Penambahbaikan Bantuan Kerajaan Bagi Pemulihan Usahawan PKS Yang Terjejas Banjir

Kerajaan komited menyediakan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara.

Mengambil kira cabaran yang dihadapi Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) yang terkesan ekoran banjir untuk memulihkan perniagaannya dan beroperasi semula, Kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik bantuan kepada perniagaan tersebut.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut penambahbaikan bantuan kerajaan bagi memulihkan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang terjejas akibat banjir.

KEMUDAHAN BANTUAN BENCANA 2021

Sebelum ini, pada bulan Disember 2021, Kerajaan telah pun mengumumkan dana pinjaman RM500 juta untuk Kemudahan Bantuan Bencana yang melibatkan pinjaman kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) sehingga RM700 ribu pada kadar faedah sehingga 3.5% setahun dengan moratorium 6 bulan.

Di samping itu, dana sebanyak RM30 juta disediakan melalui TEKUN Nasional untuk pinjaman sehingga RM10 ribu kepada usahawan mikro dan informal.

PENAMBAHBAIKAN BANTUAN BANJIR KELUARGA MALAYSIA 2022

Sukacita diumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk membantu PMKS yang terjejas akan ditambahbaik seperti berikut:

1. Geran RM3,000 TEKUN Nasional

Kerajaan akan memberi geran bernilai RM3,000 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan peruntukan disediakan sebanyak RM50 juta yang bakal memanfaatkan lebih 15,000 perniagaan mikro dan informal.

2. Skim Pembiayaan Informal dan Mikro Sehingga RM10,000

dana tambahan RM50 juta akan disediakan melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN Nasional khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah sehingga 5 tahun dengan moratorium 12 bulan.

3. Pinjaman SME Emergency Fund (SMEEF) Sehingga RM100,000

dana sebanyak RM100 juta akan disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk PKS terjejas, pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah di mana tempoh bayar balik adalah sehingga 5 tahun dengan moratorium 12 bulan.

4. Tabung Bencana Tanama Padi

dalam sektor pertanian, sehingga kini jumlah kerugian yang dilaporkan kesan daripada bencana banjir pada bulan Disember 2021 adalah sebanyak RM91 juta dan jumlah bantuan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM21 juta. Kerajaan meluluskan bantuan tambahan kepada pengusaha Agromakanan yang terjejas banjir melalui suntikan dana sebanyak RM20 juta untuk Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Di bawah TBTP, pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir bakal menerima bantuan secara tunai sehingga RM1,800 per hektar dengan had maksimum sehingga 3 hektar. Bagi pengusaha pertanian lain pula, RM50 juta tambahan akan disediakan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

Di bawah PPSPA, petani, penternak dan peladang yang terjejas akibat kerosakan banjir, layak untuk memohon untuk bantuan sehingga maksimum 50% daripada jumlah kerugian. Kadar dan had bantuan adalah mengikut Garis Panduan tabung tersebut dan diberi dalam bentuk barangan atau in-kind iaitu seperti input pertanian atau peralatan.

Kerajaan akan terus komited dalam usahanya meringankan beban semua golongan yang terjejas akibat banjir seperti PMKS dan Pengusaha Agromakan dengan sentiasa bersedia untuk menyediakan bantuan yang sewajarnya.

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma