Kemudahan Cuti Tanpa Rekod Sehingga 5 Hari Buat Penjawat Awam Jika Terlibat Aktiviti Khidmat Masyarakat
Kerajaan melalui Belanjawan Tahun 2022 telah bersetuju untuk memberikan kemudahan Cuti Tanpa Rekod maksimum lima (5) hari setahun kepada pegawai perkhidmatan awam yang terlibat dengan aktiviti khidmat masyarakat dengan pertubuhan yang diluluskan.
Pemberian kemudahan ini adalah sebagai galakan kepada penjawat awam yang melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat. Penambahbaikan peraturan ini dilaksanakan melalui MyPPSM Ceraian SR.5.5.7 (Kemudahan Cuti Tanpa Rekod Bagi Melaksanakan Aktiviti Khidmat Masyarakat).
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut maklumat Kemudahan Cuti Tanpa Rekod Bagi Melaksanakan Aktiviti Khidmat Masyarakat.
Isi Kandungan
TARIKH PENGUATKUASAAN
Penguatkusaan Kemudahan Cuti Tanpa Rekod Bagi Melaksanakan Aktiviti Khidmat Masyarakat ini adalah bermula tarikh surat pekeliling dikeluarkan, iaitu:
- Mulai 23 September 2022
TEMPOH CUTI TANPA REKOD
Kerajaan melalui Belanjawan Tahun 2022 telah bersetuju untuk memberikan kemudahan Cuti Tanpa Rekod kepada pegawai perkhidmatan awam sebanyak:
- maksimum lima (5) hari setahun
Tidak termasuk Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am. Pegawai boleh menggunakan Cuti Rehat berkelayakan, Cuti Rehat Khas atau Cuti Tanpa Gaji bagi tempoh yang melebihi lima (5) hari tersebut.
Kemudahan Cuti Tanpa Rekod ini terpakai pada tahun semasa sahaja dan tidak boleh dibawa ke tahun berikutnya sekiranya tidak digunakan.
Cuti Tanpa Rekod ini boleh digunakan secara sekali gus atau pun secara berasingan tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan.
KHIDMAT MASYARAKAT YANG DIBENARKAN
Cuti Tanpa Rekod ini akan diberikan kepada egawai perkhidmatan awam yang terlibat dengan:
- aktiviti khidmat masyarakat dengan pertubuhan yang diluluskan.
Kemudahan Cuti Tanpa Rekod Bagi Melaksanakan Aktiviti Khidmat Masyarakat tidak terpakai kepada personel MySTEP.
Kemudahan Cuti Tanpa Rekod ini tidak terhad kepada bilangan aktiviti khidmat masyarakat yang dilaksanakan sebaliknya tertakluk kepada bilangan hari yang digunakan. Pegawai boleh menggunakan baki Cuti Tanpa Rekod yang ada untuk melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat yang lain tertakluk kepada maksimum lima (5) hari.
PERMOHONAN CUTI TANPA REKOD UNTUK AKTIVITI KHIDMAT MASYARAKAT
Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Ketua Jabatan dengan mengemukakan surat daripada pertubuhan mengenai aktiviti yang akan dilaksanakan.
Sekiranya aktiviti khidmat masyarakat seperti memberi makan kepada gelandangan tersebut dianjurkan oleh pertubuhan yang diluluskan, maka Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan kemudahan Cuti Tanpa Rekod Bagi Melaksanakan Aktiviti Khidmat Masyarakat maksimum lima (5) hari setahun.
Sekiranya aktiviti khidmat masyarakat yang dilaksanakan kurang daripada empat (4) jam, pegawai hendaklah menggunakan Peraturan Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja di Bawah Perintah Am 5 Bab G – Mematuhi Waktu Bekerja (Ceraian SR.4.2.2)
Pemberian kemudahan ini adalah sebagai galakan kepada penjawat awam yang melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Kemudahan Cuti Tanpa Rekod untuk Aktiviti Khidmat Masyarakat, anda boleh terus rujuk di laman web https://www.jpa.gov.my/.