Banyak Pengalaman, Tetapi 6 Punca Ini Boleh Menyebabkan Calon Gagal Temuduga
Biasanya kita dengar setiap majikan akan mencari calon yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang tertentu. Lebih lama pengalaman bekerja, lebih menarik perhatian penemuduga! Namun walaupun anda mempunyai pengalaman sehingga 10 tahun pun, bukanlah tiket mudah untuk anda lulus temuduga terutamanya dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Memang betul bertahun-tahun pengalaman dapat menggambarkan calon tersebut mampu membuat kerja. Namun, dalam temuduga ada beberapa punca yang boleh menyebabkan calon ini gagal.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui 8 punca yang boleh menyebabkan calon yang banyak pengalaman gagal temuduga.
Isi Kandungan
8 PUNCA GAGAL TEMUDUGA WALAUPUN BANYAK PENGALAMAN
1 Terlalu Santai
Ingat, pengalaman bukanlah satu tiket yang membolehkan anda lulus temuduga. Sebanyak mana pun pengalaman yang anda ada, tetapi jika tidak ikut etika temuduga yang betul boleh menyebabkan anda gagal. Ada calon yang menjadikan sesi temuduganya terlalu santai sehingga tidak mengamalkan etika yang betul.
Perkara ini selalu berlaku akibat daripada sikap calon yang menganggap sesi temuduga tersebut seperti perkara biasa.
2 Berlagak dan Berlebihan
Tidak perlu berlagak pun jika anda mempunyai pengalaman bertahun-tahun. Kadang-kadang sikap calon yang terlalu berlagak dengan pengalaman yang mereka ada akan membuatkan penemuduga berasa tidak suka. Ingat, anda banyak pengalaman belum tentu anda akan diambil kerja.
Jangan terlalu cakap besar dan meninggikan diri ketika menjawab soalan kerana merasakan pengalaman yang anda ada sudah cukup untuk diambil bekerja.
3 Palsukan Resume
Memang tidak dinafikan ada juga yang sanggup palsukan resume di hanya untuk menunjukkan diri calon yang sangat berpengalaman dan merasakan akan lulus dalam temuduga dengan mudah. Tak perlu! Pastikan anda jujur dalam setiap butiran dalam resume.
Silap-silap penemuduga boleh buat semakan dan anda kantoi di bahagian tersebut terus ‘blacklist’ nama anda daripada syarikat!
4 Terlalu Malu
Nak malu pun pastikan bertempat. Tidak guna ada pengalaman yang banyak tetapi hadir temuduga tidak yakin pada diri dan tersipu malu di hadapan penemuduga. Tujuan temuduga dijalankan adalah untuk menilai tahap komunikasi seorang calon dan memastikan mereka layak dengan jawatan tersebut. Jika anda tidak berkeyakinan ketika temuduga SPA, memang tiada peluanglah untuk anda!
5 “Body Language” Yang Salah
Pastikan anda jaga body language anda sepanjang sesi temuduga. Jangan duduk terlalu santai kerana merasakan anda sudah selesa dan terlalu yakin akan diambil bekerja kerana pengalaman yang ada. Duduk dalam postur yang betul seperti mana anda hadiri temuduga pertama kali sebelum pernah bekerja.
Ketahui 10 body language yang sesuai semasa temuduga.
6 Tidak Mengkaji Jawatan / Jabatan / Kementerian
Calon tidak membuat sebarang persediaan berkaitan jawatan/jabatan ketika disoal dengan soalan yang berkaitan seperti deskripsi tugas, misi dan visi jabatan, objektif jabatan dan lain-lain lagi juga boleh menyebabkan calon gagal.
Soalan-soalan asas seperti berikut WAJIB tahu sebelum hadir temuduga.
7 Guna Bahasa Pasar
Jika tiba-tiba penemuduga menggunakan bahasa pasar ketika bertanyakan soalan kepada anda, jangan cepat melatah! Sebenarnya mereka hanya mahu menguji calon sahaja. Jangan gunakan bahasa pasar untuk menjawab soalan.
Kekalkan bahasa formal atau baku sepanjang sesi temuduga berjalan. Melainkan penemuduga menyatakan sesi temuduga telah tamat dan ingin berbual dengan anda secara santai.
8 Berpolitik
Tidak kisahlah siapa anda sokong dan parti apa yang anda sokong, jangan bermain soal politik ketika temuduga dijalankan walaupun soalan yang dikemukakan sangat menarik minat anda untuk membuat ulasan. Anda perlu neutral dan berhati-hati ketika menjawab soalan atau memberikan jawatan.
Jadi walaupun anda mempunyai pengalaman bertahun-tahun pun, pastikan anda tidak lakukan 8 kesilapan ini ketika sesi temuduga kerajaan atau swasta.
Semoga bermanfaat!
Baca juga: “Mengapa Anda Mahu Pekerjaan Ini?” Ini Cara Jawab Soalan Temuduga Ini