Perbezaan Antara Guru Interim, Guru Sandaran & Guru Ganti Yang Ramai Tidak Tahu
Istilah guru digunakan untuk menggambarkan seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan dan pendidikan. Secara umumnya, guru hendaklah mahir dalam sesuatu subjek dan diperkukuh lagi dengan pengetahuan dalam bidang pedagogi.
Banyak sebenarnya peringkat jawatan sebagai guru ini. Namun yang ramai tahu adalah Guru Tetap dan Guru Ganti. Pasti ramai yang fikir Guru Interim juga merupakan Guru Ganti kan?
Salah sebenarnya, ada beza antara Guru Interim, Guru Sandaran dan Guru Ganti yang masih ramai tidak tahu. Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui perbezaan antara 3 jawatan popular ini.
Isi Kandungan
GURU INTERIM
Guru Interim merupakan suatu status di mana sama seperti penjawat awam yang lain iaitu mereka layak menerima segala ganjaran kewangan serta faedah sampingan. Namun, bezanya adalah mereka tidak menikmati status perkhidmatan secara tetap.
Ini bermaksud, mereka tidak akan memperoleh senioriti dan gratuiti (hitungan sagu hati persaraan). Permohonan Guru Interim adalah melalui sistem mySPP.
Lantikan Guru Interim
Guru Interim yang berminat untuk dilantik tetap sebagai Pegawai perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 perlu mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC) bagi mendapatkan ikhtisas pendidikan dengan pembiayaan sendiri dalam tempoh interim dan layak menuntut elaun perjalanan untuk menghadiri KDC tertakhluk peruntukan semasa jabatan.
- Jawatan: Guru Interim Gred DG41
- Bayaran Bulanan: RM2,149 bagi Ijazah Kepujian
Kelebihan Guru Interim
Antara kemudahan yang diperoleh oleh Guru Interim adalah:
- Cuti Sakit
- Cuti Penggal Sekolah Bergaji Penuh
- Cuti Rehat Khas
- Rawatan Perubatan dan Pergigian
Kemudahan Yang TIDAK LAYAK
Antara kemudahan yang tidak layak dituntut oleh Guru Interim adalah:
- Imbuhan Tetap Perumahan
- Rawatan perubatan di luar negeri
- Pinjaman perumahan/ kenderaan
- Cuti separuh gaji
- Curi tanpa gaji
- Cuti bersalin
- Cuti belajar
- Cuti kecerdasan
- Cuti kerantina
- Cuti tanpa rekod
- Cuti haji
Bagi calon yang akan menghadiri temuduga Guru Interim, anda boleh lihat Contoh Soalan temuduga Guru Interim Yang Boleh Dijadikan Rujukan.
GURU SANDARAN
Guru Sandaran merupakan guru yang bertugas di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KMP) bagi sesuatu tempoh untuk mengisi kekosongan. Mereka belum dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan pelajaran (SPP) sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan.
Guru Sandaran hanya menerima bayaran dalam bentuk elaun bulanan sahaja.
Terdapat dua jenis Guru Sandaran iaitu Guru Sandaran Terlatih (GST) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).
i) Guru Sandaran Terlatih
Guru Sandaran terlatih adalah guru yang baru tamat pengajian dan sedang dalam proses mendapat pengesahan kepada jawatan yang sebenar.
Selain kelulusan akademik yang mendapat pengiktirafan Kerajaan, Guru Sandaran Terlatih juga hendaklah mempunyai kelayakan ikhtisas yang diiktiraf dan kelayakan Bahasa Melayu. Pelantikan GS ini diuruskan oleh Bahagian Sumber Manusia KPM.
- Jawatan Guru Sandaran Terlatih diberikan kepada semua guru yang baru posting dan yang memiliki ijazah akan dikumpulkan dalam kategori gred DG41
- Apabila telah lulus temuduga SPP dan mendapat pengesahan jawatan, pemansuhan jawatan sebagai guru Sandaran terlatih akan berlaku
- Jawatan GST akan digantikan dengan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) bagi Gred DG41
Jawatan GST tidak terhad kepada di sekolah sahaja. Jika seseorang memiliki ijazah dalam bidang lain yang menepati kelayakan, mereka juga boleh membuat permohonan di Institusi politeknik di Malaysia.
ii) Guru Sandaran Tidak Terlatih
Guru Sandaran Tidak terlatih (GSTT) merupakan istilah yang digunakan untuk individu yang berminat dan membuat permohonan untuk menjadi guru tetapi tiada kelayakan dalam bentuk sijil, diploma atau ijazah dalam bidang perguruan. Mereka ini hanya mempunyai kelayakan akademik dan kelayakan Bahasa Melayu sahaja.
Pelantikan GSTT diuruskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Jabatan/Bahagian yang berkenaan. Golongan ini akan ditugaskan sebagai guru ganti yang akan menampung kekurangan guru di sekolah.
Tugas Guru Sandaran Tidak Terlatih bergantung pada kontrak dan tempoh masa yang terhad. Perkhidmatan mereka boleh ditamatkan pada bila-bila masa sahaja.
GURU GANTI
Guru Ganti adalah guru yang menggantikan tempat guru lain yang tidak dapat berada di sekolah pada suatu masa tertentu. Mereka ini membantu mengisi kekosongan tatkala guru-guru terlatih mengambil cuti sakit, cuti bersalin atau menghadiri kursus.
Kekosongan sementera yang berlaku ini ditampung dengan khidmat Guru Ganti yang majoritinya terdiri daripada pelajar lulusan SPM atau STPM. Guru Ganti tidak memiliki sebarang latihan ikhtisas dan hanya dilantik secara kontrak
Bagi yang berminat untuk menjadi Guru Ganti, anda boleh baca Cara Apply Permohonan Guru Ganti Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda dalam membezakan jawatan Guru Interim, Guru Ganti dan Guru Sandaran.