Senarai Manfaat Buat Penjawat Awam 2022. Bonus RM700 Serta Gantian Cuti Rehat Sehingga 160 Hari

Sejak COVID-19 mula membarah di tanah air kita, penjawat awam ialah perawatnya yang setia; yang menatang kita bagai sebuah keluarga, tanpa jemu dan leka. Dalam mengharungi episod duka ini, anggota barisan hadapan, juga disambut keringat sukarelawan telah sama-sama menjayakan setiap agenda Kerajaan dengan berkesan.

Oleh itu bagi tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam dan menyediakan beberapa manfaat termasuk pemberian Bantuan Khas Kewangan dan sebagainya.

Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui senarai manfaat kepada Penjawat Awam yang terkandung dalam Bajet 2022.

BAJET 2022: SENARAI MANFAAT PENJAWAT AWAM

Berikut adalah senarai manfaat buat penjawat awam yang dibentangkan dalam Bajet 2022:

  • Kadar keuntungan skim pembiayaan komputer dan telefon pintar bagi penjawat awam diturunkan daripada 4% kepada 2%
  • RM365 juta diperuntukkan bagi menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah
  • Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) dinaikkan daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai, elaun anggota dinaikkan daripada RM6 kepada RM8 sejam
  • Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan
  • Inisiatif Perlindungan Kemalangan Diri diteruskan sehingga RM100,000 untuk manfaat peminjam baharu LPPSA
  • Bayaran insentif RM200 untuk Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan
  • Gantian cuti rehat dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari bagi iktiraf pengorbanan penjawat awam tangani Covid-19
  • Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 ke bawah dan RM350 kepada 1 juta pesara kerajaan

GANTIAN CUTI REHAT (GCR)

Dalam menangani krisis COVID-19, ramai penjawat awam terutamanya barisan hadapan tetap komited kepada tugasannya dan antaranya tidak berpeluang bercuti. Bagi mengiktiraf pengorbanan tersebut, sukacita diumumkan:

  • gantian cuti rehat dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.

Di samping itu, Kerajaan juga akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR:

  • sehingga 50 peratus atau 80 hari.

Kemudahan ini mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak.

BANTUAN KHAS KEWANGAN (BONUS) PENJAWAT AWAM

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini, Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada:

  • 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700 dan
  • 1 juta pesara Kerajaan sebanyak RM350 

Untuk makluman anda, bantuan RM350 yang akan diberikan kepada pesara kerajaan akan turut diberikan kepada golongan veteran Angkatan tentera (ATM) yang tidak berpencen.

Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma