Permohonan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera TUBE: Modal Perniagaan RM15,000 Disediakan
Program Tube Mega 2020 ini menyasarkan golongan belia bumiputera yang berumur di antara 18 – 30 tahun yang mempunyai minat yang mendalam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, khususnya belia yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan
Permohonan Program TUBE telah dibuka bermula15 Oktober hingga 25 Oktober 2020 secara atas talian di laman SMEcorp Malaysia.
Ikuti perkongsian di bawah untuk mendapatkan maklumat mengenai program ini dan bagaimana anda boleh mengemukakan permohonan TUBE 2020.
Isi Kandungan
PROGRAM TUNAS USAHAWAN BELIA BUMIPUTERA
Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) merupakan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan. Ia tercetus sewaktu Kongres Usahawan Muda Bumiputera pada 27 – 29 Mac 2014. Semasa Majlis Penutup Kongres pada 29 Mac 2014, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada SME Corp. Malaysia bagi melaksanakan Program Tunas Usahawan Bumiputera pada tahun 2014.
Program ini secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan
OBJEKTIF UTAMA PROGRAM TUBE
- Memupuk dan menanam semangat keusahawanan di kalangan belia
- Anjakan paradigma belia dari pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan; serta
- Membentuk daya tahan dan jati diri di kalangan belia dalam mengendalikan perniagaan sendiri
FASA PELAKSANAAN PROGRAM TUBE
Program TUBE ini direka khas bagi mempersiapkan belia yang ingin memulakan perniagaan agar mempunyai daya tahan dari segi mental dan fizikal, selain didedahkan dengan lanskap dan cabaran dunia perniagaan yang sebenar. Ini dilaksanakan menerusi tiga (3) Fasa pelaksanaan, iaitu :
1FASA PERTAMA
Peserta yang layak akan mengikuti latihan fizikal asas ala ketenteraan berkonsepkan bootcamp untuk menguji kecekalan minda, mempelajari cara membuat keputusan strategik, keberanian, penonjolan ciri kepimpinan serta semangat kerja berpasukan. Ini sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang bakal dihadapi semasa menjalankan perniagaan
2 FASA KEDUA
Peserta akan didedahkan dengan lanskap perniagaan terkini; termasuk maklumat mengenai jenis bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai Kementerian dan Agensi untuk memulakan perniagaan. Peserta juga akan mempelajari pelbagai acumen perniagaan termasuk perakaunan asas, pemasaran produk dan perkhidmatan, serta pembentangan idea dan Rancangan Perniagaan (RP) atau business plan.
3 FASA KETIGA
Peserta yang melepasi Fasa 1 dan Fasa 2 akan menjalankan perniagaan berdasarkan Rancangan Perniagaan (RP) yang telah dibentangkan kepada Panel Penilai semasa di Fasa 2. Perkembangan perniagaan peserta di Fasa ini akan dibimbing dan dipantau menerusi Sistem Buddy oleh Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia.
Tempoh bimbingan dan pemantauan ini yang mengambil masa selama 12 bulan bertujuan untuk memastikan TUBErs mendapat khidmat nasihat yang bersesuaian dan mencukupi, supaya perniagaan yang dijalankan akan dapat terus berdaya tahan dan mampan.
PERMOHONAN PROGRAM TUBE
Bagi yang berminat untuk membuat permohonan ini, pastikan anda baca maklumat permohonan di bawah.
- Pemohon mesti membaca serta memahami konsep pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera sebelum mengemukakan permohonan
- Permohonan hanya boleh dibuat sekali sahaja di laman SMEcorp Malaysia.
- Permohonan dalam talian dibuka mulai 15 Oktober 2020 sehingga 25 Oktober 2020 sahaja. Permohonan sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan tidak akan diterima.
- Sila pastikan emel yang digunakan semasa Pendaftaran ID adalah aktif dan sah.
- Sila lengkapkan semua soalan di setiap Seksyen dengan maklumat yang tepat dan betul sebelum menekan butang “Sah & Hantar“
- Sebarang pengemaskinian maklumat tidak boleh dilakukan setelah anda menekan butang “Sah & Hantar“.
- Bukti penerimaan permohonan adalah melalui emel yang telah didaftarkan.
- Berdasarkan kepada dasar dan prosedur yang diterima pakai, SME Corp. Malaysia berhak untuk meminda, mengganti, membatal atau mengubah mana-mana terma dan syarat permohonan ini pada bila-bila masa tanpa memberi notis terlebih dahulu. *Keputusan penilaian permohonan adalah muktamad dan sebarang surat-menyurat atau rayuan tidak akan dipertimbangkan.
Bagi belia yang betul-betul berminat untuk menjalankan perniagaan tetapi tidak mempunyai modal, anda boleh mulakan cita-cita anda untuk jadi usahawan berjaya dengan menyertai program ini kerana banyak manfaat yang akan diperoleh. Pastikan anda sentiasa beri perhatian kepada tarikh-tarikh penting yang disertakan.