6 Sebab Calon Masih Tidak Mendapat Panggilan SPA

Bekerja dalam Perkhidmatan Awam sememangnya impian setiap orang. Namun nak dapat tawaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk mengikuti ujian dan temuduga bukan satu perkara yang mudah dan bukan semua orang berpeluang untuk mendapat tawaran ini.

Selalunya, dalam kekosongan jawatan yang ditawarkan, hanya beberapa orang calon sahaja akan dipilih untuk menduduki ujian khas sebelum dipanggil untuk temuduga. Proses ini sangat kompetitif dan menuntut persediaan yang rapi serta pemahaman mendalam tentang keperluan jawatan yang dipohon.

Yang menjadi persoalan ramai orang sekarang adalah, sudah lama mohon jawatan dalam Sistem SPA9, tetapi masih tiada apa-apa panggilan lagi. Kenapa perkara ini terjadi?

Untuk ketahui sebab-sebab kenapa calon masih tidak dipanggil untuk apa-apa tawaran jawatan, ikuti perkongsian di bawah.

SEBAB CALON TIDAK MENDAPAT TAWARAN SPA

6 Sebab Calon Masih Tidak Mendapat Panggilan SPA

1 Tiada Kekosongan Jawatan Yang Dipohon

Apabila anda mengisi permohonan dalam sistem SPA8i, adakah anda semak sama ada jawatan yang dipohon ada kekosongan atau tidak? Kebanyakan calon hanya main isi sahaja jawatan yang ada dalam SPA. Memang lah banyak jawatan yang ditawarkan, tetapi kekosongan jawatan belum tentu ada ditawarkan.

Anda boleh semak jawatan terkini yang ada kekosongan di Portal Rasmi SPA. Jawatan akan dikemaskini dari masa ke semasa mengikut keperluan kekosongan jawatan dan mereka juga akan memaparkan tarikh tutup permohonan.

Rujuk: Sebelum Mohon Kerja SPA, Rujuk Trend Pelantikan Jawatan Ini Untuk Elak Tersalah Pilih Jawatan

2 Tidak Kemaskini Jawatan Dipohon

Bahagian ini banyak calon yang lalai dan terlupa. Atau mungkin juga tidak tahu? Sebenarnya anda kena rajin kemaskini maklumat jawatan yang domohon dalam sistem SPA8i. Seperti yang dinyatakan di atas, kekosongan jawatan dalam Perkhidmatan Awam sentiasa berubah-ubah.

Jadi anda perlulah rajin buka SPA dan kemaskini permohonan jawatan anda. Pastikan anda masukkan jawatan yang ada kekosongan dalam senarai jawatan yang dipohon. Jika anda tidak kemaskini permohonan jawatan, ada kemungkinan jawatan yang anda mohon itu masih tiada kekosongan sebab itulah anda tidak dipanggil.

3 Tidak Melepasi Syarat Yang Ditetapkan

Antara sebab-sebab utama pemohon tidak berjaya dalam urusan panggilan temu duga yang dijalankan adalah disebabkan calon tidak melepasi asas tapisan semasa iaitu syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia berdasarkan jawatan yang dipohon.

Contohnya bagi permohonan latihan separa perubatan yang mana pihak SPA mengutamakan pemohon yang memiliki sekurang-kurangnya Kepujian dalam subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik bagi mendapatkan calon-calon yang bersesuaian serta berkebolehan untuk mengikuti latihan tersebut. Jadi penting untuk anda semak syarat kelayakan terlebih dahulu.

4 Permohonan Tidak Lengkap

Untuk memastikan anda ditawarkan kekosongan jawatan oleh SPA, sangat penting untuk anda lengkapkan permohonan anda. Jika anda rasa anda sudah buat 3 perkara di atas, tetapi sudah bertahun masih tiada panggilan jawatan SPA, cuba anda semak balik maklumat permohonan anda di portal SPA8i.

Pastikan maklumat peribadi, akademik, ko-kurikulum, tambahan dan permohonan anda lengkap. Ada satu lagi yang ramai lalai, iaitu PENGAKUAN PEMOHON. Pastikan anda sahkan permohonan anda supaya permohonan anda dihantar dengan sempurna. Permohonan yang tidak lengkap akan menyebabkan kegagalan pendaftaran dalam bank data SPA.

5 Permohonan Luput Tempoh Sah Laku

Bagi yang sudah lama biarkan akaun SPA berhabuk kerana sudah lama tidak dibuka, sudahkan anda semak sama ada permohonan anda yang terdahulu masih dalam tempoh sah laku? Tempoh sah laku sesuatu permohonan adalah salam masa 1 tahun selepas mohon. Jika permohonan anda sudah lepas tempoh sah laku, tidak hairanlah jika anda masih tidak mendapat tawaran.

Cuba anda cek balik sekarang!

6 Jawatan Dipohon Tidak Sesuai Dengan Kelulusan Akademik

Setiap calon mestilah pastikan Gred jawatan yang dipohon sesuai dengan kelulusan akademik. Contohnya bagi lepasan SPM boleh semak Senarai Jawatan Kerajaan SPA Yang Boleh Dipohon Dengan Kelulusan SPM.

Maklumat mengenai kesesuaian jawatan yang dipohon dengan kelulusan akademik boleh didapati di ruangan Maklumat Jawatan (Gaji/Syarat Lantikan/Deskripsi Jawatan). Pemohon yang memiliki ijazah dibenarkan memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk lebih rendah, walau bagaimanapun hanya sehingga peringkat Diploma/STP/STPM/STAM/HSC sahaja (one step lower).

BILAKAH CALON AKAN DIPANGGIL TEMUDUGA?

6 Sebab Calon Masih Tidak Mendapat Panggilan SPA

Semua pemohon yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia akan dipertimbangkan panggilan temu duga sekiranya:

  1. Terdapat kekosongan jawatan yang dipohon
  2. Memenuhi syarat skim perkhidmatan jawatan yang dipohon
  3. Melepasi asas tapisan dan merit yang ditetapkan

Jadi bagi calon yang masih tidak dapat panggilan oleh SPA setelah sekian lama memohon jawatan, cuba anda semak balik perkara-perkara yang dibincangkan di atas. Semoga perkongsian ini dapat menjadi panduan dan membantu calon yang menghadapi masalah tidak mendapat tawaran SPA.

Untuk persediaan calon, anda bolek semak 99+ Contoh Soalan Temuduga Kerajaan dan Contoh Soalan Psikometrik PSEE SPA.

Sebagai peringatan, pastikan anda tidak sambil lewa dalam memohon jawatan dalam Perkhidmatan Awam kerana setiap inci maklumat permohonan akan diambil kira. Rajinkan diri untuk sentiasa semak laman SPA untuk tahu kekosongan jawatan semasa.

Selamat maju jaya!

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma