Skop Tugas & Panduan Mohon Jadi Pemerhati PRU15
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka permohonan kepada mana-mana pihak untuk menjadi pemerhati Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula sekarang sehingga 21 Oktober 2022 ini. Permohonan sebagai pemerhati yang mewakili organisasi adalah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Pemerhati dibenarkan untuk membuat pemerhatian bagi proses pilihan raya seperti proses penamaan calon, berkempen, mengundi awal, proses mengundi dan pengiraan undi, penjumlahan undi sehinggalah pengisytiharan keputusan pilihan raya.
SPR mengingatkan mereka yang berminat untuk menyertai program ini supaya mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup permohonan.
Isi Kandungan
TEMPOH PERMOHONAN
Permohonan untuk jadi pemerhati bagi proses pilihan raya dibuka sepanjang tempoh berikut:
- 11 Oktober hingga 21 Oktober 2022
OBJEKTIF PROGRAM PEMERHATI
Antara objektif pelaksanana program pemerhati ini adalah untuk:
- Membina keyakinan awam terhadap ketelusan dan integriti penjalanan pilihan raya yang dilaksanakan oleh SPR;
- Membina kepercayaan dalam proses demokrasi;
- Menghalang dari berlakunya manipulasi dan penipuan melalui pemerhatian pihak ketiga yang tidak memihak kepada mana-mana pihak dengan melakukan semak dan imbang; dan
- Membawa penambahbaikan kepada proses pilihan raya berdasarkan laporan dan cadangan dari pemerhati.
SKOP PEMERHATIAN
Antara skop pemerhatian pemerhati adalah:
- Proses Penamaan Calon;
- Proses Pengeluaran Kertas Undi Pos;
- Kempen Pilihan Raya;
- Proses Undi Awal;
- Proses Semakan Isi Peti Undi Biasa;
- Proses Pengundian Biasa;
- Proses Pengiraan Undi Awal;
- Proses Pengiraan Undi Pos;
- Proses Pengiraan Undi; dan
- Proses Penjumlahan Rasmi Undi.
SYARAT KELAYAKAN
Tawaran untuk jadi pemerhati adalah terbuka kepada:
- Agensi Kerajaan;
- Organisasi NGO / CSO berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (terhad kepada syarikat yang tidak berorientasikan keuntungan);
- Berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
Pemohon mestilah berkelayakan seperti berikut:
- Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas;
- Tidak disabitkan kesalahan oleh mahkamah;
- Tidak bankrap;
- Tidak memegang jawatan dalam mana-mana parti politik;
- Dapat bekerjasama dan mengamalkan sikap berkecuali;
- WAJIB menghadiri latihan yang disediakan; dan
- Membuat pemerhatian dalam satu Parlimen SAHAJA iaitu di dalam bahagian pilihan raya parlimen yang didaftarkan.
Contoh: Individu yang berdaftar sebagai pemilih di P.102 Bangi hanya boleh menjadi pemerhati di bahagian pilihan raya P.102 Bangi SAHAJA. (semak bahagian pilihan raya anda di laman sesawang mysprsemak.gov.my)
Nota:
- Tiada ganjaran kewangan akan diberikan
- Latihan dan taklimat disediakan kepada pemerhati yang dilantik
DOKUMEN DIPERLUKAN
Berikut adalah senarai dokumen diperlukan untuk buat permohonan jadi pemerhati PRU15:
- Salinan sijil pendaftaran SSM/ROS dan muat turun borang-borang yang disediakan;
- Laporan aktiviti
- Profil pertubuhan
- Perlembagaan pertubuhan (berdaftar di bawah ROS)
- Surat permohonan
- Maklumat penyandang jawatan-jawatan utama dalam organisasi
- Lampiran A (Senarai semak keperluan)
- Lampiran B (Borang permohonan)
- Lampiran C (Kod Etika dan Akujanji)
- Lampiran D (Senarai nama pemerhati)
PANDUAN PERMOHONAN
Sekiranya anda berminat untuk jadi pemerhati dan berkelayakan seperti dinyatakan di atas, anda boleh mohon dengan rujuk bahagian dokumen diperlukan dan muat turun borang-borang yang disediakan.
Isikan borang permohonan beserta kod etika dan akujanji dan senarai nama pemerhati. Emelkan semua dokumen yang telah lengkap diisi kepada:
- pemerhati@spr.gov.my
Sebarang permohonan yang diterima lewat atau selepas 21 Oktober 2022 TIDAK AKAN DIPROSES. Untuk maklumat lanjut, anda boleh terus ke laman web https://www.spr.gov.my/.