Tiada Siasatan Pihak Berkuasa Melalui Telefon, Ini Kronologi Kes Pegawai Bank Jadi Mangsa Penipuan
Macam luar biasa kan bagaimana seorang pegawai bank yang tugas hariannya berurusan dengan akaun bank boleh terperangkap menjadi mangsa penipuan? Jika diikutkan seorang pegawai bank pasti lah tahu maklumat-maklumat penting yang tidak patut didedahkan. Namun bagaimana pegawai bank ini boleh terkena dengan penipuan ini?
Seperti yang diceritakan, mangsa ditipu apabila terpedaya dengan penipu yang kononnya siasatan pihak berkuasa melalui panggilan telefon. Namun PDRM menegaskan bahawa tiada siasatan pihak berkuasa melalui panggilan telefon.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui bagaimana kes pegawai bank menjadi mangsa penipuan.
Isi Kandungan
KRONOLOGI KES MANGSA
Berikut adalah gambaran bagaimana seorang Pegawai Bank menjadi mangsa penipuan Macau Scam:
- Mangsa dihubungi oleh pihak insurans dan memaklumkan tentang tuntutan insurans mangsa. Mangsa nafi.
- Talian kemudian disambungkan kepada pihak polis untuk membuat laporan secara dalam talian.
- Mangsa diarah untuk membuka akaun bank baru dengan mendaftarkan no. telefon yang diberikan suspek. No. pin kad juga telah ditetapkan oleh suspek.
- Mangsa pindahkan semua wang simpanan ke akaun bank yang baru dibuka dan serah semua maklumat perbankan seperti no. kad ATM.
- Mangsa diarah hantar laporan aktiviti harian (5) kali setiap hari.
- Selepas (3) bulan, mangsa buat semakan akaun bank dan dapati wang telah tiada.
Jadi apabila ditanya, bagaimana boleh ikut semua arahan suspek sehingga buka akaun baru menggunakan no. telefon orang lain.
Jawab mangsa, kerana terikat dengan Akta Rahsia Rasmi untuk siasatan pihak berkuasa.
PERINGATAN PENTING SIASATAN PIHAK BERKUASA
Orang ramai diingatkan bahawa TIADA siasatan pihak berkuasa melalui panggilan telefon. Merujuk kepada pihak polis, bank, LHDN SPRM dan lain-lain, pihak berkuasa TIDAK AKAN:
- Menjalankan siasatan melalui panggilan telefon
- Meminta maklumat perbankan (no. kad ATM, no. TAC/OTP, ID, kata laluan, nombor pin dan lain-lain) untuk siasatan
- Meminta mana-mana orang yang disiasat melapor diri untuk pemantauan melalui whatsapp
- Meminta mana-mana pihak membuka akaun bank baru dan memindahkan semua wang ke akaun bank bagi tujuan siasatan
- Meminta mana-mana pihak membuat pinjaman bank untuk menyelesaikan kes
Sekali lagi ditegaskan, pihak polis tidak buat pemantauan kedudukan suspek melalui whatsapp. Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan berurusan secara bersemuka untuk sebarang pendedahan maklumat bagi memastikan anda mendedahkan maklumat kepada orang yang betul.