tersebut perlu mengambil cuti tanpa gaji disebabkan banyak penerbangan yang terpaksa dibatalkan.

Baca juga: Senarai Hospital Yang Mengendalikan Kes COVID-19

Itu baru satu syarikat penerbangan, bayangkan banyak lagi syarikat dan premis perniagaan yang lain telah mengarahkan pekerja bercuti seketika berikutan dengan penularan yang berlaku di mana telah menyebabkan ramai pekerja terpaksa menanggung nasib cuti tanpa gaji.

Berikutan dengan masalah yang berlaku ini, kerajaan telah memutuskan untuk memberi beberapa jenis bantuan kepada individu yang memerlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Berikut adalah perkongsian jenis-jenis bantuan yang kerajaan peruntukkan susulan penularan wabak Covid-19.

BANTUAN KERAJAAN SUSULAN PENULARAN WABAK COVID-19

1 Bantuan Bagi Pekerja Yang Terpaksa Cuti Tanpa Gaji

Bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan akan diberikan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji susulan penularan wabak Covid-19.

Pekerja yang layak menerima bantuan ini adalah pekerja yang diberi notis  kerja tanpa gaji mulai 1 Mac 2020. Penerima bantuan ini juga layak untuk mencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan.

Seramai 33,000 pekerja disasarkan menerima faedah tersebut dengan peruntukan sebanyak RM120 juta.

2 Bantuan Kepada B40 Yang Menerima BSH

Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan pada 27 Februari 2020 melibatkan pembayaran BSH 2020 fasa 2 sebanyak RM200 yang dijangka pada Mei 2020 telah diawalkan bayaran pada 16 Mac 2020.

Penerima BSH 2020 juga akan menerima bantuan tambahan RM100 yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank yang didaftarkan dan juga e-tunai sebanyak RM50 yang akan disalurkan pada Mei 2020.

3 Diskaun Penggunaan Elektrik

Diskaun sementara selama enam bulan sebanyak 15% daripada bil elektrik secara bulanan bagi agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat membeli belah, pusat konvensyen dan pameran diperuntukkan mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020.

Diskaun caj elektrik juga diberikan kepada pengguna dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik sebanyak 2% untuk tempoh 6 bulan bermula 1 April 2020.

4 Pemberian Kontrak Bagi Kontraktor Kerajaan

Projek-projek kecil seperti kerja penyelenggara dan pembaikan infrastruktur kecil seluruh negara terutamanya di luar bandar bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam PRE2020 oleh PM7 akan mula dilaksanakan pada bulan April 2020.

Proses pemberian kontrak akan dipercepatkan bagi membantu kontraktor kerajaan.

5 Penangguhan Bayaran Pelanggan TEKUN, Bank Rakyat dan SME Bank

Pelanggan 3 institusi kewangan atau peminjam wang di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi iaitu TEKUN, Bank Rakyat dan SME Bank yang terkesan akibat Covid-19 dibenarkan menangguh bayaran pembiayaan selama 6 bulan mulai hari ini.

SME Bank menawarkan dana pinjaman khas RM1 bilion dengan kadar faedah rendah 3.75% kepada semua SME.

6 Bantuan Khas Covid-19 RM100 Sehari (NADMA)

Bayaran sebanyak RM100 sehari diberikan kepada warganegara Malaysia yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan / tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian kerana mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19 atau diri sendiri menjalani rawatan di wad hospital (warded) ekoran COVID-19.

Bagi mereka yang tidak bekerja sebelum dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ataupun menerima gaji sepanjang tempoh Pengawasan dan Pemerhatian / menjalani rawatan di wad hospital (warded) disebabkan COVID-19.

Bantuan ini hanya diberikan sekali sahaja (one-off payment) dan tidak akan diberikan bagi kes berulang. Permohonan hendaklah dibuat dengan menlengkapkan borang dan dipos ke NADMA.

Layari : Borang Permohonan

7 Pengurangan Kadar Caruman Minimum KWSP

Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan sebanyak 4% daripada 11% kepada 7%.

Kadar caruman baharu ini akan berkuatkuasa mulai upah bulan April 2020 (caruman Mei 2020) sehingga upah pekerja bulan Disember 2020 (caruman Januari 2021).

Walau bagaimanapun, bagi pekerja yang ingin mengekalkan caruman pada kadar 11% boleh berbuat demikian dengan melengkapkan Borang KWSP17A (Khas 2020) dan dikemukakan kepada KWSP melalui majikan masing-masing.

Layari: Cara Membuat Permohonan Kekalkan Caruman Beserta Borang

8 Bayaran One-off RM600 Kepada Pemandu Teksi, Bas Persiaran, Pemandu Pelancong dan Penarik Beca

Kerajaan menyediakan insentif tunai secara sekali bayaran berjumlah RM600 pada bulan April 2020 kepada setiap pemandu teksi, bas pelancongan, pemandu pelancong serta penarik beca yang aktif dan berdaftar pada 31 Disember 2019.

Insentif ini akan memanfaatkan hampir 29,000 pemandu teksi, 6,000 pemandu bas pelancongan dan 17,000 pemandu pelancong dan penarik beca.

9 Elaun Khas Penjawat Awam Terlibat Tangani Covid-19

Penjawat awam yang secara langsung terdedah kepada risiko koronavirus ketika menjalankan tugas akan diberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan bagi doktor dan kakitangan perubatan lain.

Elaun bulanan RM200 turut diberikan kepada kakitangan lain termasuk pegawai imigresen di pintu masuk yang terlibat secara langsung membendung wabak ini.

10 Penangguhan Bayaran Pinjaman Bank

Beberapa buah institusi perbankan di Malaysia telah menawarkan moratorium atau penangguhan rasmi sementara bayaran ansuran pinjaman dengan pihak bank sehingga 6 bulan.

Pemberian moratorium ini adalah bagi individu mahupun pemilik perniagaan yang terkesan akibat COVID-19 bagi pinjaman pembiayaan peribadi, rumah, kereta, kad kredit, pinjaman SME dan overdraft tertakluk kepada kelulusan bank.

Permohonan hendaklah dibuat di mana- mana cawangan bank atau boleh menelefon bank tersebut. Senarai bank yang menawarkan penangguhan pinjaman adalah seperti pautan di bawah.

Layari: Senarai Bank Yang Menawarkan Penangguhan Pinjaman

11 Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

PTPTN memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman selama enam bulan kepada semua peminjam secara automatik bermula 19 Mac 2020 hingga 30 September 2020.

Potongan gaji atau direct debit turut ditangguhkan tetapi bagi peminjam yang ingin meneruskan potongan gaji/direct debit, permohonan boleh dibuat melalui Portal PTPTN (seperti pautan di bawah) mulai 23 Mac 2020 hingga 15 April 2020.

Layari: Permohonan Penangguhan Pinjaman PTPTN (COVID-19)

12 Penangguhan Pinjaman MARA (Pelajaran Dan Perniagaan)

MARA memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran selama tiga (3) bulan kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan bayaran balik selama tiga bulan. Bagi pembiayaan perniagaan MARA, penagguhan bayaran balik diberikan selama enam (6) bulan dengan syarat tiada tunggakan bayaran lebih daripada dua bulan.

Diskaun khas juga diberikan kepada penyewaan semua premis perniagaan MARA sebanyak 30% dengan syarat tiada tunggakan bayaran lebih daripada dua bulan dan perniagaan terlibat dengan penutupan Perintah Kawalan Pergerakan.

Peminjam dan usahawan MARA yang menepati syarat ditetapkan dan layak perlu mengemukakan permohonan bagi penjadualan semula bayaran di pejabat MARA berhampiran bermula 1 April 2020.

13 Pengeluaran Akaun 2 KWSP RM500 Sebulan

Kerajaan telah mengumumkan kemudahan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi semua ahli yang berumur 55 tahun ke bawah dengan kadar Maksimum pengeluaran adalah RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

Permohonan boleh dilakukan melalui tiga cara bermula 1 April 2020 seperti pautan panduan di bawah:

Layari: Cara Membuat Permohonan Pengeluaran

14 Pengecualian Yuran Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan

Kerajaan telah mengumumkan pengecualian yuran Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan seluruh negara bagi tempoh Mac hingga Jun.

Pengecualian melibatkan 1,781 buah Tabika Perpaduan (37,855 orang) dan 41 buah Taska Genius Perpaduan (972 orang).

15 Pengecualian Bayaran Sewa PPR

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengumumkan pengecualian bayaran sewa sebulan buat 9,185 pemilik unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

PPR yang terlibat adalah PPR Sentul Murni, Rumah Transit Bukit Jalil, PPR Lembah Subang 1, PPR Lembah Subang 2, PPR Kampung Hassan Hulu Selangor, PPR Ladang Siliau Port DIckson, PPR Tok Suboh, PPR Amanjaya, PPR Kota Setar, PPR Sinar Intan 3, PPR Gua Musang dan PPR Kota Bahru.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangkan penularan wabak penyakit ini dan bantuan disediakan bagi membantu rakyat yang mengalami kesusahan disebabkan wabak penyakit ini.

Namun, kita pula sebagai rakyat haruslah bertanggungjawab dalam memastikan penularan ini berkurangan dengan sentiasa mengikut perintah kerajaan. Semoga penularan ini tidak berpanjangan dan ada jalan penyelesaiannya.

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma