Hukum Rasa Masakan Di Bulan Puasa & Cara Rasa Yang Betul Supaya Tidak Batal Puasa
Mungkin ramai para ibu yang sudah biasa memasak setiap hari dan sudah tentunya dah pandai agak berapa banyak garam dan gula perlu diletakkan dalam masakan. Campak-campak pun sedap, tak perlu rasa pun. Tetapi masalah pula bagi yang tidak selalu memasak.
Setiap kali memasak mesti perlu rasa dulu masakan tersebut untuk pastikan ia betul-betul sedap. Namun, pada bulan puasa pula bagaimana? Pasti ramai yang risau masakan tak sedap sebab tak dapat rasa masakan.
Boleh ke nak rasa masakan ketika berpuasa? Bagi yang ragu-ragu, berikut adalah hukum merasa makanan yang dipetik dari laman web Mufti Wilayah Persekutuan.
Isi Kandungan
HUKUM RASA MASAKAN DI BULAN PUASA
Merasa makanan adalah dibolehkan dengan dikecap di hujung lidahnya dan tidak membatalkan puasanya mengikut pendapat yang terpilih. Situasinya adalah seperti tukang masak atau surirumah yang sedang memasak di dapur. Ibn Abbas R. Anhuma berkata:
““Tidak mengapa seseorang yang sedang berpuasa mencicipi cuka atau sesuatu, selama tidak masuk sampai ke kerongkong.”
Ini hendaklah dalam kuantiti yang sedikit. Namun, tidak boleh menelannya kerana jika ditelan masuk bersama air liur, batallah puasanya.
Kesimpulannya, anda dibolehkan untuk merasa masakan ketika berpuasa tetapi hanya di hujung lidah sahaja. Jangan telan pula!
CARA RASA MASAKAN DI BULAN PUASA
Berikut adalah panduan yang belum rasa masakan di bulan puasa supaya tidak batal puasa:
- Merasa dalam kuantiti yang sedikit sahaja
- Letak masakan di hujung lidah sahaja
- Tidak boleh menelan masakan tersebut kerana jika ditelan masuk bersama air liur, batallah puasanya
- Jika seseorang merasa makanan ketika berpuasa, kemudian dia meludahkannya tetapi masih berbaki rasanya pada lidah sekalipun sampai ke tekak dan ditelannya, maka ianya tidak membatalkan puasa seseorang itu kerana ‘ain makanan tersebut telah diludahkan dan yang tinggal hanya athar (kesan) sahaja yang berbaki
Jadi tidak salah untuk ibu ibu merasa makanan ketika puasa, tetapi ia harus diludahkan semula. Nak lebih selamat cuba ambil kuah menggunakan sudu, titiskan di jari dan kemudian calitkan pada hujung lidah.
Semoga bermanfaat!