Tiada Degree Pendidikan Tapi Nak Jadi Guru/ Pensyarah? Ini Kursus Yang Anda Kena Ambil
Pernah terfikir tak, macam mana nak jadi seorang tenaga pengajar? Ataupun anda memang bercita-cita nak jadi seorang tenaga pengajar seperti guru atau pensyarah? Kerjaya sebagai tenaga pengajar ini boleh dikatakan antara pilihan utama pelajar lepasan Ijazah. Namun macam mana pelajar lulusan Ijazah dalam bidang bukan pendidikan nak jadi tenaga pengajar?
Yang tiada degree pendidikan dan nak sambung pengajian Sarjana (Master) Pendidikan sebab nak jadi tenaga pengajar anda kena tahu tidak semua Master Pendidikan ada Ikhtisas Pendidikan dan layak untuk mendapat penempatan sebagai guru atau pensyarah.
Jangan tersalah pilih kursus ketika sambung Master! Seorang pensyarah UTHM ini kongsikan laluan untuk menjadi tenaga pengajar dan panduan pilih kursus Master yang betul.
Isi Kandungan
TAK SEMUA MASTER PENDIDIKAN ADA IKHTISAS PENDIDIKAN
Perkara penting yang calon kena tahu adalah tidak semua Master Pendidikan ada Ikhtisas Pendidikan dan layak untuk mendapat penempatan sebagai guru atau pensyarah.
Ikhtisas pendidikan bermaksud kelayakan untuk mengajar dalam bidang pendidikan. Hanya yang ada ikhtisas pendidikan sahaja LAYAK untuk menjadi tenaga pengajar dalam sektor kerajaan seperti pensyarah kolej vokasional dan guru sekolah.
Sebelum posting kita kena isi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dekat situ kelayakan hanya yang ada sarjana muda pendidikan sahaja tiada kelayakan untuk Master Pendidikan. Tetapi di UTHM ada satu course Master Pendidikan yang layak posting.
Kursus Master Yang Ada Ikhtisas Pendidikan
Ini senarai kursus Master yang ditawarkan oleh Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Kursus Master yang diajar ikhtisas pendidikan hanya Master Of Technical and Vocational Education (MBV). Kursus ini sahaja yang boleh posting.
Kursus MBV ini boleh dihabiskan setahun setengah sahaja ikut jadual ditetapkan oleh universiti. Apa kita lalui sepanjang pengajian?
- Belajar ikhtisas pendidikan
- Projek Sarjana hasilkan kajian isu semasa
- Latihan mengajar pada akhir semester di sekolah
Jadi yang tiada degree pendidikan nak sambung Master sebab nak jadi cikgu, anda boleh masuk kursus Master MBV.
Kursus Master Tiada Ikhtisas Pendidikan
Bagi kursus Master lain seperti MBM, MBE, MBC dan MBT tiada ikhtisas pendidikan. Kita akan belajar sepanjang semester:
- Subjek berkaitan kursus yang kita ambil
- Projek Sarjana (hasilkan produk)
Siapa yang sesuai ambil kursus MBM, MBE, MBC dan MBT ini?
- Mereka yang ada degree pendidikan
Mereka ambil course ini untuk memantapkan lagi pengetahuan dalam bidang. Contohnya kelulusan Degree saya Degree Pendidikan Vokasional (Eletrik) maka Waktu master saya sambung Master Pendidikan Teknikal (Kejuruteraan Elektrik) MBE maka saya tidak perlu lagi sambung MBV untuk dapatkan ikhtisas pendidikan kerana saya sudah ada degree pendidikan. Oleh itu, saya layak posting institusi/sekolah kerajaan. - Mereka yang nak jadi pensyarah dalam bidang
Kena ingat nak jadi pensyarah di universiti sekarang kelayakannya ada Phd, ada juga yang guna sijil master seperti kolej swasta dan UITM tetapi tidak banyak peluang.
- Mereka yang nak sambung PhD dan nak jadi pensyarah dalam bidang diceburi
Yang nak sambung Phd selepas Master tidak kisah nak ambil mana-mana kursus master.
UTHM ANTARA UNIVERSITI YANG ADA KURSUS PENDIDIKAN BERKUALITI
Oleh itu, jum lah masuk UTHM. Antara universiti yang ada kursus pendidikan yang berkualiti. Buktinya tempat kerja saya, Pensyarah Teknologi Elektrik ada 11 orang. Hanya 3 daripada universiti lain, 8 lagi semua dari UTHM. Bangga jadi alumni UTHM.
Apa kita mengajar juga berkaitan dengan apa kita belajar ketika di UTHM. Cara bekerja sebagai tenaga pengajar telah diterapkan ketika di Universiti lagi oleh itu kita tidak akan kekok ketika kerja.
Sekiranya anda berminat nak mohon pengajian master di UTHM, anda boleh terus ke laman https://cgs.uthm.edu.my/ dan pergi ke Admission.