BNM Umum Kenaikan OPR, Ketahui Bagaimana Ia Beri Kesan Terhadap Pinjaman Rumah Anda

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus. Anda salah seorang yang terlibat dengan pinjaman perumahan?

Bagaimanakah Overnight Policy Rate (OPR) memberi kesan terhadap pinjaman rumah anda? Untuk makluman anda, dengan peningkatan OPR yang diumumkan oleh BNM, faedah pinjaman perumahan akan meningkat. Maybank dan RHB Banking Group juga telah mengumumkan peningkatan kadar faedah pinjaman.

Rujuk: Kadar Kenaikan Faedah Pinjaman Maybank & RHB

Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui bagaimana kenaikan OPR memberi kesan terhadap pinjaman anda secara lebih terperinci.

KESAN KENAIKAN OPR TERHADAP PINJAMAN RUMAH

Bagaimanakah Overnight Policy Rate (OPR) memberi kesan terhadap pinjaman rumah?

OPR mempengaruhi Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) sesebuah bank, di mana BR dan BLR biasanya berkurangan atau meningkat mengikut turun naik OPR. Dengan peningkatan OPR:

  • faedah pinjaman perumahan akan meningkat

Kita juga akan melihat:

  • peningkatan Kadar Pinjaman Efektif (ELR) bagi pinjaman perumahan yang menggunakan kadar boleh ubah.

PENINGKATAN ANSURAN BULANAN/ TEMPOH PINJAMAN

Dengan peningkatan kadar faedah pinjaman akibat daripada kenaikan OPR, peminjam kini perlu bersedia untuk:

Bayar Ansuran Bulanan Yang Lebih Tinggi

Pembayaran ansuran bulanan yang lebih tinggi. Bank perlu menghantar surat pemberitahuan mengenai amaun ansuran yang baharu apabila berlaku pindaan BR/BLR. Ini perlu dibuat sekurang-kurangnya 7 hari kalendar sebelum ansuran bulanan yang baharu itu berkuatkuasa

Contohnya katakan pinjaman anda kini adalah RM200,000:

  • Faedah: 3.25%
  • Tempoh pinjaman: 35 tahun
  • Bulanan ansuran: RM797

Jika kita ambil kira peningkatan 0.25% seperti yang diumumkan maka,

  • Faedah baru: 3.50%
  • Tempoh pinjaman: 35 tahun
  • Bulanan ansuran terbaru: RM826

Tempoh Pinjaman Yang Lebih Lama

Sekiranya peminjam memutuskan untuk mengekalkan jumlah ansuran bulanan, tempoh pinjaman akan menjadi lebih lama. Bank dapat memberi pilihan kepada konsumer untuk melanjutkan tempoh pinjaman mereka.

Walau bagaimanapun, konsumer yang telah mengambil pinjaman perumahan pada kadar yang tetap tidak akan melihat sebarang perubahan pada ansuran bulanan mereka.

Untuk makluman anda, OPR ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada kadar pinjaman semata-mata. Ia juga akan memberi kesan kepada komponen lain dalam sistem ekonomi. Contohnya kadar pengangguran dan inflasi harga barangan.

Sumber

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma