Program Tuisyen Cikgu Saarani : Bantuan Tuisyen Buat 200,000 Pelajar B40
Kerajaan Negeri Perak semalam telah melancarkan Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang akan memberi manfaat kepada hampir 200,000 pelajar di seluruh negeri ini terutamanya mereka yang datang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40).
Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad yang juga bekas pendidik berkata sasaran utama program itu adalah membantu murid dan pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama termasuk 40,642 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya menduduki ujian pada tahun 2020 tetapi ditangguhkan ke tahun ini ekoran pandemik COVID-19.
Bukan sahaja calon SPM, manfaat bantuan tuisyen tambahan ini juga akan diberikan kepada beberapa pelajar lain juga. Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut Program Tuisyen Cikgu Saarani.
Isi Kandungan
PELAJAR PEPERIKSAAN UTAMA
Program ini bakal memberi manfaat secara langsung kepada:
- 37,894 pelajar yang menduduki peperiksaan utama pada 2021
- 40,642 calon SPM
- 30,320 pelajar Tingkatan 4
- 31,761 pelajar Tingkatan 1
- 31,742 murid Tahun Satu
SUBJEK KELAS TAMBAHAN YANG DISEDIAKAN
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan menyediakan guru dan tenaga pengajar yang memberikan tuisyen atau kelas tambahan bagi subjek-subjek kritikal iaitu:
- Bahasa Malaysia,
- Bahasa Inggeris,
- Matematik dan
- Sejarah
INISIATIF DAN BANTUAN PROGRAM
Program pertama di Malaysia itu bakal merangkumi inisiatif dan bantuan khusus iaitu:
- Tuisyen & kelas tambahan
- Bantuan khas makanan
- Program latih tubi menjelang peperiksaan
- Penyediaan bahan pengajian berasaskan video interaktif
Kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM2.7 juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon SPM yang menghadiri sesi persekolahan harian dan kelas tambahan di sekolah sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan buat permulaan.
Calon SPM berkenaan akan diberikan makanan tengah hari secara harian selama 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan bermula pada 22 Feb ini.
SEKOLAH DAN GURU TERLIBAT
Idea hasil perbincangan bersama pelbagai pihak termasuk exco kerajaan negeri, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta JPN Perak, program itu akan melibatkan:
- 224 sekolah
- 488 guru
Program ini dilaksanakan dalam usaha membasmi kemiskinan menerusi pendidikan yang turut terjejas akibat penularan wabak Covid-19.