Pengeluaran Pendahuluan Akaun 1 KWSP Dibenarkan Sebanyak RM4,000 ~ RM10,000 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan akses terhadap Akaun 1 untuk ahlinya yang terjejas dengan pendahuluan maksimum pertama antara RM4,000 hingga RM10,000.

KWSP mengambil langkah ini bagi memperluas skop i-Sinar yang melibatkan ahli yang kehilangan kerja, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan. KWSP dalam kenyataannya menjelaskan i-Sinar akan memberi manfaat kepada dua juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan tersedia untuk ahli terbabit.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut pengeluaran pendahuluan sehingga RM10,000.

PENGELUARAN PENDAHULUAN AKAUN 1 KWSP

Baki RM90,000 Dan Ke Bawah

Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah (Akaun 1) akaun mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9000. Ia akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4000.

Baki Lebih RM90,000

Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 dalam akaun 1 akan mempunyai akses 10%. Bagaimanapun amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000.

PERMOHONAN MULAI DISEMBER 2020

Pihak KWSP telah menyatakan ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember ini. Amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat. Pengkreditan pertama akan bermula Januari 2021.

Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan.

Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.

PENGELUARAN I-SINAR PERLU DIGANTI

Ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan. Caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula.

Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2.

Jelas KWSP, bagi menentukan amaun yang diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar dan memastikan kelangsungan hidup semasa krisis, ahli digalak mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Maklumat lanjut serta butiran terperinci mengenai kelayakan i-Sinar serta terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sumber

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma