Kaedah Pembayaran Tanpa Tunai Di Semua Klinik & Hospital Kerajaan Mulai Oktober 2022

Untuk makluman anda, semua fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka akan menerima pembayaran tanpa tunai mulai Oktober 2022. Dengan satu pekeliling Ketua Setiausaha KKM menyatakan pembayaran tanpa tunai sebagai pilihan kaedah transaksi itu ditetapkan menerusi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia Tahun 2021 bagi peringkat Persekutuan dan negeri.

Ia turut dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan hasil kerajaan, selaras dengan Pelan Antirasuah KKM 2021-2022. KKM menjangkakan hasil yang positif daripada inisiatif itu, antaranya pengurangan risiko berlakunya ketirisan wang awam dan peningkatan kecekapan pengurusan terimaan hasil di kaunter.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut pelaksanaan kaedah pembayaran tanpa tunai di fasiliti KKM.

TARIKH PELAKSANAAN PEMBAYARAN TANPA TUNAI

Semua fasiliti Kementerian (KKM) dijangka akan menerima pembayaran tanpa tunai mulai:

  • 1 Oktober 2022

KAEDAH PEMBAYARAN TANPA TUNAI DI FASILITI KKM

Semua fasiliti KKM hanya akan menerima bayaran secara tanpa tunai sahaja melalui mod e-pembayaran seperti:

  • Kad debit
  • Kad kredit
  • E-Dompet

Terimaan bayaran secara tunai hanya dibenarkan jika pelanggan tidak mempunyai sebarang mod e-pembayaran atau akaun bank.

OBJEKTIF PELAKSANAAN

Pelaksanaan kaedah pembayaran tanpa tunai adalah untuk:

  • Mengurangkan risiko berlaku ketirisan wang awam
  • Peningkatan kecekapan pengurusan terimaan hasil di kaunter yang lebih cepat, mudah dan selamat
  • Pengurangan kos dan proses kerja dalam urusan kutipan hasil di peringkat pusat tanggungjawab
  • Pengurangan risiko jangkitan Covid-19 di kaunter bayaran melalui platform tanpa sentuh

Pekeliling itu menyebut, semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) perlu mengambil langkah bagi kelancaran inisiatif berkenaan, antaranya memastikan sekurang-kurangnya 95 peratus transaksi terimaan tanpa tunai di setiap fasiliti masing-masing serta mengenal pasti PTJ bagi pelaksanaan terimaan bayaran tanpa tunai menggunakan Terminal Point of Sale (TPOS) dan DuitNow.

Sumber

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma